Jumaat, 28 Oktober 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Hukum pembazir

Posted: 27 Oct 2011 01:32 PM PDT

MukaDepan

TPM arah tindakan terhadap pihak salah guna kuasa seperti laporan audit

SITIAWAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin me­ngarahkan tindakan disiplin atau hukuman setimpal diambil terhadap pihak yang terbukti melakukan pembaziran atau salah guna kuasa seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius semua teguran dalam laporan itu bagi memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan serta agensi kerajaan benar-benar dimanfaatkan untuk faedah rakyat.

"Setiap kelemahan yang didedahkan dalam laporan itu perlu diperbaiki dengan langkah tertentu seperti tindakan disiplin terhadap pihak berkaitan jika ada penyalahgunaan kuasa," katanya pada sidang media selepas melancarkan sisipan School Times akhbar New Straits Times, di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh Lekir, dekat sini, semalam. Serentak itu, Muhyiddin meminta semua kementerian, agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri, termasuk yang dikuasai pembangkang tidak hanya membaca Laporan Ketua Audit Negara, sebaliknya mengambil perhatian serius semua teguran.

Beliau berkata, teguran itu dapat dijadikan panduan untuk semua pihak menentukan supaya perbelanjaan daripada dana negara dimanfaatkan sebaik mungkin untuk rakyat.

"Laporan itu mencakupi semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri. Tidak terkecuali kerajaan yang dikuasai pembangkang, ada juga teguran audit yang mereka perlu jawab. Ini menunjukkan tanggungjawab Ketua Audit Negara yang mengambil kira semua pihak," katanya.

Mengulas kritikan pembangkang terhadap dasar transformasi kerajaan berikutan ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu, Muhyiddin berkata, pembangkang tidak sepatutnya sesuka hati melabel demikian kerana kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang turut ditegur.
Sebuah portal berita kelmarin melaporkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak senang dengan teguran terhadap Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang mencatat keuntungan pada 2007-2008 berubah kepada menanggung kerugian RM122 juta pada 2009.

Muhyiddin berkata, pemimpin pembangkang pernah berada dalam kerajaan dan menerajui beberapa kementerian semestinya tahu laporan Ketua Audit Negara sentiasa disertakan dengan teguran penting untuk memastikan perbelanjaan negara dilaksanakan dengan berhemah dan baik.

"Kita pada peringkat kementerian sudah memberi penjelasan kepada juruaudit dan mereka yang membuat pengauditan (mengenai perkara sebenar yang berlaku), tetapi teguran itu memang penting.

"Ini bukan bermakna tiada penambahbaikan. Kerajaan faham dan laporan ini memang kita ambil kira sebagai laporan penting. Apa yang penting bagaimana kita dapat memastikan beberapa asas seperti sikap kebertanggungjawaban, telus dan sifat murni yang kita gunakan sebagai asas dalam menguruskan belanjawan negara mesti dijadikan pegangan utama," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada perjumpaan khas bersama guru-guru agama Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, beliau menyarankan guru agama dan pendidikan Islam memiliki pemikiran sejagat dan pandangan global, bukannya hanya tertumpu kepada sukatan pelajaran dalam kelas semata-mata ketika menyampaikan ilmu di sekolah.

Katanya, pemikiran yang mengambil kira perubahan di persekitaran dan seluruh dunia dalam aspek pendidikan, budaya, ikhtisas, politik dan ekonomi mampu melahirkan modal insan lebih berkualiti yang diperlukan negara bagi mencapai negara maju menjelang 2020.

Pada sesi soal jawab pula, beliau berkata kerajaan sedia membantu Sekolah Agama Rakyat peringkat rendah atau menengah, terutama dalam aspek latihan guru, infrastruktur dan bantuan kewangan.

"Kerajaan juga sedia menimbang cadangan memberi biasiswa atau menanggung kos pengajian guru sekolah agama rakyat yang ingin menyambung pengajian di institut pengajian guru serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan RM15.8 juta kepada 59 sekolah agama di negeri ini membabitkan RM11.9 juta kepada 32 sekolah menengah agama rakyat dan sekolah rendah agama rakyat, 24 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM3.4 juta serta RM600,000 kepada tiga sekolah menengah kebangsaan agama.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan