Sabtu, 29 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kg. Merchong perintis PTC

Posted:

Kg. Merchong perintis PTC

Kg. Merchong perintis PTC

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my


Ishak Muhamad (tengah) bertanya sesuatu kepada peniaga runcit Norizan Mohamad merupakan salah seorang daripada lapan orang yang dilantik sebagai Ejen Perbankan Tanpa Cawangan BSN di Kampung Merchong, Pekan, semalam. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI


PEKAN 29 Okt. - Kampung Merchong di sini menjadi perkampungan pertama di Malaysia dipilih sebagai perintis program Perbankan Tanpa Cawangan (PTC) yang merupakan perkhidmatan terbaharu Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pengarah BSN Pahang, Roslin Marjumin berkata, PTC dilaksanakan bagi merealisasikan Program Akses Perkhidmatan Perbankan kepada penduduk luar bandar seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012.

"PTC merupakan strategi perbankan terbaharu yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendekatkan pelanggan kepada perkhidmatan kewangan di kawasan yang tiada kemudahan perbankan.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 5,000 buah ejen PTC menjelang tahun 2013," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Terminal Pos Ejen PTC BSN yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad di sini hari ini.

Roslin berkata, BSN yang merupakan satu-satunya syarikat perbankan di negara ini yang diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan PTC menyasarkan sebanyak 500 ejen akan dilantik di seluruh negeri Pahang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Di kawasan Pekan kita sudah lantik lapan ejen PTC dan ia akan terus diperluaskan bagi memberi kemudahan kepada rakyat di negeri ini dalam melakukan urusan perbankan. PTC sebenarnya sudah dilaksanakan di negara luar seperti Brazil, Colombia, India, Filipina dan Peru," katanya.

Sementara itu, Ishak yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan dalam ucapannya berkata, pelaksanaan PTC merupakan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah melupakan kesulitan rakyat di kawasan luar bandar.

"Tidak ada bangunan BSN seperti di bandar pun tidak apa, apa yang penting perkhidmatan PTC yang diberikan ini akan memberi kemudahan kepada kita (rakyat) untuk melakukan urusan perbankan termasuk membayar bil-bil utiliti seperti bil air dan elektrik.

"Inilah transformasi yang dilakukan kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan luar bandar. Pelbagai program pembangunan lain akan turut dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bahasa Melayu buka peluang lanjutkan pelajaran

Posted:

Bahasa Melayu buka peluang lanjutkan pelajaran

Bahasa Melayu buka peluang lanjutkan pelajaran

KUANTAN 29 Okt. - Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara membolehkan lebih ramai pelajar dari luar bandar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safian Ismail berkata, kejayaan penuntut tersebut di menara gading akan menyanggah tanggapan segelintir pihak yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu.

"Sejak ia dijadikan sebagai bahasa pengantar, ramai pelajar berjaya masuk universiti.

"Peluang melanjutkan pelajaran ke universiti bukan lagi menjadi milik eksklusif anak-anak golongan bangsawan dan hartawan tetapi anak-anak petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar, peniaga kecil, guru dan kerani juga berpeluang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Syarahan Pak Sako sempena Bulan Bahasa Kebangsaan yang dibacakan oleh Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Zulkifli Othman di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, semalam.

Menurut Safian, dengan peluang pendidikan yang berkualiti dalam bahasa kebangsaan, anak-anak bangsa kini berjaya memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

"Mereka inilah kemudiannya menjadi generasi awal rakyat tempatan yang mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor profesional.

"Mereka juga yang mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya menguasai bahasa Inggeris dengan baik sekali," jelasnya.

Beliau tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris tetapi bahasa berkenaan bukan satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan sesebuah negara.

"Sebagai contoh, China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi.

"Mereka cukup menyanjung bahasa sendiri malah menghormati bahasa kebangsaan negara-negara lain," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Banjir dijangka awal Disember

Posted:

Banjir dijangka awal Disember

Banjir dijangka awal Disember

KUANTAN 29 Okt. - Angin monsun yang membawa hujan lebat secara berperingkat sehingga boleh menyebabkan banjir dijangka melanda negeri ini bermula awal Disember ini.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang, Rabiah Al Adawiah Zakaria berkata, lazimnya kawasan timur negeri ini seperti daerah Kuantan dan Rompin akan mengalami keadaan tersebut setiap tahun.

"Malaysia diramal mengalami Angin Monsun Timur Laut yang dikaitkan dengan musim tengkujuh terutama bagi negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Sarawak mulai awal November ini dan akan berterusan sehingga awal Mac 2012.

"Pada awal Angin Monsun Timur Laut iaitu November hingga Januari, episod hujan lebat biasa berlaku terutamanya di negeri-negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung iaitu bermula di Kelantan dan Terengganu pada bulan November dan awal Disember.

"Hujan monsun yang lebat secara perlahan-lahan akan beranjak ke selatan, lazimnya kawasan timur negeri Pahang dan Johor akan mengalami hujan lebat pada bulan Disember dan awal Januari," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Rabiah berkata, semasa tempoh musim Monsun Timur Laut, negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung akan mengalami beberapa episod hujan lebat menyeluruh yang berterusan selama dua hingga tiga hari akibat ledakan keluar udara sejuk yang kuat atau dikenali sebagai luruan monsun.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen