Utusan Online - Timur |
- Pertandingan kawad bomba
- Penduduk Air Piau tuntut tanah
- Pelajar, pensyarah Kolej PTPL tawan Gunung Tebu
Posted: Pertandingan kawad bombaOleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU 23 Jun - "Rumah terbakar panggil bomba, bomba datang berlumba-lumba,". Itulah antara bait-bait lagu yang sering dinyanyikan oleh kanak-kanak sebagai gambaran tugas dan tanggungjawab yang dijalankan oleh pasukan bomba. Lazimnya kebakaran sering dikaitkan dengan bomba dan menganggap tugas hakiki itu tidak melibatkan kerja-kerja menyelamat seperti kemalangan jalan raya, bencana alam dan pelbagai lagi tugas-tugas mencabar yang lain. Hakikatnya, anggota ini telah dilatih secara fizikal dan kemahiran mengendalikan kes-kes menyelamat. Ini dibuktikan apabila seramai 635 peserta daripada 16 kontinjen seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menyertai Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan kali ke-13 di beberapa lokasi di negeri ini. Sepanjang lima hari pertandingan berlangsung, orang ramai di sekitar bandar ini tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat kecekapan dan kemahiran anggota bomba menjalankan tugas memadam kebakaran di samping menyaksikan bagaimana kerja-kerja menyelamat baik di darat mahupun di dalam air di lakukan. Sebanyak sembilan acara dipertandingkan antaranya kawad kaki, fireman lift, kawad hantaran jauh berhalangan dan kawad penyelamatan kemalangan jalan raya. Acara lain termasuk, kawad membentang hos perseorangan, kawad menyelamat di air, pertandingan sindiket perancangan strategik operasi, kawad naik turun tangga dan pertandingan fire fighter challenge. Salah seorang pengunjung, Asyraf Sabri Adnan, 28, ketika ditemui berkata, dia teruja berpeluang melihat secara lebih dekat bagaimana anggota bomba menjalankan tugas terutama ketika berlaku kebakaran atau kemalangan jalan raya. "Jika sebelum ini, saya hanya melihat melalui televisyen, namun hari ini saya dapat melihatnya secara lebih dekat dan ini merupakan pengalaman baru buat saya dan orang ramai di sekitar bandar Kota Bharu. "Walaupun pertandingan, namun bagi saya maklumat begini baik dikongsi kerana orang ramai dan dapat melihat sendiri situasi sebenar anggota bomba ketika bertugas," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut. Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, Kelantan dipilih menjadi tuan rumah bagi pertandingan kali ini melibatkan empat lokasi berbeza iaitu Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Gate Air Kulim (Pasir Puteh), Felcra Gua Dalam (Rantau Panjang) dan Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa. Katanya, objektif pertandingan bukan mencari pemenang, tetapi dalam masa yang sama bagi meningkatkan kecekapan, mutu kerja dan disiplin anggota bomba menjalankan tugas mereka. ''Pertandingan ini juga mampu mengeratkan hubungan sesama anggota dan membentuk budaya kerja berdaya saing di samping mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran. "Melalui pertandingan ini juga, kita dapat mengukur sejauh mana peserta terlibat dapat mengaplikasikan apa yang mereka pelajari semasa menjalani latihan dahulu dalam kerja-kerja operasi mereka," ujarnya. Jelas beliau, melalui pertandingan ini, para peserta juga dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi ilmu dalam menjalankan tugas serta dapat meningkatkan pengetahuan di kalangan anggota. Azmi memberitahu, pertandingan tersebut dilihat berjaya meningkatkan kecekapan anggota pasukan dalam melaksanakan tugas mereka. Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan, Ridhuan Abdullah, 30, menyambut baik pertandingan yang dijalankan oleh pihak jabatan dan menyifatkannya sebagai satu bentuk latihan selain meningkatkan prestasi dalam menjalankan tugas. "Melalui program ini, saya dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi ilmu dalam menjalankan tugas dengan pasukan negeri ini. Walaupun ini pertandingan, namun bagi saya, ia medan terbaik untuk menambahkan ilmu pengetahuan terutama dalam bentuk kemahiran. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Penduduk Air Piau tuntut tanah Posted: Penduduk Air Piau tuntut tanahOleh AZRAN FIRTI RAHIMazran.rahim@utusan.com.my penduduk di Tanah Rancangan Air Piau 1 dan 2, Gual Ipoh berkumpul secara aman bagi mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya menyerahkan semula tanah yang mereka teroka di Tanah Merah, baru-baru ini. TANAH MERAH 23 Jun - Kira-kira 150 penduduk di Tanah Rancangan Air Piau 1 dan 2, Gual Ipoh di sini berkumpul secara aman di kawasan tersebut kelmarin bagi mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya menyerahkan semula tanah yang mereka teroka sejak berpuluh tahun lalu. Pada perhimpunan tersebut mereka turut memegang sepanduk yang bertulis tolong Tok Guru selesaikan tanah kami dengan seadil-adilnya dan kembalikan tanah kami' dan 'Kerajaan Kelantan harus belas nasib rakyat dan jangan ambil hak peneroka'. Penduduk terbabit mendakwa tanah seluas 145.72 hektar itu sebenarnya diteroka sejak 1980-an, bagaimanapun ia diserahkan kepada Felcra untuk dimajukan sebelum diambil alih Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada 2008. Wakil peneroka tanah tersebut, Mat Che Pa, 58, berkata, pihaknya telah beberapa kali menghantar surat kepada Kerajaan Pas Kelantan bagi membincangkan status tanah tersebut tetapi tidak mendapat sebarang jawapan sehingga hari ini. "Tanah ini adalah hasil usaha kira-kira 69 peneroka asal sejak 1980-an lagi, namun ia diserahkan kepada kepada Felcra untuk dimajukan dengan persetujuan pemilik asal. "Berdasarkan surat perjanjian bersama Felcra kami membayar premium untuk mendapatkan kembali tanah itu, namun pada tahun 2008 ia diserahkan kepada PMBK tetapi sehingga hari ini kami tidak tahu bagaimana status tanah ini selepas surat kami tidak mendapat sebarang maklum balas," katanya kepada pemberita di sini kelmarin. Sejak awal bulan lalu, beberapa siri demonstrasi diadakan bagi membantah tindakan Kerajaan Pas Kelantan. Ia bermula dengan demonstrasi sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan pusat pentadbiran kerajaan Pas Kelantan, Kota Darulnaim pada 16 Mei membantah Ladang Rakyat. Terbaru, 16 Jun lalu, kira-kira 100 penduduk di kawasan Ulu Kusial, di sini mengadakan perhimpunan membantah tindakan Kerajaan Pas Kelantan meluluskan kawasan pembalakan kepada sebuah syarikat di kawasan berkenaan kerana ia menjejaskan kawasan tadahan air. Mat mendakwa PMBK mendapat keuntungan berlipat kali ganda kerana mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang modal disebabkan ia telah diusahakan oleh penduduk serta Felcra. "Kami bukan dari kalangan orang berada dan hanya bergantung harap dengan menoreh getah. Jadi kami amat berharap Kerajaan Pas Kelantan supaya memberi perhatian serius kepada permohonan kami agar mendapat balik tanah ini. "Tambahan pula harga getah sekarang melambung tinggi dan ia memberi peluang kepada kami untuk menyimpan sedikit untuk masa depan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pelajar, pensyarah Kolej PTPL tawan Gunung Tebu Posted: Pelajar, pensyarah Kolej PTPL tawan Gunung TebuKeriangan jelas terpancar di raut wajah para pelajar Kolej PTPL Kota Bharu selepas berjaya menawan puncak Gunung Tebu di Besut, Terengganu, baru-baru ini. KOTA BHARU 23 Jun - Seramai 22 siswa dan siswi serta dua pensyarah Kolej PTPL Kota Bharu berjaya menawan puncak Gunung Tebu, Besut, Terengganu pada 1 Jun lalu. Ekspedisi selama dua hari itu dianjurkan oleh Kelab Kembara dan Unit Pembangunan Pelajar (UPP) PTPL dengan kerjasama dari Jabatan Perhutanan Terengganu. Presiden Kelab Kembara, Mohd. Ikram Hafiez Ishak, 22, berkata, pihaknya mengambil masa selama lapan jam untuk sampai ke puncak gunung setinggi 7,088 meter. Menurutnya, sepanjang perjalanan untuk mendaki, para peserta dapat menikmati keunikan alam seperti Batu Mat Hassan yang bentuknya seperti seekor katak gergasi dan Jendela Pandang. "Inilah salah satu keunikan yang ada di hutan ini. Melalui jendela itu, para peserta dapat menyaksikan pemandangan indah tujuh puncak gunung lain yang terdapat di kawasan tersebut. "Kami tiba di puncak pada pukul 6.30 petang. Walaupun ia memenatkan namun, sebaik sahaja melihat keindahan tersebut segala kepenatan yang di tanggung terus hilang begitu sahaja," katanya. Katanya, ekspedisi itu bukan sahaja menguji minda dan stamina namun ia turut membentuk budaya kerjasama di kalangan para peserta yang menyertainya. "Selain kerjasama dan semangat berpasukan aktiviti ini turut memupuk semangat kerjasama dan menghargai alam sekitar," ujarnya. Katanya, kelab itu merancang untuk menawan puncak Gunung Stong pada Oktober tahun lalu. "Kejayaan ini menguatkan lagi semangat kami untuk terus menawan puncak tertinggi yang ada di negara ini pada masa akan datang," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan