Khamis, 27 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pelajar berpeleseran awal pagi

Posted: 26 Oct 2011 03:01 PM PDT

Wilayah

 SEGELINTIR pelajar  jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi.

SEGELINTIR pelajar jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi.

Penduduk Taman Cahaya Masai kesal kegiatan sumbang kawasan rumah

JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Cahaya Masai di sini, kesal dengan gelagat pelajar institusi pengajian tinggi kerana suka berpeleseran hingga awal pagi, termasuk membawa teman berlainan jantina ke rumah masing-masing.

Sikap kumpulan pelajar terbabit yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga tata susila hidup di situ, menyebabkan taman perumahan itu turut mendapat jolokan sebagai Taman Cahaya Maksiat.

Suri rumah, Azizah Hamzah, 42, berkata tindakan pelajar melakukan maksiat dan mengamalkan gaya hidup sosial melampau atau sesuatu yang tidak baik. "Kebanyakan mereka menyewa sekitar taman perumahan ini kerana pusat pengajian mereka berdepan masalah kekurangan asrama. Namun, apabila duduk di rumah sewa di sini, masing-masing tidak menjaga adab dan tatasusila.

"Berdasarkan etika pakaian setiap kali hendak keluar belajar di kampus, masing-masing kelihatan berpakaian kemas termasuk bertudung bagi yang perempuan.

"Malangnya, apabila sampai di kawasan rumah masing-masing, yang perempuan hanya bersinglet dan berseluar pendek di luar rumah. Setiap hari, pasti ada lelaki yang datang bertandang di rumah terbabit," katanya.

Azizah berkata, ada di kalangan pemilik rumah sewa yang prihatin, melakukan pemeriksaan mengejut terhadap kediaman terbabit dan terserempak dengan pelajar perempuan yang membawa teman lelaki masuk rumah.
Penduduk, Melati Rosli, 42, menyifatkan kumpulan pelajar terbabit sebagai sudah melampau batasan apabila tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan perumahan itu yang turut didiami golongan berkeluarga.

"Mereka menjadikan taman ini seperti kawasan pelacuran apabila bawa teman lelaki masuk rumah serta berpeleseran sesuka hati kerana masing-masing jauh daripada ibu bapa dan masa sama tidak dikawal oleh pengurusan pusat pengajian," katanya.

Melati mendakwa, ada di kalang-an pelajar terbabit yang bertindak balas dengan membaling mercun atau telur busuk kepada rumah penduduk yang menegur perbuatan maksiat mereka.

Ahli Jawatankuasa Surau An-Nuur berdekatan, Muhd Zaidi Ghazali, 40, menyifatkan gejala negatif yang ditunjukkan golongan pelajar terbabit adalah barah yang boleh merosakkan diri sendiri.

"Perlakuan maksiat di kalangan pelajar ini boleh mengundang bala pada seluruh penduduk taman kerana ia merosakkan nama baik institusi pengajian mereka serta pelajar yang tidak bersalah selain memalukan perumahan ini," katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan sekitar rumah yang disewa kumpulan pelajar berkenaan mulai sibuk dengan kereta yang keluar masuk menjemput pelajar perempuan mulai jam 8 malam.

Malah, sehingga jam 2 pagi, masih ada pelajar perempuan dan lelaki sedang berbual mesra di luar rumah sewa dan lorong gelap berdekatan tanpa menghiraukan jiran dan penduduk yang kurang senang dengan perbuatan terbabit.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

PakLan

Kenakan disiplin yg lebih drastik seperti buang dari pusat pengajian atau laporkan kepada ibu bapa pelajar terlibat dgn segera.
Beri tambahan subjek pelajaran ttg ilmu agama.

annacomel

Pelajar ini tidak ada jati diri untuk mengelakkan dari melakukan perbuatan tersebut.banyak faktor yang menyumbang kepada aktivita tidak bermoral tersebut..faktor latar belakang keluarga,sistem pendidikan ,pengaruh media masa dan perundangan yang lemah telah mencetuskan fenomena ini.Pelajar yang dikatogerikan cerdik telah memaparkan aksi sedemikian rupa telah melambangkan betapa jatuhnya nilai moral remaja negara kita.

peja

Sepatutnya pelajar2 berkenaan menghormati jiran tetangga mereka dan menjaga nama baik Universiti mereka.Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

jjc

susah juga nak cakap kan but what goes around comes around...sendiri mo ingatlah, someday they gonna b a parents jugak...time tu lg advance tinguklah camna diorang jaga anak2 diorang sendiri...

badrulnizam

Apa nak jadi?

gawan

saya perihatin terhadap perkara itu. tapi kemana pihak jabatan agama yang bertanggungjawab terhadap perilaku maksiat). kemana anggota polis yang ada kuasa meronda waktu malam? itu persoalannya.


Full content generated by Get Full RSS.

Sungai Kreh dicemari najis babi

Posted: 26 Oct 2011 03:00 PM PDT

Wilayah

TASEK GELUGOR: Pencemaran Sungai Kreh di sini yang berpunca daripada najis babi dari ladang ternakan di Kampung Selamat mungkin satu isu lapuk kerana ia sudah dibangkitkan penduduk yang terbabit sejak lebih sedekad lalu.

Namun, hingga kini masalah berkenaan tidak berubah dan kesannya bukan saja dirasai penduduk di Kampung Air Melintas Kecil di sini, malah beberapa perkampungan lain seperti Permatang Berangan, Lahar Tembun, Pokok Machang dan Permatang Manggis.

Saban hari penduduk terpaksa menghidu bau busuk yang meloyakan, selain kira-kira 500 petani yang mengusahakan 500 hektar sawah padi menanggung kerugian kerana tanaman padi kurang memuaskan akibat air yang tercemar dengan najis babi. Apabila kerajaan negeri memperkenalkan kempen Pulau Pinang Hijau Bersih tahun lalu dalam usahanya mengubah persekitaran di negeri ini, ramai penduduk menarik nafas lega kerana merasakan masalah yang dihadapi sejak sekian lama itu bakal berakhir.

Bagaimanapun, sejak kempen itu dilancarkan sehingga kini, penduduk masih tidak dapat melihat pelaksanaan sebarang program di kampung mereka, walaupun satu daripada inisiatif program terbabit adalah membersihkan sungai.

Penduduk Kampung Air Melintas Kecil, Rahim Daud, berkata penduduk masih menunggu pelaksanaan program itu bagi membolehkan Sungai Kreh yang tercemar dengan najis babi dapat diberi nafas baru, sekali gus memberi kehidupan lebih baik.

"Sehingga kini, tiada satu program untuk mengatasi masalah pencemaran itu diadakan di sini. Kami amat berharap supaya sesuatu dapat dilakukan bagi mengatasi pencemaran Sungai Kreh yang bukan saja menjejaskan kehidupan seharian penduduk, tetapi beratus-ratus pesawah yang menanggung kerugian," katanya.
Rahim yang mengusahakan sawah padi, berkata hasil tanaman padi semakin berkurangan kerana terpaksa menggunakan air dari sungai yang tercemar dengan najis babi.

"Air itu mempunyai kandungan baja yang tinggi...walaupun padi kami nampak subur tetapi isinya kurang. Pokok padi kami juga cepat rebah kerana cepat membesar," katanya.

Difahamkan, kadar kandungan baja di Sungai Kreh tidak sesuai untuk tanaman padi dan Jabatan Pertanian sedang melakukan kajian di sebuah kawasan khas bagi membuktikan bahawa tanaman padi di situ terjejas kerana pencemaran sungai.

Sebelum ini, ada cadangan pusat penternakan babi di Kampung Selamat dipindahkan ke Batu Kawan, Seberang Prai Selatan (SPS) tetapi setakat ini tiada perkembangan lanjut.

Seorang pesawah di Kampung Air Melintas Kecil, Ibrahim Ismail, berkata hasil tanaman padinya berkurangan secara mendadak kerana menggunakan sumber air dari sungai itu.

"Jika dilihat pada setangkai padi, hanya 70 peratus mempunyai isi manakala selebihnya kosong. Memang kalau dilihat ia subur, tetapi tidak baik kerana sebenarnya memudahkan tanaman padi untuk rebah dan seterusnya mati.

"Saya harap masalah ini diatasi segera kerana membabitkan mata pencarian kami. Kalau tidak ada perubahan, makin teruklah hasil tanaman kami terjejas," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen