Khamis, 16 Jun 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Flet daif, kotor memalukan

Posted: 15 Jun 2011 02:23 PM PDT

Wilayah

FLET Padang Tembak yang kusam dan tidak terurus mencacatkan pemandangan di Pulau Pinang.

FLET Padang Tembak yang kusam dan tidak terurus mencacatkan pemandangan di Pulau Pinang.

Hampir setengah juta penduduk Pulau Pinang tinggal di bangunan lapuk

GEORGETOWN: Lif rosak, bangunan kusam dan berlapuk, bau busuk, tempat pembuangan sampah tidak terurus, dinding dan lantai retak serta menjadi 'port' gejala sosial termasuk penagihan dadah, adalah antara contoh beberapa isu dan permasalahan yang menghantui jutaan penghuni rumah pangsa di seluruh negara sejak sekian lama.

Isu dan permasalahan itu saban hari semakin kritikal yang diibaratkan 'bom jangka' sekiranya tiada tindakan segera menanganinya oleh pihak yang berwajib. Di Pulau Pinang, hampir setengah juta penghuni rumah pangsa mengalami masalah berkenaan khususnya yang dibina pada akhir 1960 dan awal 70-an dan 80-an seperti rumah pangsa Padang Tembak, Paya Terubong dan Lebuh Macallum dan Bayan Lepas.

Penghuni sudah lali dengan masalah kebersihan, persekitaran tempat tinggal yang tidak selesa termasuk rumah sempit, kejadian jenayah, kemudahan asas tidak lengkap, rumah retak dan bocor serta tempat letak kenderaan tidak mencukupi.

Selain itu, tempat pembuangan sampah yang kotor dengan lalat berterbangan dan tikus berkeliaran boleh mengundang pelbagai jenis penyakit berjangkit, selain ancaman keselamatan kepada penghuni apabila berlaku kebakaran berikutan kediaman berkenaan dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

Masalah itu juga menyebabkan berlaku 'kemerosotan bandar' sehingga memberikan imej yang buruk dan menjejaskan pemandangan kerana rumah pangsa sudah bertukar rupa kerana tidak dicat semula, berlumut, dan ditumbuhi pokok.
Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mahyuddin Ramli, mengakui rumah pangsa kini termasuk di Pulau Pinang berdepan keadaan kritikal yang memerlukan tindakan segera.

"Isu dan masalah yang timbul di kawasan perumahan ini amat kritikal dan jika tidak ditangani ia boleh menjadi 'bom jangka," katanya kepada Berita Harian.

Pulau Pinang kini mempunyai 144,896 unit rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah. Ia mempunyai kira-kira 1.6 juta penduduk dan ini bermakna hampir satu pertiga daripada penduduk menghuni di rumah pangsa.

Rumah pangsa pertama dibangunkan di Pulau Pinang ialah rumah pangsa Padang Tembak - antara rumah pangsa yang dianggap sesetengah pihak tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal.

Prof Mahyuddin berkata, rumah yang sempit dan persekitaran tidak selesa seperti kotor, menyebabkan penghuni sentiasa berada dalam keadaan tertekan sehingga mendorong mereka mencari ketenangan di luar rumah.

Apabila timbul keadaan itu, mereka terutama remaja terdedah kepada gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan samseng, sekali gus menyebabkan kawasan rumah pangsa sering berlaku jenayah.

"Sebab itu banyak masalah sosial berlaku di kawasan rumah pangsa kerana penghuninya berada dalam keadaan tertekan dari segi psikologi," katanya.

Beliau berkata, semua masalah yang timbul di kawasan perumahan itu bakal menimbulkan kesan psikologi dalam jangka panjang, termasuk melahirkan masyarakat agresif dan mudah memberontak.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penghuni tak bayar wang penyelenggaraan

Posted: 15 Jun 2011 02:22 PM PDT

Wilayah

GEORGETOWN: Soal kewangan, kerjasama dan sikap penghuni serta peranan kerajaan negeri adalah antara faktor yang menyumbang kepada sebahagian besar rumah pangsa di Pulau Pinang berada dalam keadaan daif dan menyedihkan.

Rata-rata penghuni rumah pangsa berpendapatan rendah dan tanggungan ramai, malah tidak kurang pula warga tua menyebabkan mereka tidak mampu menjelaskan bayaran penyelenggaraan.

Apabila pemilik gagal menjelaskan bayaran penyelenggaraan walaupun serendah RM20 sebulan, ini mengakibatkan banyak kemudahan tidak dapat diselenggarakan dengan sempurna seperti lif, lampu, bayaran kutipan sampah, bayaran tukang sapu dan landskap. Contohnya, pada 2007, Flet Mak Mandin di Butterworth yang mempunyai 1,001 unit, hanya lima pemilik yang menjelaskan yuran penyelenggaraan RM20 sebulan.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Wong Mun Hoe, yang berpengalaman hampir 20 tahun berkaitan perumahan berbilang tingkat di negeri ini, menjelaskan soal kewangan menjadi isu utama menyumbang kepada masalah itu.

"Apabila penghuni tidak menjelaskan wang penyelenggaraan, pelbagai masalah timbul yang menyebabkan mereka mengalami kesusahan," katanya yang menganggotai Jawatankuasa Perumahan Negeri ketika Pulau Pinang dikuasai BN.

Banyak juga rumah pangsa yang tidak mempunyai jawatankuasa pengurusan bagi menguruskan bangunan untuk kepentingan bersama, sekali gus menyebabkan tiada pihak yang peduli masalah di flet berkenaan.
Masalah itu, antara lain disebabkan jawatankuasa pengurusan adalah tugas sukarela, tetapi ahli jawatankuasa terpaksa memikul tugas yang berat untuk kepentingan semua penghuni.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak itu juga mengakui sikap sesetengah penghuni yang tidak bertanggungjawab seperti mengabaikan aspek kebersihan juga menyebabkan timbul pelbagai masalah di rumah pangsa masing-masing.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan