Isnin, 31 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Nyamuk gajah lawan Aedes

Posted: 30 Oct 2011 05:31 PM PDT

Wilayah

TERESA (kanan) bersama Roslan (kiri) melepas  nyamuk Toxorhynchites di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman.

TERESA (kanan) bersama Roslan (kiri) melepas nyamuk Toxorhynchites di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman.

MPSJ guna larva Toxo akan makan jentik-jentik pembawa denggi

PUCHONG: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melepaskan kira-kira 400 nyamuk gajah atau Toxorhynchites (Toxo) dewasa di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman di sini, dalam usaha mengurangkan pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah penyakit demam denggi di kampung terbabit.

Ia dijalankan di bawah Program Pengawalan Pembiakan Nyamuk Aedes Menggunakan Nyamuk Toxo dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB yang memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi menjayakan program berkenaan. Kampung Sri Aman dipilih sebagai lokasi melalui hasil pemantauan dari 27 Jun hingga 10 Oktober lalu oleh pihak USM.

Dalam pemantauan menggunakan teknik Ovitrap yang dipasang lima hari sebelum dan tujuh hari selepas fogging dijalankan, USM mendapati terdapat banyak pembiakan nyamuk Aedes.

Ahli Majlis MPSJ merangkap Pengerusi JKP Zon 12, Mohd Nasir Yusoff, berkata Kampung Sri Aman mencatatkan 11 kes demam denggi dengan enam daripadanya sah positif sejak awal tahun lalu.

"Gotong-royong sudah dilaksanakan tetapi paling penting, bagaimana cara untuk mengatasi pembiakan nyamuk Aedes.
"Program ini diharap menjadi contoh kepada zon lain di dalam kawasan MPSJ termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) lain dalam menangani penyakit demam denggi di kawasan masing-masing," katanya pada Pelancaran Skuad Denggi JKP Zon 12 dan Pelepasan Nyamuk Toxorhynchites 2011 di Balai Masyarakat Kampung Sri Aman di sini, kelmarin.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok Suh Sim; Pengarah Jabatan Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohd Hussin dan Dekan Fakulti Pengajian Kaji Hayat USM, Prof Abu Hassan Ahmad.

Abu Hassan berkata, USM menerusi Unit Kawalan Vektor sudah membiakkan nyamuk Toxo sejak 20 tahun lalu selepas mendapati nyamuk berkenaan mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes sekali gus mencegah demam denggi.

"Nyamuk Toxo hanya memakan madu bunga dan jentik-jentiknya akan memakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Ia hidup di dalam kawasan hutan hijau dan kerana itulah kita memilih kawasan berhutan untuk melepaskan nyamuk dewasa ini yang akan menetaskan jentik-jentiknya dalam tempoh 3 hingga 4 minggu.

"Pemantauan selepas sebulan pelepasan akan dibuat menggunakan alat khas yang dikenali sebagai Alat Memerangkap Jentik-Jentik Nyamuk (MLTD) bagi memastikan jumlah jentik-jentik aedes yang terdapat di situ," katanya.

Sementara itu, seramai 10 wakil JKP dan 20 wakil penduduk Kampung Sri Aman dipilih sebagai Skuad Denggi bagi mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran premis mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Skuad ini dilengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan mengadakan gotong-royong.

Full content generated by Get Full RSS.

'Samseng cuba rampas tanah'

Posted: 30 Oct 2011 05:29 PM PDT

Wilayah

PENDUDUK Kampung Sungai Raya berkumpul di pekarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang.

PENDUDUK Kampung Sungai Raya berkumpul di pekarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang.

Pekebun diugut, tanaman dimusnah

GUA MUSANG: Seramai 167 penduduk di Kampung Sungai Raya, Kuala Betis, dekat sini, mendakwa dihalau sekumpulan 10 samseng yang merampas tanah mereka untuk dibangunkan sebagai ladang sawit sejak setahun lalu.

Mereka mendakwa turut diugut pelbagai cara termasuk akan dicederakan jika tidak mengikut arahan atau melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Penduduk, Mohd Safuan Mohamad, 23, berkata dia tidak berganjak dan tetap tinggal di kampung terbabit walaupun sebahagian besar daripada penduduk meninggalkan kampung berkenaan kerana takut dicederakan.

Beliau mengakui tanah seluas 720 hektar dimajukan penduduk sejak 1994 dengan pelbagai tanaman termasuk getah yang menjadi sumber rezeki diceroboh kumpulan itu sejak tahun lalu, selain tanaman dimusnahkan secara berperingkat.

"Kami sudah berulang kali menghalangnya dan mereka akan berhenti beberapa hari, tetapi selepas itu datang semula dan menyodok tanah sehingga memusnahkan tanaman penduduk.

"Penduduk yang takut dengan pelbagai ugutan itu terpaksa meninggalkan kebun masing-masing dan pulang ke kampung," katanya selepas mengadakan perhimpunan secara aman membantah tindakan sekumpulan samseng itu di pekarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, di sini, pagi kelmarin.
Warga tua, Kasim Hassan, 70, berkata perkara itu sudah dirujuk kepada pejabat tanah dan penjelasan yang diberikan ia masih hak penduduk terbabit sementara menunggu proses mengeluarkan geran hak milik.

"Memang tanah itu hak kami yang diterokai lebih awal lagi dan kumpulan samseng berkenaan sengaja bertindak merampasnya tanpa membuat sebarang permohonan dengan pejabat itu atau kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Mohamad Botok, 51, berkata pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sebanyak empat kali, di samping merujuk perkara itu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada tindakan diambil hingga penduduk yang memajukan tanah berkenaan berdepan dengan banyak masalah termasuk keselamatan terancam jika tinggal di situ.

"Kami hairan dengan kumpulan samseng itu yang secara tiba-tiba menceroboh tanah penduduk hingga pernah hampir mencetuskan pergaduhan, tetapi kita yang terpaksa mengalah takut berlaku kejadian tidak diingini.

"Kita mengharapkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri mengambil perhatian untuk menyelesaikan perkara ini bagi mengelakkannya terus berlarutan sehingga akhirnya merugikan kami semua," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen