Utusan Online - Kota |
Posted: Mangsa nyaris maut kena tetakOleh ROZIANAH RISMAN
KUALA LUMPUR 27 Jun – Seorang guru wanita mengalami kerugian kira-kira RM8,800 selepas dirompak oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Amzil, Taman Melewar tengah hari ini. Mangsa, Nazalina Nawawi, 36, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Sentul itu juga nyaris maut ditetak oleh kumpulan perompak itu apabila mereka turut mengacukan parang ke arahnya. Kejadian itu berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup milik jirannya, yang menunjukkan empat lelaki yang menunggang dua buah motosikal melakukan jenayah tersebut. Menurut Nazalina, dia bergelut dengan seorang daripada penjenayah tersebut apabila lelaki itu merentap gelang tangannya sebelum menyelak tudungnya untuk menyamun rantai leher. "Disebabkan saya tidak pakai rantai, perompak itu kemudian bertindak merampas beg tangan saya yang mengandungi wang tunai RM6,500 hasil perolehan perniagaan kedai buku milik suami dan sebuah telefon bimbit. "Kumpulan lelaki itu juga memberi amaran supaya tidak menjerit, namun saya jerit dengan sekuat hati menyebabkan perompak itu marah lalu mengugut untuk menikam saya sebelum mengheret saya keluar kereta," katanya. Sementara itu, bapa mertua mangsa, Abu Bakar Ahmad, 67, bergegas keluar rumah setelah mendengar jeritan menantunya itu dan bertindak membaling batu ke arah perompak tersebut. "Saya yang terkejut melihat pergelutan tersebut cuba membaling batu ke arah perompak itu tetapi saya diugut bunuh sekiranya saya bertindak merapati mereka. Mereka kemudian terus melarikan diri," jelasnya. Antara barangan yang turut diambil ialah kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan kunci kereta. Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Remaja ditemui mati terjatuhPETALING JAYA 27 Jun - Seorang abang tidak menyangka mayat lelaki yang ditemui terjatuh di tingkat bawah sebuah pangsapuri di USJ 1 dekat sini awal pagi ini adalah adiknya sendiri. Muhammad Hasbi Ali, 20, yang bekerja sebagai tukang masak berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila jirannya memaklumkan terlihat seseorang terjatuh dari tingkat 10 pangsapuri itu, pukul 3 pagi. Katanya, dia kemudian turun untuk melihat dan terkejut mendapati mayat itu sebenarnya adalah adik ketujuhnya, Mohd. Nazri (gambar), 18. "Semasa ditemui, adik saya sudah 'nyawa-nyawa ikan' kerana cedera parah di kepala. Abang saya, Muhammat Sobbri menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital," katanya ketika ditemui di rumah mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini. Dia yang bertemu adiknya itu kali terakhir pukul 11 malam semalam, reda dengan pemergian arwah. Tambahnya, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuantan, Batang Kali. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat tujuan mangsa berada di tingkat tersebut. "Hanya seorang rakan mangsa diambil keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. | ||
Posted: Harapan warga Shah AlamOleh ABDUL RAZAK IDRIS PLAZA Tol Sungai Rasau merupakan salah satu daripada dua plaza tol di Shah Alam yang dicadang supaya dimansuhkan. - UTUSAN/Mohd shaharani saibi SHAH ALAM 27 Jun - UMNO Bahagian Shah Alam bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini berharap cadangan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan. Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Nawawi Md. Zin berkata, memorandum berhubung perkara itu, yang merupakan suara hati warga Shah Alam, sudah pun dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya pada 11 Jun lalu. Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada kementerian berkenaan dan usaha sedang dilakukan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor. Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berkata, kunjungan hormat itu disifatkan sebagai penting bagi mendapatkan reaksi awal kerajaan, selain boleh membincangkan cadangan dalam memorandum tersebut. "Dalam keadaan ekonomi hari ini, UMNO Bahagian membawakan suara hati rakyat di negeri ini bersama pelbagai NGO dan amat berharap kerajaan dapat memenuhi permintaan itu. "Jika sebelum ini, beberapa kutipan tol sudah ditamatkan dan kami harap tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau juga dapat dimansuhkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Pada 11 Jun lalu, Nawawi menyerahkan memorandum memansuhkan tol tersebut kepada Shaziman bagi dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Ashaari Ibrahim yang mewakili Shaziman selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian tersebut. Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari pula berkata, golongan muda sentiasa memberikan sokongan kepada usaha meringankan beban kewangan rakyat termasuk memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Persekutuan yang telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu. "Dalam keadaan ekonomi sedang mengalami pemulihan, kami merayu agar kerajaan dapat menamatkan operasi kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut," katanya. Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Kamaruddin Ahmad berkata, Lebuh raya Persekutuan adalah pintu masuk utama ke Shah Alam dan sewajarnya ia tidak 'dihiasi' dengan plaza tol. "Mengikut perkiraan kita, syarikat konsesi lebuh raya itu sudah berjaya mengutip balik nilai pelaburan mereka bagi membangun dan menaik taraf lebuh raya berkenaan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan