Rabu, 29 Jun 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Esok keputusan semakan semula tempoh reman 30 aktivis PSM

Posted: 29 Jun 2011 03:25 AM PDT

Mutakhir

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan esok sebagai tarikh keputusan pemohonan semakan semula tempoh tahanan reman terhadap 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang diketuai Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujah dikemukakan 11 peguam, diketuai Datuk C V Prabakaran, yang mewakili aktivis PSM itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed. Pada Sabtu lalu, polis menahan sekumpulan aktivis PSM di plaza Tol Sungai Dua daerah Seberang Perai Utara kerana dikatakan cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan dilihat mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Katanya, perintah reman dibuat mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Parlimen Malaysia bantah kenyataan Hillary Clinton

Posted: 29 Jun 2011 03:23 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia membantah kenyataan Setiausaha Negara, Amerika Syarikat Hillary Clinton baru-baru ini yang menyifatkan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tidak berfaedah dan provokatif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kenyataan itu dilihat memberi lampu hijau kepada Israel untuk terus menindas rakyat Gaza dan akan menyukarkan misi bantuan untuk sampai ke kawasan bergolak itu.

"Saya sebagai mewakili Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia, kita tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat walaupun kita ada hubungan baik (dengan negara itu) dalam hal kezaliman terhadap Palestin oleh Israel kita tetap tidak setuju. "Ini merupakan usaha kemanusiaan, yang kita perlu beri bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza," katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Nazri menerima memorandum yang mengandungi empat resolusi untuk diusulkan ke Kesatuan Antara Parlimen, dari "Life Line for Gaza" yang disampaikan oleh wakil badan bukan kerajaan itu, Muhammad Ridhwan Sulaiman.

Resolusi terbabit termasuk mengemukakan bantahan terhadap kenyataan Hillary yang membidas misi flotilla kemanusiaan ke Gaza dan mendesak Israel untuk tidak menggunakan kekerasan terhadap delegasi Freedom Flotilla 2 yang akan belayar ke Gaza.

Resolusi lain ialah menggesa rejim Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan membenarkan misi kemanusiaan freedom flotilla untuk masuk ke Gaza.
Nazri berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota IPU Malaysia bagi mengenalpasti prosedur tertentu sebelum membawa memorandum itu ke IPU yang akan bersidang pada awal Oktober depan di Berne, Switzerland.

"Selaku Presiden IPU Malaysian Chapter saya menerima memorandum ini dan juga atas kesedaran betapa pentingnya usaha yang dilakukan oleh NGO-NGO ke arah membantu rakyat tidak berdosa di Gaza yang berhak mendapat bantuan yang diberikan masyarakat dunia," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan