Sabtu, 25 Jun 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Pesawat papa terhuyung-hayang'

Posted: 24 Jun 2011 11:34 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Mama nampak pesawat papa terhuyung-hayang sebelum terhempas," kata Nur Ilyani Zakaria, 29, anak kedua Allahyarham Kolonel (B) Zakaria Salleh, 57, yang terkorban dalam nahas pesawat di Padang, Sumatera, Indonesia, kelmarin.

Nur Ilyani yang juga anak kedua daripada lima beradik itu berkata, arwah bersama ibunya pergi ke Padang dari Melaka kira-kira jam 2 petang kelmarin.


"Sebaik mama melihat keadaan pesawat yang dipandu papa itu, dalam hati mama terdetik akan kejadian itu kerana mama sering mendengar cerita daripada rakan mengenai keadaan pesawat sebelum terhempas.

"Mama sangat terkejut dengan kejadian itu. Selepas terhempas saya difahamkan papa diberi bantuan kecemasan dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Surau Nur As-Sobirin, Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini.


Nur Ilyani yang juga seorang setiausaha berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa bapanya selepas mendapat panggilan daripada ibunya pada hari kejadian.


Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Hafedz, 27, berkata walaupun masih terkejut, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang bapa penyayang dan sering memberi semangat kepada kelima-lima anaknya.

Beliau yang bekerja di Kedah memberitahu kali terakhir bertemu bapanya pada minggu lalu ketika sambutan Hari Bapa.


"Papa ajak kami sekeluarga makan bersama-sama di The Curve, Damansara. Pada hari itu papa gembira sangat, tetapi sedikit keletihan.

"Papa juga tidak pernah memaksa kami jadi juruterbang dan menyokong apa saja cita-cita kami. Abang saya yang sulung seorang juruterbang. Saya akan mengambil lesen juruterbang dalam masa terdekat," katanya.


Hafedz berkata, bapanya amat meminati dunia penerbangan dan dalam perancangan membangunkan akademi penerbangan di Rawang.


Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Isyak, malam tadi di tanah perkuburan Bandar Tasik Puteri dan meninggalkan seorang balu, Leila Zurina Ahmad Nordin, 50 serta lima anak Muhammad Yamen, 30, Nur Ilyani, 29, Hafedz, 27, Eizat Hakim, 25, dan Farish, 17.


Kejadian berlaku apabila pesawat ringan jenis Cristian Eagle yang dipandu arwah dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011 jatuh di tanah lapang Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, kira-kira jam 5.24 petang waktu tempatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rumah tak siap, pembeli muflis

Posted: 24 Jun 2011 11:31 AM PDT

KLANG: "Kami nak rumah yang dijanjikan...jangan tahu minta duit kami saja, tetapi pembinaan tak dijalankan." Itu rayuan 16 pembeli rumah berkembar satu tingkat di Jalan Kopi, Meru, di sini, yang terbengkalai sejak sekian lama.

Difahamkan, projek perumahan itu mula dibuka untuk jualan sejak 2003 dan hanya terdapat 24 unit yang dijual, namun sehingga kini terbengkalai dan tiada tanda-tanda bakal siap dalam masa terdekat.


Berikutan usaha sebelum ini tiada penyelesaian, pembeli rumah berkenaan sepakat mengadu permasalahan mereka di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam, semalam. Bahrin Yunos, 42, berkata syarikat pemaju seolah-olah lepas tangan terhadap projek perumahan yang terlalu lama terbengkalai dan tidak memberi respons menyenangkan kepada pembeli yang masih menunggu keputusan status rumah mereka.

Lebih malang, selepas dia dan rakan pembeli lain merujuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri, mereka mendapati pemaju yang mengendali projek perumahan itu tidak berlesen.


"Saya sudah cuba banyak kali menghubungi pemaju, tetapi tidak pernah mendapat jawapan positif, malah diberi janji palsu berulang kali," katanya.


Ada di kalangan pembeli rumah itu diisytihar muflis akibat gagal menjelaskan hutang mencecah hampir RM300,000 walaupun sudah memberi penjelasan kepada pihak bank bahawa projek perumahan terbabit terbengkalai.

"Pihak bank sudah membuat bayaran sehingga 95 peratus kepada pemaju, tetapi jika dilihat kepada proses pembinaan kurang daripada 70 peratus bahagian yang siap dibina. Sampai bila lagi kami perlu tunggu?," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan