Kosmo Online - Rencana Utama |
Chow Kit Kita komitmen Pik Svonn Posted: Chow Kit Kita komitmen Pik SvonnOleh NIZHA PERIASWAMY SANGGUPKAH anda meninggalkan profesion atau kerjaya sedia ada semata-mata mahu melakukan sesuatu yang dapat memenuhi impian anda? Apatah lagi impian yang dipilih itu tidak membawa apa-apa pulangan atau ganjaran dari segi wang ringgit. Sebaliknya anda perlu bekerja keras siang dan malam, memeras tenaga dan mungkin terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk melaksanakannya. Bagi kebanyakan orang, mungkin akan berfikir berkali-kali sebelum mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu tanpa pendapatan. Tetapi lain pula ceritanya kepada wanita muda ini. Dia sanggup melepaskan kerjaya tetapnya sebagai seorang usahawan dalam talian semata-mata mahu melibatkan diri dalam aktiviti komuniti untuk kanak-kanak, remaja dan masyarakat di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Jika beberapa dekad lalu, Jalan Chow Kit cukup sinonim dengan pelbagai konotasi negatif, namun persepsi itu berubah perlahan-lahan. Pelbagai pihak dan individu mengambil inisiatif untuk mengubah sisi hitam Chow Kit. Terbaharu, langkah itu diambil oleh Lew Pik Svonn. Pik Svonn, 27, bekerja keras menjayakan Projek Chow Kit Kita fasa kedua yang diadakan di sekitar Jalan Chow Kit. "Saya suka berbakti kepada masyarakat dan saya mahu melakukannya sepenuh hati. Jadi, demi menjayakan sambutan fasa kedua Pesta Chow Kit Kita, saya sanggup meninggalkan kerjaya supaya dapat melakukan kerja ini tanpa gangguan," ujar Pik Svonn. Memakai gaun bercorak bunga berwarna-warni dengan sekuntum bunga plastik merah di celah telinganya, Svonn tidak dapat merehatkan dirinya walaupun sebentar pada majlis hari terakhir sambutan Projek Chow Kit Kita pada pertengahan Jun lalu. Dia berlari-lari anak dari hujung jalan ke hujung jalan yang lain sambil menjinjing beg tangan, sebuah beg acara berwarna kuning dan sepinggan makanan. Impiannya hanya satu mahu semua acara yang dirancang berjalan lancar. JELLENA Khoh salah seorang sukarelawan Chow Kita bermain gitar pada persembahan muzik. "Saya berhenti kerja empat bulan lalu. Selepas itu saya menggunakan duit tabung sendiri selain duit yang didermakan oleh rakan-rakan untuk memastikan acara ini dapat dilaksanakan. Ia satu pengalaman yang sungguh berharga apabila anda dapat bekerja dengan kanak-kanak dan remaja. Pik Svonn sebelum ini menjalankan perniagaan dalam talian mengeksport barangan sepenuh masa. "Saya mula mengusahakan perniagaan itu sejak berusia 19 tahun ketika negara berhadapan dengan gawat. Saya terpaksa berniaga untuk menyokong pendidikan memandangkan ibu bapa saya hanya kakitangan awam dan jururawat," kata wanita yang memilih untuk berdikari sejak di bangku sekolah. Anak bongsu daripada tiga beradik perempuan itu juga mengakui, keputusan untuk berhenti berniaga dan menguruskan Pesta Chow Kit secara sepenuh masa tidak pernah dihalang oleh keluarganya. Malah kata wanita itu, bapanya setia memberi sokongan moral yang tidak berbelah-bahagi tanpa mempersoalkan dirinya yang turut menggunakan duit tabungan untuk projek tersebut. "Dia (bapa) tahu saya suka mencuba perkara-perkara baru dan sentiasa sokong apa yang saya lakukan," katanya, anak sejati Kuala Lumpur. Menurt Svoon, fasa ketigaprogram tersebut bermula pada bulan Ogos ini. "Saya tidak sabar untuk menyambut hasil kerja kanak-kanak di sekitar Jalan Chow Kit ini!" katanya teruja. Projek Chow Kit Kita adalah sebuah projek pemetaan komuniti yang diadakan di Pusat KL Krash Pad di Jalan Tunku Abdul Rahman secara mingguan. Projek pemetaan komuniti ini menggunakan pelbagai material dan kaedah untuk mendekatkan diri dengan masyarakat di Jalan Chow Kit. Bersama-sama pusat Krash pad, Pesta Chow Kit Kita diadakan setiap enam bulan sekali bagi mempamerkan dan mempersembahkan hasil kerja kanak-kanak dalam kalangan komuniti ini kepada umum. Tema kali ini adalah Kepelbagaian Makanan di Chow Kit iaitu susulan daripada tema sebelumnya Diversiti Etnik dan Agama. Memandangkan tema kali ini berkenaan makanan, Pik Svonn dan pasukannya mempamerkan aneka jenis makanan yang popular di Jalan Chow Kit kepada pengunjung yang melalui kawasan itu. Malah, gambar-gambar makanan itu juga turut dirakam bagi menunjukkan aspek kesenian tema tersebut. ORANG ramai turut dijamu dengan minuman percuma. "Melalui tema ini, kami menggalakkan kanak-kanak dan remaja memilih makanan paling popular di sekitar kawasan ini. "Mereka juga boleh mengambil gambar foto, video, grafiti, mereka kemeja-T, lakonan, tarian, muzik dan sebagainya," kata Pik Svonn yang berganding bahu dengan seorang lelaki muda, Fahmi Redza. Memiliki keghairahan yang sama iaitu melakukan sesuatu untuk komuniti dan mencungkil bakat kanak-kanak serta remaja, Fahmi, 34, yang bekerja secara bebas mengakui, projek itu sebagai salah satu acara yang bukan sahaja menghiburkan tetapi penuh dengan pelbagai pendedahan kepada golongan tersebut. Baik kanak-kanak, remaja, sukarelawan yang menjadi fasilitator, penjaga gerai, pemain muzik dan persembahan band serta pihak urus setia semuanya dilihat menggunakan peluang itu dengan baik. "Saya dapat tahu mengenai projek ini melalui seorang rakan yang kebetulan melakukan kerja-kerja videografi di sini. Sekurang-kurangnya, masa hujung minggu dihabiskan dengan aktiviti yang berfaedah demi remaja di Jalan Chow Kit dan sekitarnya," kata seorang sukarelawan yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Nurtressa Zakariah, 23. Sama seperti Nurterssa, Ng Yah Tyng, 23, dari Klang juga tidak mahu mensia-siakan cuti hujung minggunya. "Saya bekerja sebagai eksekutif. Memandangkan hujung minggu adalah hari rehat, saya memilih berada di sini. Saya mendapat tahu mengenai projek ini melalui blog Saya Anak Bangsa Malaysia," katanya yang mengikuti blog tersebut sejak beberapa bulan lalu. Projek Chow Kit Kita ini disokong oleh Pusat KL kash pad, Asia Media, Pelaka Paint, Cititel Ekspress, Panasonic Malaysia, Feed George, Photo & Print, Vinlin Press dan LLG Pusat Pembangunan Kebudayaan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan