Isnin, 27 Jun 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Usaha hidupkan komunis

Posted:

Usaha hidupkan komunis

Usaha hidupkan komunis

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my


KECEKAPAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sekali gus membanteras kegiatan antikerajaan yang dipercayai melibatkan sebuah parti pembangkang lengkap dengan bukti risalah dan pakaian prokomunis diperoleh selepas tangkapan ke atas mereka di Pulau Pinang, kelmarin.


KEPALA BATAS 26 Jun – Polis mengesan gerakan terancang pihak tertentu didakwa cuba menghidupkan semula fahaman komunis bagi tujuan menjatuhkan kerajaan melalui perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Gerakan itu juga didakwa sedang giat menyebarkan propaganda anti kerajaan termasuk melalui risalah yang secara terang-terangan menghasut rakyat menggulingkan pemerintah seperti berlaku di negara-negara Asia Barat.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, maklumat itu diperoleh hasil siasatan terhadap 31 penyokong Bersih diketuai Ahli Parlimen Sungai Siput yang juga pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar Devaraj yang ditahan semalam.

Menurutnya, selain membawa beribu-ribu risalah berunsur anti kerajaan, kumpulan itu juga membawa baju-T tertera gambar pemimpin komunis yang diangkat sebagai 'kesatria' termasuk pemimpin gerila komunis Cuba, Che Guavera dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Suriani Abdullah.

"Berdasarkan isi kandungan risalah, tulisan nama pemimpin PKM di bahagian belakang baju T, polis percaya kumpulan itu ada membawa unsur-unsur untuk menghidupkan semula fahaman komunis yang haram dari sudut undang-undang.

"Ini sesuatu yang serius kerana kempen Bersih itu nampaknya dimasukkan unsur-unsur seolah-olah untuk hidupkan semula fahaman komunis, bukannya semata-mata menuntut pilihan raya bersih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Jeyakumar bersama 30 lagi individu dipercayai penyokong Bersih ditahan ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, di sini.

Kumpulan itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang ketika menaiki bas pesiaran yang dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Pulau Pinang bagi mempromosikan perhimpunan tersebut.

Abdul Rahim berkata, pihaknya merampas 28 helai baju T tertera wajah pemimpin komunis, 15 batang bendera logo PSM, 5,000 risalah 'Udahlah tu..Bersaralah', 600 risalah perhimpunan Bersih, 1,500 risalah PSM dan dua banner tertulis 'Udahlah tu, Cukup 54 Tahun, Bersaralah'.

Turut dirampas dalam bas berkenaan adalah dua alat pembesar suara dan mikrofon.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Rahim turut membacakan salah satu ayat dalam risalah milik kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan Bersih yang berbunyi:

"Kalau rakyat Marhaen di negara-negara Arab dapat menjatuhkan rejim-rejim kuku besi yang berdekad-dekad lama memerintah, tidak mustahil rakyat Malaysia menuntut perubahan politik di tanah air kita. Pemerintahan satu parti. Masa untuk perubahan".

Menurut Abdul Rahim, tindak-tanduk kumpulan berkenaan jelas merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara apatah lagi melibatkan sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh undang-undang.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 16 hingga 64 tahun dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 20 tahun atau denda.

"Kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan polis manakala seorang daripadanya yang berusia 16 tahun dibebaskan kerana masih di bawah umur," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jangan biarkan golongan kiri cabar institusi raja, Islam

Posted:

Jangan biarkan golongan kiri cabar institusi raja, Islam

Jangan biarkan golongan kiri cabar institusi raja, Islam


Beberapa individu dipercayai ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan kelmarin diiringi polis ketika hadir di Mahkamah Majistret, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jun – Tindakan golongan kiri yang sengaja mencabar dan mengelirukan persepsi rakyat terhadap institusi raja-raja dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tidak wajar dibiarkan berlaku, apatah lagi memberi persepsi amalan raja berperlembagaan dikaitkan dengan istilah feudal yang negatif.

Kekeliruan ini diburukkan lagi apabila istilah kerajaan yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris disebut sebagai government yang sekali gus melupuskan status kewujudan institusi raja-raja sebagai pendukung kerajaan raja berperlembagaan.

Pakar Sejarah, Tan Sri Profesor Khoo Kay Kim berkata, istilah government seakan-akan menidakkan kewujudan istilah kuasa raja dalam kerajaan, sebaliknya penterjemahan ini, secara lateral menafikan kedudukan institusi raja dalam Perlembagaan Malaysia.

''Perkataan Inggeris yang sesuai ialah kingdom atau monarki," katanya ketika muncul secara langsung dalam program Bual Bicara Assalamualaikum terbitan TV Al Hijrah pagi ini.

Menurut Prof. Khoo, fakta sejarah menyebut pegawai British, Sir Hugh Clifford sendiri dalam ucapannya pada tahun 1927 mengakui, pihaknya mengadakan rundingan dengan raja-raja Melayu dipanggil Mohamoden Mornarchy, merujuk kepada istilah Mohamaden yang digunakan untuk orang Islam pada ketika itu.

''British pada masa itu mengadakan perjanjian dengan raja-raja untuk menguasai pentadbiran, bukan pemerintahan, jadi dalam soal undang-undang, kuasa raja-raja Melayu kekal sebagai kuasa tertinggi," katanya.

Prof. Khoo menjawab ketika ditanya pengacara Assalamualaikum, Amin Idris yang juga graduan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Turut dijemput menjadi tamu ialah Mohamad Naser Disa, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, serta pengacara tetap program itu, Irma Hasmie.

Malah jelas Prof. Khoo, British melalui undang-undang mengiktiraf kedudukan raja-raja Melayu sebagai kuasa tertinggi.

''British tidak pernah menjajah Tanah Melayu, apa yang dilakukan pada tahun 1948 ialah menggabung kuasa sembilan raja Melayu yang berdaulat untuk menjadi sebuah negara bangsa dan British menguasai pentadbiran sahaja," jelasnya.

Justeru apa yang berlaku pada 1957, katanya, British dan raja-raja Melayu bersetuju membentuk negara bangsa dengan menyerahkan kuasa pentadbiran kepada kerajaan yang dipilih rakyat namun kuasa tertinggi mengenai Islam dan hak Melayu tetap pada raja-raja.

Mohamad Naser pula mengingatkan, adalah penting rakyat negara ini memahami mengenai kuasa prerogatif yang dimiliki raja-raja Melayu dalam isu pentadbiran agama Islam.

''Walaupun raja bersetuju membentuk Majlis Agama Islam Negeri, tetapi kuasa mutlak tetap pada raja-raja dan majlis ini tidak berada di bawah kuasa kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada raja-raja," katanya.

Menurut Mohammad Naser, sejarah adalah fakta yang berlaku dan sejarah menjadi kuasa utama dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia untuk hidup sebagai negara bangsa.

Raja-raja pada waktu itu, jelas Mohamad Naser lagi, bersetuju dalam pembentukan perlembagaan negara dengan meletakkan Islam sebagai agama negara.

''Raja-raja mempunyai kuasa tertinggi berkaitan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu, dan sekiranya perkara ini hendak diubah, ia mesti mendapat persetujuan raja-raja Melayu," katanya lagi.

Mohamad Naser turut menjelaskan mengenai peranan ini adalah kelangsungan kuasa yang dimiliki oleh institusi raja sejak lama dahulu.

Catatan Batu Bersurat juga menyebut mengenai tatacara pemerintahan raja-raja Melayu yang tertera pada seawal tahun 1303.

"Seseorang raja hendaklah memerintah berdasarkan al-Quran dan Sunnah, rakyat yang patuh pada undang-undang boleh tinggal dalam negeri, sesiapa yang ingkar boleh tinggal dalam hutan… itu catatan sejarah," jelasnya.

Assalamualaikum setiap Sabtu dan Ahad menyiarkan segmen Kenali Kuasa dan Peranan Institusi Raja-Raja Melayu dan Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

NGO berkaitan gerakan Kristian penyumbang dana Bersih?

Posted:

NGO berkaitan gerakan Kristian penyumbang dana Bersih?

NGO berkaitan gerakan Kristian penyumbang dana Bersih?



KUALA LUMPUR 26 Jun - Gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian yang berpangkalan di luar negara dikenal pasti sebagai penyumbang dana kewangan terbesar kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Gerakan tersebut yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak beberapa minggu lalu dikesan aktif menyalurkan bantuan kepada Bersih melalui NGO tempatan.

Antaranya adalah Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman yang mempunyai hubungan erat dengan Parti Kesatuan Kristian Demokratik di sana, serta Yayasan Canadian Allied dari Kanada.

Kedua-dua NGO tersebut kini dikesan berada di carta 'tiga teratas' selaku penyumbang berbanding beberapa lagi pertubuhan asing lain, yang mewakili sembilan negara berlainan.

Dipercayai, jumlah terkumpul dana kewangan asing yang dimiliki Bersih kini sudah mencecah jutaan ringgit dan ia bakal digunakan untuk membiayai operasi demonstrasi.

Malah, Utusan Malaysia difahamkan, minggu lalu sahaja sebanyak RM250,000 dari negara asing disalurkan secara haram kepada sebuah NGO tempatan yang bernaung di bawah Bersih.

"Semua sekali, sembilan negara asing yang menjadi 'tangan ghaib' bagi mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara pada 9 Julai ini dan mereka bergerak melalui NGO.

"Penyumbang paling besar yang dikesan adalah daripada NGO yang mempunyai kaitan dengan Kristian," kata sumber kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, sumber tersebut turut menjelaskan Bersih juga menerima bantuan kewangan daripada NGO yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Britain dan beberapa buah negara Asia yang lain.

Bagi Amerika Syarikat, Institut Demokrat Kebangsaan (NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) dikenal pasti menaja Bersih dan parti-parti pembangkang di negara ini.

"Semua ini membuktikan bahawa Bersih hanya menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai kambing hitam untuk menghalalkan demonstrasi haram. Di belakang mereka ada ejen asing.

"Jadi saya harap rakyat sedar perkara ini. Pembangkang kini sanggup melakukan apa sahaja termasuk bersekongkol dengan negara asing bagi mencetuskan huru-hara," jelasnya.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia di laman web NDI, www.ndi.org mendapati NGO tersebut mengesahkan bahawa mereka menaja aktiviti Bersih.

"Program NDI di Malaysia ditaja oleh National Endowment for Democracy (NED)," kata badan tersebut seperti dipetik dari laman web.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan