Isnin, 24 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Lapan lelaki diberkas kerana dadah

Posted: 24 Oct 2011 02:45 AM PDT

Mutakhir

IPOH: Polis memberkas lapan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM550,000 serta perkakas memproses dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Ipoh, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim, berkata penahanan semua suspek dan serbuan itu dipercayai melumpuhkan kegiatan pengedaran heroin serta syabu di sekitar daerah Kinta iaitu di kawasan Ipoh, Batu Gajah dan Kampar.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 8.002 kilogram, syabu sebanyak 1.219 kilogram, syabu berbentuk cecair seberat 30 liter, ketamin sebanyak 108 gram dan pil Psikotropik pula sebanyak 21 gram," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini. Beliau berkata, nilai rampasan ketiga-tiga serbuan itu adalah yang terbesar di Perak setakat ini.

Katanya, selain dadah, polis merampas tujuh kenderaan, barangan kemas, sembilan telefon bimbit dan wang tunai RM32,131 serta menyita harta yang dianggarkan bernilai RM371,000.

Mohd Noor Rashid berkata, siasatan awal mendapati tujuh suspek berasal dari Perak manakala seorang lagi dari Melaka, dan semua mereka berusia lingkungan 26 dan 36 tahun.

Beliau berkata, tiga suspek ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Meru Impiana, Sabtu lalu manakala dua lagi hasil serbuan ke sebuah rumah di Taman Jelapang, yang dipercayai menjadi tempat pemprosesan dadah.
"Serbuan pada jam 5.15 petang hari yang sama di sebuah pondok di kawasan kebun pisang berhampiran Taman Suria, Tanjung Rambutan pula, polis merampas 26 tong mengandungi cecair Aceton, empat periuk berisi syabu cecair, lebih empat plastik guni bertulis 'caustic soda flake' 98 peratus serta perkakas lain," katanya sambil menambah polis turut memberkas tiga lelaki yang berada di kawasan berkenaan.

Mohd Noor Rashid berkata, dua suspek didapati memiliki kesalahan lampau mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Katanya, semua suspek yang dipercayai aktif dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar Kinta itu kini ditahan reman sehingga 29 Oktober ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Kenyataan mengenai anak Guan Eng diputar belit: Muhyiddin

Posted: 24 Oct 2011 02:41 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kenyataannya berhubung isu anak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Sabtu lalu, sudah diputar belit oleh beberapa media alternatif.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mengheret hal berkaitan keluarga dan anak Guan Eng ke dalam kancah politik tetapi sebaliknya hanya memberikan saranan supaya pihak berkenaan membuat laporan polis bagi menamatkan segala tomahan berhubung isu itu.

"Sebenarnya saya tidak hendak campur dalam urusan seperti itu dan saya sedar banyak penulisan di dalam blog. Untuk heret isu keluarga dan anak dalam kancah politik itu bukan tujuan saya. "Tetapi ia sudah diputar-belitkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 berkaitan Kementerian Pelajaran pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Barat) yang bertanya sama ada Timbalan Perdana Menteri bersedia menarik balik kenyataannya berhubung isu membabitkan anak Guan Eng itu.

Sabtu lalu, Muhyiddin menyarankan Guan Eng supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pihak terhadap anaknya itu bagi membersihkan nama anaknya memandangkan penafian tidak mencukupi.

Muhyiddin berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan Guan Eng yang menyalahkan penulis blog pro-UMNO yang mendakwa anak lelakinya itu mencabul kehormatan seorang rakan pelajar wanita berusia 16 tahun dan cuba melepaskan diri dari hukuman.
Kenyataan Muhyiddin itu kemudian mendapat reaksi daripada pemimpin pembangkang yang menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai maksud tersirat.

Muhyiddin berkata beliau sendiri tidak menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak sekolah berkenaan sebelum ini kerana beliau tidak bertanya kepada sekolah itu mengenai insiden tersebut.

"Saya tahu dalam semua media alternatif banyak (kenyataan) ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan hal lain yang tidak ada kena mengena. Saya tidak kata dia (anak Guan Eng) bersalah. Saya tidak ada masalah tetapi masyarakat membuat penilaian lain.

"Kalau tidak ada, apa yang YB Ipoh Barat (Lim Kit Siang) bimbangkan ," katanya.
-- BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan