Utusan Online - Utara |
- MPTI jamin ganti pondok bas
- Mangsa ambulans terbalik perlu bantuan
- Maritim Malaysia rampas diesel subsidi
Posted: MPTI jamin ganti pondok basOleh AIN SAFRE BIDIN TELUK INTAN 24 Jun – Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) akan menggantikan pondok bas berhampiran Simpang Empat, Hutan Melintang di sini yang rosak teruk sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna. Yang Dipertua MPTI, Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya mengakui wujud keperluan untuk menggantikan pondok bas tersebut dengan segera. "Siasatan kami mendapati pondok bas itu telah dilanggar oleh kenderaan berat seperti lori mengakibatkan atap yang dibuat daripada plastik pecah dan rosak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai kebimbangan serta keresahan pengguna pondok bas berkenaan yang kebanyakannya merupakan pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di Simpang Empat. Kerosakan pondok bas itu bukan sahaja menyebabkan pelajar berkenaan terpaksa berhujan dan berpanas ketika menunggu bas tetapi menyebabkan banyak peralatan sekolah rosak kerana basah. Ibrahim berkata, siasatan pihaknya mendapati pondok bas tersebut masih diperlukan khususnya oleh pelajar sekolah berkenaan. Beliau menambah, pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai bagi meningkatkan perkhidmatan dan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan itu kepada masyarakat setempat. Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan berlaku kesesakan di sekitar bandar hujung minggu ini ekoran penganjuran kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2011 di Stadium Mini, Jalan Speedy di sini. Sehubungan itu, penduduk dan pengunjung dinasihati bersabar dan berhati-hati serta mengikuti arahan petugas MPTI bagi mengelak kesesakan lebih teruk. | ||
Mangsa ambulans terbalik perlu bantuan Posted: Mangsa ambulans terbalik perlu bantuan
SUNGAI PETANI 24 Jun - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib ibu tunggal, Zurinah Ibrahim, 48, yang bukan sahaja menghidap penyakit kanser pundi kencing tetapi turut menderita apabila patah tulang selangka dan bahu kiri selepas terlibat dalam kejadian ambulans terbalik di sini Isnin lalu. Kejadian malang itu berlaku semasa dia bersama seorang ibu mengandung serta dua lagi masing-masing jururawat dan pembantu perubatan dalam perjalanan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini ke Alor Setar. Ekoran itu, Zurinah yang menetap bersama tiga anaknya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini, hanya mampu duduk setempat dan tidak boleh melakukan kerja berat. "Dulu saya berniaga kecil-kecilan dengan menjual rojak di hadapan rumah dan hasilnya dapatlah tampung perbelanjaan harian. Selepas kejadian baru-baru ini, saya memang tidak boleh nak buat apa lagi," katanya yang baru dibenarkan keluar daripada wad HSAH semalam. Menurut Zurinah, akibat insiden itu, pergerakannya sangat terhad dan ditambah pula dengan keadaannya yang semakin uzur akibat penyakit kanser. "Saya kini terpaksa bergantung pada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Kalau nak diikutkan memang tak cukup dengan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang, tambahan pula perlu tanggung perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya. Tambahnya, dia turut bimbang kerana terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas ini. Dalam pada itu, Zurinah mendakwa, dia berasa sedikit kesal kerana pihak hospital tidak memberikan penjelasan berhubung kejadian ambulans terbalik itu. "Memang saya faham ia bukan salah pemandu ambulans tetapi sekurang-kurangnya pihak pengurusan hospital tampil memaklumkan keadaan sebenar. "Saya juga ada bertanyakan perkara ini kepada jururawat dan mereka hanya beritahu pihak hospital tidak boleh berbuat apa-apa kerana pesakit tidak dilindungi insurans semasa dibawa ambulans," katanya. Sementara itu, Pengarah HSAH, Dr. Harif Fadzilah Che Hashim berkata, pihaknya telah mengemukakan laporan lengkap insiden berkenaan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. ''Buat masa ini, segala urusan dan bil perubatan Zurinah akan ditanggung sepenuhnya oleh HSAH,'' katanya. Bagaimanapun, Zurinah berharap, pihak berkenaan atau orang ramai dapat membantu meringankan beban yang ditanggungnya kini. Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Zurinah boleh mengunjunginya di No. 8, Lorong Jati 45B, Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani atau menghubungi talian 012-5664043. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Maritim Malaysia rampas diesel subsidi Posted: Maritim Malaysia rampas diesel subsidi
KANGAR 24 Jun - Rondaan dan pemantauan kerap oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negeri ini sekali lagi berjaya mematahkan kegiatan menyeludup diesel subsidi yang semakin menjadi-jadi di negeri ini. Awal pagi ini, anggota pasukan ini berjaya menahan sebuah bot tanpa pendaftaran dipercayai milik negara jiran yang cuba menyeludup kira-kira 1,620 liter diesel. Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kepten Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 5.30 pagi, anggotanya berjaya mengesan bot yang dinaiki dua awak-awak dipercayai dari negara jiran pada kedudukan 0.2 batu nautika (300 meter) dari pantai Kuala Perlis. "Dalam serbuan itu, kedua-dua awak-awak itu pantas melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran dan hasil pemeriksaan kami menemui 54 tong pelbagai warna yang berisi diesel," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut beliau, hasil rampasan termasuk bot yang keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM7,000 akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. Abdul Rahim berkata, rampasan kali ini merupakan yang kesembilan dilakukan oleh pihaknya dalam bulan ini sahaja manakala tangkapan yang ke-21 untuk tahun ini. Sehubungan itu beliau berkata, Maritim Malaysia Wilayah Utara akan meningkatkan rondaan dan pemantauan penyeludupan dan jenayah maritim di negeri ini dan turut meminta orang ramai untuk bekerjasama melaporkan kegiatan tersebut kepada pihaknya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan