Selasa, 14 Jun 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Guna DNA mohon sijil kelahiran

Posted: 14 Jun 2011 03:03 PM PDT

Nasional

pix_gal0
JPN pertimbang alternatif jika pemohon tiada dokumen sokongan

PUTRAJAYA: Pemohon sijil kewarganegaraan dan sijil kelahiran kini boleh menggunakan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai dokumen sokongan untuk dipertimbangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, pemohon perlu menanggung sepenuhnya kos untuk menjalani ujian berkenaan kerana ia adalah kemudahan alternatif yang diberikan kepada pemohon yang tidak memiliki dokumen sokongan bagi melengkapkan permohonan masing-masing. Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap, berkata walaupun kemudahan itu diberikan, JPN tidak akan mengabaikan peraturan lain yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Ujian DNA ini hanya boleh dijadikan dokumen rujukan untuk memudahkan proses permohonan dalam kes tertentu apabila tiada bukti dokumen atau saksi bagi mengesahkan dakwaan.

"Kebenaran untuk menggunakan ujian DNA ini sudah dilaksanakan setahun lalu bagi mempercepatkan lagi proses permohonan kewarganegaraan dan sijil kelahiran.

"Setakat ini, JPN menerima lapan ujian DNA sebagai dokumen sokongan," katanya selepas menyampaikan sijil kewarganegaraan dan kelahiran kepada 157 penerima di sini, semalam.
Semua sijil itu diberi mengikut Perkara 19(1), Perkara 15A, Perkara 15(2), Perkara 15(1) dan Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan selain menerusi Program MyDaftar. Hadir sama, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim.

Raja Azahar berkata, sebanyak 29,677 permohonan kewarganegaraan dikemukakan pada 2007, 2008 dan 2009 berjaya diselesaikan tahun lalu.

Katanya, sepanjang 2010, kementeriannya menerima 17,324 permohonan dan semua keputusan dijangka diperoleh selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, warga asing akan didaftarkan mengikut sistem biometrik menjelang 2012 bagi membolehkan kerajaan mendapat data lengkap jumlah mereka di negara ini termasuk pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Sementara itu, D Alagamah, 28, berharap penganugerahan sijil kelahiran kepada empat anaknya iaitu Akash, 6; Darshini, 5; Srisanthosh, 4 dan Divashini, setahun selepas menunggu selama setahun akan memudahkan urusan persekolahan mereka.

"Saya sukar mendaftarkan kelahiran anak kerana perkahwinan saya dengan suami, warga India tidak didaftarkan. Namun dengan program MyDaftar, masalah berjaya diatasi," katanya.

Alagamah antara 15,000 pemohon yang memanfaatkan program MyDaftar untuk mempermudah permohonan daftar lewat kelahiran di Semenanjung.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

10 sukarelawan sertai Flotila II

Posted: 14 Jun 2011 03:01 PM PDT

Nasional

   DR NOORAZAMAN  pada sidang media     mengenai        misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotila II  di ibu negara, semalam. Turut serta     Ahmad Zaki (tengah)   dan   Mat Ariffin.

DR NOORAZAMAN pada sidang media mengenai misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotila II di ibu negara, semalam. Turut serta Ahmad Zaki (tengah) dan Mat Ariffin.

Dua Ahli Parlimen ikut serta belayar menerusi misi kemanusiaan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Sepuluh sukarelawan Malaysia, termasuk dua Ahli Parlimen, akan belayar ke Gaza akhir bulan ini menerusi misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotila II bagi memecahkan kepungan haram rejim zionis Israel ke atas perairan Gaza.

Mereka akan menyertai lebih 1,000 sukarelawan daripada lebih 600 badan bukan kerajaan (NGO) dunia, yang akan belayar ke perairan Gaza dengan menaiki 13 kapal penumpang dengan tiga darinya adalah kapal kargo membawa pelbagai bantuan kemanusiaan berupa bekalan perubatan, peralatan sekolah dan bahan binaan seperti simen kepada 1.5 juta rakyat Palestin. Semua sukarelawan yang bernaung di bawah pertubuhan Lifeline4Gaza (LL4G) itu akan menaiki kapal penumpang Scotland dan Jerman selain diwajibkan menjalani latihan persediaan mental dan fizikal untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan, termasuk kursus survival di lautan, bermula Ahad ini.

Presiden LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata pasukan sukarelawan Malaysia itu mendapat sokongan daripada kerajaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan identiti anggota sukarelawan terbabit pada 18 Jun depan pada majlis pelepasan diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Sepuluh rakyat Malaysia, termasuk dua Ahli Parlimen masing-masing seorang dari BN (Barisan Nasional) dan pakatan pembangkang akan ikut serta, menaiki kapal (tajaan NGO) dari Jerman dan Scotland menggunakan bendera Scotland.

"Semua 13 kapal dijangka bertemu di satu titik pertemuan di Laut Mediterranean pada 27 atau 28 Jun depan sebelum belayar ke arah Gaza," katanya pada sidang media LL4G mengenai penyertaan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan antarabangsa itu di Stesen KL Sentral, di sini semalam.
Hadir sama adalah Pengerusi Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia), Datuk Ahmad Zaki Zahid; Pengerusi Muslim Care Malaysia, Mat Ariffin Ismail; Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias; Pengerusi PC2P-Aman Palestin, Dr Isa Hamzah dan Pengarah Hubungan Luar Cakna Palestin, Zahari Mohd Sidik.

Noorazman yang juga pengasas kepada LL4G, iaitu gabungan 19 NGO pro-Palestin di negara ini berkata misi kemanusiaan itu adalah kesinambungan misi Freedom Flotila pada Mei tahun lalu yang menyaksikan sembilan aktivis kemanusiaan yang menaiki kapal penumpang Turki, MV Marvi Marmara ditembak mati komando Israel.

Katanya, misi kemanusiaan kali ini menggunakan tema 'Pertahankan Kemanusiaan' bagi mengingati pembunuhan aktivis kemanusiaan pro-Palestin, Vittorio Arrigoni di Gaza beberapa bulan lalu, di mana kesemua sukarelawan akan belayar ke Gaza bersandarkan prinsip menolak sebarang bentuk keganasan.

"Kami dijangka bergerak ke Gaza pada 30 Jun kecuali ada halangan. Kami sudah minta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memeriksa kapal termasuk penumpang. Kalau ada individu yang disenaraihitamkan, kita akan keluarkan mereka. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga boleh buat 'sportcheck' kecuali Israel," katanya.

Noorazman berkata, pasukan itu masih kekurangan RM300,000 bagi menampung kos pembiayaan keseluruhan misi kemanusiaan itu dengan individu dan korporat yang berminat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan masing-masing kepada Muslim Care (Viva Palestin) melalui akaun Maybank bernombor: 564490211159.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan