Utusan Online - Timur |
Posted: Baik pulih stadium tertangguhOleh RADHUAN HUSSAIN KUALA TERENGGANU 27 Jun – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dukacita kerana kajian oleh perunding integrasi ke atas Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak masih belum disiapkan. Kelewatan itu menjejaskan usaha membina struktur bumbung yang runtuh dua tahun lalu dan kerja baik pulih yang lain bagi membolehkan pelbagai kegiatan sukan dapat dijalankan semula. Katanya, berdasarkan makluman awal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), jaminan diberikan bahawa kerja-kerja kajian itu akan dapat disiap bulan ini. Tetapi pada mesyuarat minggu lalu, beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja kajian tersebut hanya diserahkan kepada perunding pada Mei lalu dan dijangka siap September ini. "Saya rasa agak dukacita atas kelewatan yang berlaku. Saya tak dapat komen apa-apa mengenai masalah ini. Tanyalah JKR sendiri," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort (TER) di sini hari ini bagi meninjau persiapan sempena program Sukan Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi). Ahmad diminta mengulas perkembangan membaik pulih bumbung stadium berkenaan yang runtuh pada 2 Jun 2009 lalu setelah kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan sudah lama dijalankan. Mengenai kejohanan sukan tahunan Serikandi selama lima hari bermula 5 Julai ini, beliau berkata, ia akan disertai lebih 500 isteri wakil-wakil rakyat untuk acara badminton dan bowling. "Stadium Negeri akan menjadi gelanggang badminton manakala TER pula untuk bowling pada sepanjang kejohanan itu nanti," jelasnya. Tambah beliau, pada hari penutup kejohanan itu nanti, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir sama. | ||
Impian miliki netbook tercapai Posted: Impian miliki netbook tercapai
KOTA BHARU 27 Jun - Meskipun program dijadualkan pada pukul 11 pagi, namun Tey Fei Shen, 17, bersama bapanya, Tey Guan Leong, 50, sudah berada di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat seawal pukul 8.30 pagi lagi. Hati Fei Shen, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Cheng di sini, berbunga-bunga kerana buat pertama kali dalam hidupnya, dia akan memiliki gajet elektronik sendiri, iaitu sebuah netbook. Fei Shen merupakan antara 1,200 pelajar yang menerima sumbangan netbook tersebut daripada Kerajaan Pusat kerana keluarganya tergolong dalam kumpulan yang memerlukan bantuan. Ketika ditemui, Fei Shen berkata, dia sebelum ini pernah meminta ayahnya membelikan sebuah komputer untuk bantuan pembelajaran, namun disebabkan kekangan kewangan, hajat tersebut tidak dapat dipenuhi. "Tapi sekarang kerajaan sudah bagi percuma. Saya memang gembira dan akan menjaga netbook ini dengan sebaik mungkin dan menggunakannya untuk tujuan pelajaran. "Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana tolong kami orang susah. Kalau mahu beli sendiri memang bukan senang sebab duit pun tidak banyak," katanya. Majlis Penyerahan Netbook kepada pelajar sekolah menengah Parlimen Kota Bharu itu disempurnakan oleh Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh di sini semalam. Mohd. Fatmi dalam ucapannya berkata, lebih RM1.2 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat untuk bantuan tersebut bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit dapat bersaing dengan rakan-rakan mereka yang lain. Sementara itu, Guan Leong yang bekerja sendiri, turut menyatakan kegembiraannya apabila melihat anaknya naik ke pentas menerima sendiri netbook tersebut yang diserahkan oleh Mohd. Fatmi. "Belum pernah saya belikan apa-apa komputer kepada anak saya. Inilah yang pertama dia miliki jadi mestilah hati saya gembira sangat. "Anak saya memang pernah minta beli tapi saya tidak mampu jadi saya harap dengan adanya netbook ini dia akan dapat belajar dengan lebih baik untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Berlindung di ‘Puncak Mahligai’ Posted: Berlindung di 'Puncak Mahligai'Oleh ASMA HANIM MAHMOOD PASIR MAS 27 Jun – Mat Zain Yaacob, 64, yang dilahirkan dalam keluarga miskin dan yatim sejak dari kecil, merasakan hidupnya tidak akan sempurna jika tidak 'memberi semula' kepada mereka yang senasib dengannya. Ahli perniagaan yang memiliki kedai gambar dan percetakan kad perkahwinan di bandar Pasir Mas ini, amat memahami betapa peritnya hidup dalam kemiskinan terutama bagi golongan remaja yang sedang mengikuti alam persekolahan. Beliau tahu, situasi belajar dengan perut kosong dan tanpa sokongan menjadi antara sebab ramai anak-anak dari keluarga miskin terkandas dalam pelajaran dan tidak mendapat peluang serupa dengan rakan mereka yang lebih berkemampuan. Atas dasar itulah beliau mewakafkan tingkat atas daripada rumah tiga tingkat miliknya di Seksyen 3, bandar Pasir Mas bersebelahan Ma'ahad Muhammadi Pasir Mas, sebagai asrama pelajar perempuan dari keluarga kurang berkemampuan sejak 2007. Tingkat atas seluas 223 meter persegi itu yang digelar 'Puncak Mahligai' boleh menempatkan sehingga 20 pelajar pada satu-satu masa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan asas yang disediakan daripada duit poket Mat Zain sendiri dan juga sumbangan dermawan lain. "Saya sudah niat, jika ada rezeki lebih dan tanah yang sesuai saya akan bina sebuah rumah tiga tingkat yang mana bahagian atasnya saya khaskan sebagai tempat tinggal percuma untuk pelajar yang kurang bernasib baik. "Saya mula merancang membina rumah ini sejak 10 tahun lalu, sebelum ini saya dan keluarga hanya 'berumah' di kedai gambar kami, jadi bila membina kediaman sendiri saya mahu kongsikan rezeki yang Allah beri dengan orang lain. "Syukurlah saya dapat membeli sebidang tanah berharga RM20,000 berdekatan dengan sekolah yang boleh menjadi lokasi sesuai sebagai penginapan pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Mat Zain mengingati bagaimana susah hidupnya dahulu apabila ayahnya, Yaacob Samoh meninggal dunia saat dia dan adik-beradiknya yang lain masih belum mengerti dengan sepak terajang dunia. "Kami sekeluarga ketika itu tinggal di Kampung Repek dan menyara hidup dengan membanting tulang di sawah padi, apabila ayah saya meninggal, kami adik-beradik seramai enam orang terpaksa bergantung kepada ibu, Aisyah Samer. "Ibu saya berseorangan mengerah keringat di sawah, namun yang penting baginya ketika itu adalah memastikan kami dapat makan dan mengenal huruf seperti orang lain," katanya. Mat Zain yang merupakan anak ketiga dalam keluarganya berkata, ibunya yang meninggal dunia 10 tahun lalu pada usia 80 tahun, menempatkannya di Pondok Kubang Pak Amin, Pasir Mas yang mana setiap hari beliau akan mengayuh basikal lebih 40 kilometer dari pondok ke sekolah agama di Pasir Pekan bagi menuntut ilmu. "Ketika itu saya tinggal di pondok secara percuma dan tidak perlu membayar sewa apa-apa, ia umpama asrama bagi pelajar miskin, tempat kami menumpang teduh yang lebih selesa sedikit daripada rumah sendiri. "Saya belajar sehingga peringkat darjah enam sekolah Arab dan berhenti pada usia belasan tahun," katanya. Demi menampung kehidupannya, Mat Zain belajar mengambil gambar daripada seorang mata-mata gelap pencen bernama Che Haron yang mengajarnya selok-belok penggunaan kamera. "Sejak dari zaman sekolah lagi saya akan keluar mengikut Che Haron 'memikul kamera' mengambil gambar di seluruh daerah Pasir Mas dan kawasan sekitar. "Kamera 'board' pertama yang saya beli adalah daripada jenis Yasika dengan harga RM50 hasil daripada simpanan sendiri dan juga sumbangan ikhlas kawan-kawan rapat," katanya. Bermula daripada situlah Mat Zain mula dikenali dengan nama 'Zain Foto' dan telah memberanikan diri menyewa sebuah kedai di pekan Pasir Mas untuk perkembangan perniagaan fotonya pada usia 25 tahun. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan akhirnya memiliki kedai sendiri yang turut menjadi tempat dia membesarkan kesembilan orang anak yang kesemuanya memiliki pendidikan tahap diploma dan ijazah. Anak-anak hasil daripada perkahwinannya dengan Rokiah Awang Besar, 55, dari usia 23 sehingga 40 tahun kini sudah berjaya dalam karier masing-masing sama ada sebagai pendidik, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan. Mat Zain juga sangat gembira kerana setakat ini tiga daripada 'anak-anak' angkatnya sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. "Kesemua anak-anak ini membahasakan diri saya sebagai 'ayah' dan isteri saya pula 'ibu', saya sudah berpesan kepada anak-anak kandung saya agar meneruskan usaha ini meskipun apabila saya sudah tiada nanti. "Saya berharap semoga apa yang saya lakukan ini dapat menjadi pahala dan bekalan akhirat nanti," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan