Ahad, 26 Jun 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


BN yang didukung rakyat

Posted:

BN yang didukung rakyat

BN yang didukung rakyat

MENYINGKAP kembali sejarah penyertaan PPP ke dalam Barisan Nasional (BN) pada 1972 adalah jelas bahawa keputusan tersebut telah diambil oleh pucuk pimpinan PPP pada ketika itu semata-mata kerana kepentingan rakyat.

PPP pada waktu tersebut mempunyai dua pilihan iaitu sama ada untuk terus bersama pembangkang atau pun memilih jalan untuk menyertai keluarga BN yang pada masa telah diperluaskan daripada Parti Perikatan menjelma menjadi satu keluarga yang lebih besar.

Sejarah PPP memilih jalan ke arah permuafakatan berbanding dengan konfrontasi, memilih untuk bekerjasama daripada untuk menghindar dan menjadi penghalang, menghulur tangan persahabatan daripada terus mengutuk dan mencaci antara satu sama lain, sesungguhnya merupakan satu keputusan yang tetap dihargai BN sehinggalah hari ini.

Justeru dalam perhimpunan yang amat meriah pada hari ini, saya bagi pihak pimpinan BN mengulangi rasa penghargaan, terima kasih serta apresiasi BN terhadap peranan PPP menjadi rakan setia kepada BN dalam apa jua keadaan.

Kesetiaan yang paling bermakna seperti mana juga, lebih kurang cerita Datuk M. Kayveas tadi di antara suami dan isteri. Maknanya dalam senang susah, kita tetap bersama dalam keluarga BN. Inilah namanya kesetiaan yang sejati. Dalam apa pun keadaan, suami ada duit, ataupun suami tidak ada berapa banyak duit, isteri masih muda, ramping ataupun badan dah naik sikit, dalam semua keadaan, kita mesti bersama-sama antara satu sama lain.

Seperti mana dalam keadaan rumah tangga, ada waktu kita senang, ada waktu kita susah. Tuhan akan menguji kita, ada kala tuhan menguji kita dengan memberi kesenangan kepada kita.

Tuhan hendak lihat macam mana kita gunakan kesenangan itu. Ada waktu tuhan akan menguji kita, waktu kita diberi sedikit kesusahan, sama ada kurang pendapatan ataupun kurang sedikit kuasa. Mereka yang berjaya atau mereka yang dapat keredaan daripada tuhan ialah mereka yang dapat melepasi ujian tuhan ini.

Sebaliknya, kalau kita yakin akan matlamat perjuangan kita, maka dalam apa jua keadaan senang ataupun susah kita tetap akan menghadapi pahit maung, kita akan memperbaiki segala kelemahan kita dan kita akan bangun dengan kekuatan baru, itulah maknanya perjuangan.

Mungkin kita kalah beberapa negeri ataupun kerusi kerana kita ini tidak berpadu sesama kita, tidak berpadu dalam parti kita sendiri, tidak berpadu di kalangan parti-parti komponen BN.

Mungkinkah itu salah satu daripada faktornya, ataupun kerana kita terlalu selesa dibuai dengan apa yang dikatakan dalam zon selesa kita, merasakan kita cukup kebal, kita cukup kuat semata-mata kerana jasa dan budi kita yang begitu besar selama ini.

Apakah ini, kekalahan kita kerana kita tidak bekerja kuat, kita tidak berasakan bahawa kita ini dahagakan sesuatu kejayaan itu dan kita kurang bekerja, kurang turun padang, kurang bertemu rakyat, kurang cuba menyelesaikan masalah rakyat, hatta kurang berinteraksi dengan rakyat, yang merupakan asas kepada pembentukan persepsi rakyat kepada kita sama ada rakyat sokong atau tidak, berdasarkan kepada perilaku kita sebagai pemimpin.

Dan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berjaya. Dalam masa kebelakangan ini, dalam setiap pilihan raya kecil, BN telah menang. Bukan sahaja kemenangan biasa tetapi kemenangan yang lebih dengan majoritinya. Hanya satu kerusi sahaja yang kita tidak menang iaitu Sibu. kita menang di Pasir Panjang, kita menang di Galas, menang di Batu Sapi, menang di Merlimau, menang di Hulu Selangor, Tenang, Kerdau, kita menang lebih kerusi daripada pembangkang.

Apa yang ini buktikan? Ini membuktikan BN sebagai satu jenama yang masih laku di kalangan rakyat. Masih diterima, masih disanjung, mereka menaruh pengharapan yang besar pada BN. Kita menang sekali lagi di Sarawak, meskipun kita menghadapi serangan bertubi-tubi tetapi kita menang dengan majoriti melebihi dua per tiga.

Saya tidak mahu kalau ada rasa bahawa kita ini seolah-olah hilang panduan ataupun kehilangan keyakinan pada kita, seolah-olah BN ini lemah ataupun seolah-olah BN ini tidak lagi merupakan jenama yang boleh kita pasarkan. Sekiranya polisi dan dasar pelaksanaan kita berjalan dengan baik dan berkesan, sama ada kita sebagai parti politik merapatkan barisan kita, setia pada BN, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh BN, wajib kita sanjung sebagai anggota yang setia kepada BN.

Sehubungan ini, kita akan cuba berlaku seadil mungkin antara parti BN. Tetapi ingatlah, kita ada 'campuran' yang besar, seperti keluarga yang ada 13 anak dalam satu keluarga. Kalau kita hendak bahagikan rezeki antara 13 anak kita. Kadang-kala ada sedikit kesulitan, kadang-kadang kita kena bagi, mungkin ada anak yang rasa seolah-olah tidak adil pembahagian itu, mungkin ada.

Apabila parti besar, ramailah yang hendak jadi calon. Bila hendak jadi calon, ada yang siang-siang sudah tempah bush jacket. Walaupun hari ini istilah bush jacket bukanlah maksud literal kita tempah bush jacket, sebab bush jacket is not fashionable anymore, kita semua dalam dewan ini pun tidak ada seorang pun yang pakai bush jacket. Tapi bush jacket ini maknanya dia dah berangan-angan nak jadi wakil rakyat.

Bila dia sudah berangan- angan hendak jadi wakil rakyat, ini jadi masalah. Maknanya kalau kita hendak sangat, itu akan jadi masalah, kalau nak sikit-sikit tidak apa. Kita tahulah siapa yang nak sangat-sangat itu. Saya lihat Datuk Nalla pun senyum di bawah (pentas). Jadi inilah yang mesti kita kawal dan bendung supaya kita ada pertimbangan yang rasional.

Saya ajukan konsep winnable candidate, winnable candidate inilah yang apabila orang kata Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dia faham, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dia faham, Model Baru Ekonomi dia faham. Dia tanya saya apakah political transformation programme (PTP)? Saya kata saya tidaklah mahu pergi jauh sangat, PTP pada saya ialah bahawa kita mesti terima konsep winnable candidate, cukup, itu sahaja mesej saya. Terima konsep winnable candidate.

Kalau kita boleh terima itu, saya fikir itu sudah merupakan satu kejayaan yang amat besar sebab pilihan raya yang dahulu ada juga orang yang tak terima. Bila dah jadi calon, ada pula yang macam di Kelantan, dia cah keting, pun ada. Kalau di sini kita sebut istilah 'sabo', dia sabo kita. Dalam bila ada pertandingan yang agak sengit, satu undi pun boleh tentukan menang atau kalah.

Ingat, kerajaan Pas di Kelantan dahulu sebelum pilihan raya umum 2008 lalu telah mentadbir Kelantan dengan majoriti satu kerusi sahaja selama tiga tahun. Ia bertahan dengan majoriti satu kerusi. Di Australia, Perdana Menteri Australia tidak ada majoriti, dia bersatu dengan dua wakil parlimen daripada Green Party baru boleh tubuh kerajaan.

Ingat, dalam demokrasi, satu undi, satu kerusi, boleh menang. Sebab itu saya kata malam tadi tidak ada makna jadi naib johan dalam politik kita ini. Kalau kita bertanding sukan, jadi naib johan boleh dapat hadiah. Dalam politik, kalau jadi naib johan ertinya kita kalah kepada johan. Barisan Nasional tidak mahu jadi naib johan, kita nak jadi johan politik.

Bila keadaan kita sudah bertambah baik, politik kita rakyat sudah terima, semakin hari semakin terima BN. Dengan transformasi yang kita telah buat dalam masa dua tahun ini, tahap keyakinan semakin meningkat, ini adalah sesuatu yang bukan saya kata, tapi inilah pendapat dan analisis yang dibuat oleh pihak-pihak ketiga yang tidak ada kepentingan.

Mereka kata, kerajaan kini berada di landasan yang betul. Matlamat kita jelas. Mereka juga memahami tentang isi kandungan, maknanya, bagaimana kita hendak sampai kepada impian kita, hendak jadi negara maju berpendapatan tinggi, kita sudah jelaskan dalam dokumen ETP dah ada, dengan kita punya strategic reform initiatives dah ada, macam mana kita nak tingkatkan sistem penyampaian kita, sudah ada dalam GTP kita.

Jadi pada pembangkang ini, kalau mereka biarkan kita ini berjalan macam kita sedang lakukan kebelakangan ini, mereka melihat bahawa pelaksanaan kita dapat menambahkan keyakinan kepada rakyat. Jadi, bagaimana mereka nak ambil balik momentum politik tanah air.

Momentum politik berada di pihak BN dengan kemenangan siri pilihan raya kecil yang mana kita sudah reverse the trend berbanding dengan selepas pilihan raya 2008. Kita menang di Sarawak, mereka sudah kaji, mereka buat kesimpulan bahawa kalau keadaan ini berjalan macam biasa, tak mungkin mereka dapat kuasa di dalam negara kita.

Jadi bagaimana mereka buat kejutan, atau dalam bahasa Inggeris kata how do they respect the political momentum. Jadi timbullah cadangan untuk membuat rali Bersih ini. Rali Bersih ini bukan mengenai nak serah memorandum pada Yang di-Pertuan Agong, bukan sebab pilihan raya kita ini tidak betul dan ada banyak kepincangan.

Seperti mana Kayveas cakap tadi, kalaulah pilihan raya kita ini tidak betul, kenapa kita hendak serah lima buah negeri kepada pembangkang dalam pilihan raya yang lalu? Kenapa kita hendak serahkan Selangor kepada pembangkang? Kenapa kita hendak serahkan Pulau Pinang kepada pembangkang? Kenapa 20 tahun lebih Pas memerintah di Kelantan, kalau kita boleh manipulasi pilihan raya ini, baik semua negeri dikuasai oleh BN.

Kita bukan orang yang manipulasi pilihan raya, kita tidak rela berkuasa melainkan kita didukung oleh rakyat. Itu BN. Kita hanya rela berkuasa, kalau rakyat bersama kita. Tetapi janganlah buat sesuatu menimbulkan huru hara dalam negara kita semata-mata mereka hendak kuasa politik. Kuasa politik di tangan rakyat, bukan di jalanan.

Waktu pilihan raya, bertandinglah, kalau mereka ini anak jantan. If u really have the guts, lawan pilihan raya! If you don't have the guts, if u have something else, i don't want to say the word, buatlah secara jalanan, kalau negara kita ini huru-hara, mereka akan dipertanggungjawabkan!

Inilah, kita ada undang-undang, kita hendak jaga kepentingan rakyat negara kita, bukanlah kepentingan orang yang hendak kuasa politik, tidak sabar-sabar lagi. Tidak usahlah nak betulkan pilihan raya kita, betulkan parti sendiri. Tahun sudah pemilihan dalam parti apa yang sudah jadi, reformasi, reformasi, akhirnya baling kerusi. Sampai pemimpin mereka sendiri tidak percaya. Datuk Zaid Ibrahim yang ditatang sebagai hero, akhirnya dia juga kata dia tidak percaya dengan manipulasi dalam pemilihan parti PKR, sebab itu dia tubuhkan KITA. Betul tidak?

Betulkan parti sendiri itu dulu, jangan nak tunjuk mereka itu kononnya hero demokrasi. Demokrasi mana?! Mereka apa? Jadi ketua de facto leader tidak pernah bertanding dalam parti sendiri. Apa ini kata hendak jadi leader of the country, sendiri punya parti pun tidak bertanding, nak buat apa? Nak betulkan apa?

Dalam parti sendiri huru-hara, kacau-bilau, baling kerusi, macam-macam, hendak kata dia hendak jadi juara, ini semua tipu helah orang yang hendak sangat kuasa tetapi tidak menghormati kepentingan rakyat dan kepentingan negara.

Kita jangan takut, kita akan lawan habis-habisan. Tetapi kita lain, kita ikut undang-undang negara. Kita bukan samseng nak lawan, kita lawan dengan cara berhemah, berbudi dengan apa? Dengan memperjuangkan kepentingan rakyat melalui usaha program dasar kita dan peranan kita sebagai pemimpin.

Kita semua ada peranan, parti besar ada peranan, parti PPP ada peranan. Teruskan usaha kita kerana setiap daripada kita yang memainkan peranan akan memastikan kejayaan yang besar buat BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Dengan izin tuhan, insya-Allah kita akan menang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Felda mangsa 'hentam keromo'

Posted:

Felda mangsa 'hentam keromo'

Felda mangsa 'hentam keromo'

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MANA tidaknya pembangkang tidak 'kebuloq' dengan Felda. Tanah rancangan paling berjaya di dunia itu dengan kapasiti 317 kawasan kini berada di dalam 56 kawasan Parlimen - kira-kira seperempat daripada 222 kerusi Parlimen atau 96 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Felda sekarang tidak lagi diberi bantuan satu senpun oleh kerajaan. Sebabnya agensi kerajaan itu sudah boleh berdikari dan terbaru, mengeluarkan pula bajet untuk tahun ini sekitar RM1.6 bilion. Ia hasil dari tanah yang dilitupi kelapa sawit seluas 341,000 hektar.

Dengan semasa ini dihuni oleh 112,635 keluarga dan 1.6 juta generasi baru selain menjadi sumber rezeki 23,000 pekerja tetap dan 60,000 pekerja ladang, Felda adalah usaha pembangunan tanah dan pemilikan ladang terbesar di arena antarabangsa sejak ditubuhkan 55 tahun lalu.

Banyak kejayaan diraih Felda. Antara yang masih segar ialah ia merupakan pengeluar gula utama negara dengan menguasai 70 peratus kepentingan dalam Malayan Sugar Manufacturing Co. yang dimiliki jutawan Tan Sri Robert Kuok. Felda juga memiliki pusat bioteknologi terbesar di Nilai dengan mengeluarkan klon-klon kelapa sawit baru yang bagus. Felda turut mengeluarkan elektrik daripada Biomas iaitu bahan-bahan buangan sawit.

Jadi, tidak hairanlah mengapa pembangkang begitu 'kepingin benor' mahu merampas kawasan pilihan raya Felda. Tidak senang duduk mereka sehingga suatu ketika diuar-uarkan Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di kerusi DUN Kerdau awal tahun ini. Untunglah Tuan Ibrahim tidak bersaing sebagai calon Pas, kalau tidak malulah dia mahu 'mencanang' lagi isu Felda di Jengka bersama Mazlan Aliman, pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda SeMalaysia (Anak). Di Kerdau - kubu kuat Felda - tempoh hari, Pas kalah di semua saluran mengundi kepada BN.

Rentetan kemajuan Felda tadi antara lain mengukuhkan lagi amaran yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lalu tentang cubaan pembangkang memecahbelahkan masyarakat peneroka yang tidak lebih daripada permainan politik untuk meraih undi.

Dalam soal ini, pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk mendakwa Felda bankrap sedangkan hakikatnya tidak begitu. Terbaru, pembangkang mahu hapuskan Felda Plantation dan tanah berkenaan diberi kepada anak-anak peneroka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, ada banyak sebab mengapa kegelojohan pembangkang mahu menjual Felda Plantation dan seterusnya mengagih-agihkan tanah seluas 341,000 hektar itu kepada anak-anak peneroka atau generasi baru Felda perlu diperjelaskan menerusi fakta dan kerasionalannya. Bukannya mengikut emosi semata-mata.

"Tanah 341,000 hektar ini merupakan tanah bebas hak milik Felda iaitu tidak ada sekatan untuk dijual. Ini berbeza dengan status tanah 10 ekar kebun, suku ekar tapak rumah selain rumah asal yang diberikan kepada 112,635 keluarga peneroka yang tidak boleh dijual.

"Bayangkan, kalau anak-anak peneroka dapat tanah itu, ini bukanlah satu tuduhan tapi analogi, bayangkan kalau ada segelintir yang tidak bertanggungjawab... dapat sahaja tanah itu hari ini, esok dijualnya.

"Jadi, habislah tanah Melayu ini dan DAP sukalah. Dan kalaulah dibahagikan 1.6 juta anak peneroka ini dengan 314,000 hektar tanah ini, maka seorang hanya dapat seekar sahaja. Tanah ini ada di merata pelosok negara dengan kebanyakannya tidak ada prasarana seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya. Macam mana hendak dibangunkan," kata beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda.

Ahmad turut mendedahkan: "Lagipun daripada 314,000 hektar ini, 100,000 hektar terletak di Sabah. Macam mana nak bangunkan tanah orang Sabah, takkan kita nak kacau tanah orang Sabah. Kalau di Semenanjung pun, kedudukan tanah-tanah ini di tepi hutan di Pahang dan Negeri Sembilan, payah hendak dibangunkan kalau tidak ada modal," katanya.

Tapi malangnya, kata Ahmad, pembangkang tidak kisah semua itu. Malah, desakan supaya dijual Felda Plantation dijadikan salah satu daripada 10 agenda 'Buku Jingga' mereka.

"Seeloknya 'Buku Jingga' ini dibuang dalam longkang sahaja," tegasnya.

Ahmad menarik perhatian meskipun Felda Plantation merupakan satu daripada 88 anak syarikat Felda, ia sebenarnya penyumbang terbesar pendapatan Felda - yang bergerak dan menjana keuntungan di bawah satu kumpulan - menerusi ladang kelapa sawitnya.

"Bajet Felda RM1.6 bilion inilah yang digunakan untuk membayar duit raya, bonus dan khairat kematian keluarga peneroka. Bajet inilah juga digunakan untuk membayar gaji 23,000 pekerja Felda dan 60,000 pekerja ladang.

"Juga, inilah belanja untuk mendirikan dewan orang ramai, gelanggang futsal, memberi pinjaman untuk membaikpulih rumah dan kepada usahawan Felda. Jika mahu dijual Felda Plantation ini dan kemudian diagih-agihkan tanah kepada generasi baru, apa lagi yang tinggal, pembangkang kemudian bolehlah lepas tanganlah dan salahkan kerajaan pula," katanya.

Malah, beliau percaya, tidak mungkin keluarga peneroka tidak mahu memikirkan nasib 23,000 pekerja Felda dan 60,000 pekerja ladang tadi.

"Saya tidak fikir peneroka akan tamak sebegitu sekali, mereka tentu ada 'hati perut' yang tidak sama dengan pembangkang," katanya.

Felda sejak kebelakangan ini menjadi 'sepak terajang' pembangkang sehinggakan ia dihina dengan bermacam-macam gelaran yang tidak manis didendangkan oleh orang Melayu sendiri iaitu Pas. Antaranya seperti 'Stok Penimbal BN', lemah iman, kemaruk dengan harta benda dan mentaliti mundur.

Macamlah keluarga Felda tidak ada perasaan - tidak kecil hati dan tidak pula meluat dengan gelaran yang dilemparkan oleh parti yang dulunya konon memperjuangkan negara Islam tetapi kini negara kebajikan - yang entah apa hendak dikebajikannya pula.

"Ketika Pas dan suku sakatnya, PKR dan DAP sibuk membuat ceramah, BN mengatur program untuk manfaat keluarga dan anak-anak Felda.

"Salah satunya untuk anak-anak peneroka seperti menyediakan gelanggang futsal terbuka. Sebahagian 117 sudah siap dan 200 lagi tanah rancangan akan dilengkapi gelanggang yang menelan kos RM100,000 setiap satu ini menjelang akhir tahun," katanya.

Mazlan hakikatnya gagal sejak awal lagi untuk meraih sokongan keluarga Felda apabila tewas di dalam perebutan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum 2008 di tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kemudian dia gagal lagi di Kerdau ketika berganding dengan Tuan Ibrahim untuk memenangkan calon Pas di sana.

Kini, setelah menang AJK Pas Pusat, dia dengan angkuhnya bergerak lagi 'memporakperandakan' Felda yang kemajuannya diiktiraf dunia hasil titik peluh dan keringat peneroka Felda.

Bak kata Perdana Menteri: "Ini soal politik, kalau pembangkang gagal menghasut masyarakat Felda, mereka takut tidak dapat menguasai kerusi DUN dan Parlimen. Jadi, untuk menghakis sokongan terhadap BN, mereka akan lakukan apa sahaja cara dengan menyerang Felda."

Bagi Ahmad, beliau hanya meminta keluarga peneroka merenung satu perkara:

"Apa salah Felda, Felda tidak ambil duit orang kampung...Felda ambil duit sendiri (hasil keuntungan dan kerja kerasnya).

"Tapi sayangnya pembangkang tetap nak kacau, kacau dan kacau keluarga peneroka ini.

"Tapi, saya percaya berkat sokongan keluarga dan generasi baru Felda kepada BN, sokongan mereka tetap dikira 'A', lebih-lebih lagi dengan banyaknya lagi kemajuan yang ditempa Felda akhir-akhir ini."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan