Sabtu, 25 Jun 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


GLC dan syarikat naungan Khazanah perlu bantu usahawan kecil dan sederhana

Posted: 25 Jun 2011 02:32 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat naungan Khazanah perlu memainkan peranan penting dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bantuan yang konsisten dari segi bekalan, pengeluaran dan pembuatan perlu diberikan kepada usahawan tersebut.

"Ini adalah peranan yang sangat berkesan yang dapat dimainkan oleh GLC kerana kita mahu supaya perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai dapat sama-sama disertai oleh syarikat kecil dan sederhana," katanya pada sidang media selepas melawat Hari terbuka GLC 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. Katanya pada masa yang sama, GLC mempunyai peranan penting terhadap kerajaan dalam bidang ekonomi berdasarkan penerokaan mereka dalam bidang yang agak besar dan tertentu, selain menjana hasil dan pendapatan yang digunakan untuk membangunkan negara.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa kerajaan melepaskan GLC yang telah berjaya supaya mampu berdaya saing di peringkat global.

"Cuma sampai ke satu peringkat, saya tak tahu bila masa, kalau pihak kerajaan beranggapan ada keperluan untuk GLC diserahkan sebagai sebuah syarikat kepada pihak yang lain, dalam pelbagai bentuk, itu terserah," katanya.

Mengenai penjenamaan GLC, Muhyiddin berkata penjenamaan GLC bukanlah persoalannya, tetapi sumbangan dan peranan yang dimainkan supaya tiada pandangan negatif bahawa GLC hanya tumpu terhadap keuntungan tanpa memberi faedah kepada pihak lain. Beliau berkata banyak program vendor yang ditaja oleh GLC dan syarikat-syarikat di bawah naungan Khazanah Nasional Bhd, khususnya dalam membantu usahawan kecil dan sederhana.
Muhyiddin juga berkata GLC perlu memperluas lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mampu untuk memainkan peranan dari segi pembangunan sosial, atau bidang-bidang yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat.

"Ini adalah satu inisiatif yang amat kita alu-alukan selaras dengan kemajuan yang telahpun dicapai oleh syarikat-syarikat ini untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan dalam bidang pendidikan," katanya.

Muhyiddin yang diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kononnya penghantaran wakil untuk misi kemanusiaan ke Gaza berbaurkan politik, berkata inisiatif tersebut dilakukan dari sudut perikemanusiaan untuk membela rakyat Palestin yang dikepung dalam keadaan terseksa dan daif.

"Jadi, saya tidak fikir wajar untuk dikatakan ini sebagai satu langkah yang berbaur politik, kecuali ahli yang berhormat itu sendiri hendak mempolitikkan hal sebegini," katanya.

Beliau percaya rakyat Malaysia tidak mengira bangsa, keturunan dan kefahaman politik, mempunyai pendirian yang sama dan melihat penderitaan Palestin sebagai satu perkara yang besar.

"Kalau pihak yang bersedia untuk mengorbankan nyawa mereka pergi ke sana, saya tidak fikir kita perlu salah tafsir niat baik ini," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keyakinan pengguna terhadap produk tempatan meningkat: Ismail Sabri

Posted: 25 Jun 2011 02:26 AM PDT

Mutakhir

KUANTAN: Pengguna kini semakin yakin barangan buatan tempatan adalah berkualiti serta setanding jenama yang diimport dari luar negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan tempatan semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana selain kualiti bagus, harganya jauh lebih murah berbanding produk sama dari luar negara.

Beliau berkata kempen kerajaan seperti ''Beli Barangan Malaysia'' yang sudah tiga kali diadakan, menjadi bukti kesedaran orang ramai terhadap produk tempatan semakin meningkat. "Pada masa yang sama, usahawan yang menyertai kempen itu juga dari semasa ke semasa memperbaiki kualiti dan mutu produk mereka, termasuk daripada segi pembungkusan dan penjenamaan," katanya kepada pemberita selepas menutup Ekspo Beli Barangan Malaysia dan Peluang Perniagaan Francais Zon Timur 2011 hari ini.

Ismail Sabri berkata ekspo sama di Kuala Lumpur baru-baru ini mencatat jualan berjumlah RM13 juta manakala sebanyak RM4 juta dicatat ketika ia diadakan di sini tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata peniaga dan pengguna akan terjejas jika demonstrasi jalanan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 9 Julai depan, berjalan seperti dirancang.

Katanya, perhimpunan itu akan menyebabkan ramai peniaga tidak dapat beroperasi seperti biasa, sekaligus menjejaskan pendapatan harian mereka.
Ismail Sabri berkata pengguna pula bakal berdepan situasi kekurangan atau ketiadaan produk harian, terutama sumber makanan akibat penutupan kedai atau pasar raya, dan ini akan mencetus pembelian panik.

"Orang ramai akan membeli dalam kuantiti banyak untuk simpanan, dan perkara itu menyebabkan kekurangan produk di kedai, sekaligus peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga produk kerana permintaan tinggi daripada pengguna," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan