Selasa, 14 Jun 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Laporan kemalangan maut bas dua tingkat dikemukan kepada Jabatan Peguam Negara

Posted: 14 Jun 2011 03:06 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Laporan badan siasatan bebas berhubung kemalangan maut membabitkan bas dua tingkat di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, tahun lalu, sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata laporan itu dibentangkan di Kabinet pada April lalu dan rujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah meneliti laporan itu dan memberi kepada pihak polis dan agensi relevan untuk tindakan susulan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Katanya, laporan itu mengandungi hasil siasatan termasuk punca kemalangan dan kemungkinan kelemahan oleh pelbagai agensi kerajaan dan pengusaha bas berkenaan.

Dalam kemalangan pada 21 Disember tahun lalu, seramai 25 pelancong warga Thailand dan dua rakyat Malaysia terbunuh apabila bas persiaran dua tingkat yang mereka naiki terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik ke dalam longkang.

Kong berkata, laporan itu tidak akan diumumkan kepada orang ramai atau dibentangkan di Parlimen kerana implikasi perundangan dan kini terpulang kepada agensi berkaitan untuk melihat syor yang dibuat oleh badan bebas itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

Berikutan kemalangan ngeri itu, kerajaan menubuhkan badan siasatan bebas yang diketuai oleh naib canselor Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, untuk menyiasat kemalangan itu.
Badan tersebut meneliti semua aspek yang menyebabkan kemalangan itu sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KAFA tidak akan hukum Daudsu: Annuar

Posted: 14 Jun 2011 02:37 AM PDT

Mutakhir

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak bercadang mengambil tindakan disiplin atau menukar posisi pemain pertahanannya, Daudsu Jamaluddin sebagai "hukuman" berikutan kecuaiannya menjaringkan gol ke gawang sendiri ketika menentang Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

"Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas Daudsu atas kesilapan menjaringkan gol sendiri pada perlawanan itu yang menyebabkan Kelantan gagal membawa pulang piala berprestij," kata Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Annuar, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, merasmikan majlis tabur benih padi di Bendang Permatang Pusu, Melor, dekat sini. "Adalah tidak adil jika menghukum seseorang pemain yang baik hanya kerana sekali melakukan kesilapan tidak disengajakan, bukan jenis saya sebagai Presiden Kafa sanggup melakukan perkara itu.

"Malah, kita akan terus memberi semangat dan motivasi kerana kita mempunyai misi lebih besar untuk menempah tempat dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini," katanya.

Annuar, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, beliau tahu ramai peminat dan penyokong Kelantan kecewa dan marah terhadap kesilapan pemain Kelantan itu, dan sebagai Presiden Kafa, beliau sendiri lebih lagi merasai bahang itu.

Katanya, Daudsu akan tetap diturunkan sebagai kesebelasan utama pada perlawanan Liga Super yang akan bertemu Perak di Stadium Mohammed Ke-IV malam ini.
"Kita juga tidak akan tukar posisinya di barisan pertahanan Red Warriors... kita kena ingat dalam insiden itu, ada dua lagi penyerang Terengganu di belakangnya yang mungkin akan menjaringkan gol biarpun Daudsu tidak melakukan kesilapan itu...," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, KAFA akan memberi tawaran menonton secara percuma perlawanan persahabatan Kelantan dengan pasukan bola sepak sama ada dari Indonesia atau Thailand yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 2 Julai.

"...tetapi dengan syarat peminat perlu membeli dua tiket bagi menonton perlawanan antara Kelantan dan Perak malam ini dan juga perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Myanmar pada 18 Jun ini dan mereka perlu menyimpan keratan tiket yang dibeli daripada kedua-dua perlawanan itu," katanya.

Katanya, langkah mengadakan perlawanan persahabatan itu sebagai persediaan menyuntik semangat pemain selain ke arah melamar pemain pasukan terbabit menyertai Kelantan pada musim akan datang. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan