Sabtu, 29 Oktober 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Hutan Chikus diceroboh

Posted:

Hutan Chikus diceroboh

Hutan Chikus diceroboh

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

TELUK INTAN 28 Okt. - Jabatan Perhutanan Perak diminta membuat penjelasan berhubung isu penerokaan secara haram tanah seluas kira-kira 4,000 hektar oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan Hutan Simpan Kekal Chikus di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, tindakan menebang pokok-pokok di hutan tersebut dan diganti dengan sawit serta tanaman kontan seperti betik, limau kasturi, limau nipis dan jambu batu perlu dipandang serius.

Menurut beliau, perkembangan itu amat dikesali memandangkan isu tersebut sudah beberapa kali dibangkitkan, tetapi penerokaan tanah secara haram di kawasan berkenaan semakin menjadi-jadi.

"Jabatan Perhutanan sepatutnya bertindak kerana ia melibatkan kawasan hutan simpan kekal dan sebarang penerokaan untuk tanaman tidak dibenarkan di kawasan ini," katanya semasa meninjau kawasan hutan tersebut semalam.

Zainol Fadzi berkata, isu itu menimbulkan kemarahan masyarakat Orang Asli di situ kerana mereka dilarang bercucuk tanam tetapi pada masa sama ada pihak yang dibenarkan berbuat demikian.

"Saya sudah bangkitkan perkara ini. Jika 150 keluarga Orang Asli dilarang meneroka dan bercucuk tanam, kenapa pula ada pihak lain yang dibenarkan sesuka hati meneroka kawasan ini?

"Persoalannya adalah kenapa jabatan berkenaan hanya berani bertindak tegas terhadap penduduk Orang Asli, tetapi tidak kepada pihak yang sesuka hati menceroboh kawasan hutan tersebut," tegasnya.

Lebih mengejutkan, katanya, sebahagian besar kawasan di hutan simpan tersebut telah diteroka sejak lebih 20 tahun lalu berdasarkan usia pokok sawit yang ditanam.

Sehubungan itu, Zainol Fadzi yang juga Exco kerajaan negeri berkata, beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat akan datang dan meminta campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

"Pada masa sama, kita akan minta kerajaan negeri bantu 500 penduduk Orang Asli di kampung berkenaan untuk bercucuk tanam di kawasan itu," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pemandu rayu tempat letak kereta di Simpang Kuala

Posted:

Pemandu rayu tempat letak kereta di Simpang Kuala

Pemandu rayu tempat letak kereta di Simpang Kuala


Thana Chew Ne Meng (empat dari kiri) menunjukkan saman trafik yang diterima oleh peniaga berikutan kekurangan tapak letak kereta di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 28 Okt. - Para pemilik kenderaan di sekitar pekan Simpang Kuala dekat sini merungut sering berdepan masalah kesukaran mendapatkan tempat letak kereta terutama pada cuti hujung minggu.

Masalah bertambah buruk sejak kebelakangan ini ekoran pembinaan sebuah pusat komersial di kawasan itu menyebabkan kawasan letak kereta di situ semakin berkurangan.

Pengerusi Penaja Badan Bantuan Bertindak pekan itu, Thana Chew Ne Meng memberitahu, keadaan bertambah sesak pada cuti Jumaat, Sabtu dan Ahad berikutan perniagaan di pasar pagi apabila lebih ramai pengguna tertumpu di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, jelasnya, pengguna terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan dan berisiko disaman oleh pihak berkuasa.

"Satu jalan penyelesaian perlu dicari bagi memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan tersebut iaitu bahu jalan di kawasan ini dijadikan tempat meletak kereta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu akan menjadikan Persiaran Simpang Kuala 1 sebagai laluan sehala dan tapak kosong milik pemaju pusat komersial itu dijadikan tapak letak kereta.

''Cadangan ini saya akan kemukakan kepada polis dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada pertemuan Ahad ini," katanya.

Seorang peniaga kasut, Lee Kim Chua, 50, pula terpaksa mengalihkan kenderaan setiap kali anggota polis membuat rondaan di kawasan tersebut bagi mengelak disaman.

''Saya terpaksa meletakkan sementara van di tepi jalan kerana mahu menurunkan kasut di tapak berniaga tetapi apabila ada polis terpaksa alih. Saya kerap juga disaman dan perlu melunaskannya bagi mengelak nama disenarai hitam," katanya.

Seorang peniaga nasi ayam, Mokhtar Ibrahim, 50, pula memberitahu, tapak letak kereta di medan selera sering penuh menyebabkan pelanggan sukar singgah di kawasan tersebut untuk menjamu selera.

''Saya berharap pihak berkuasa dapat membantu peniaga menyelesaikan masalah tempat letak kereta dengan menyusun aliran trafik yang baik selain menambah petak letak kereta," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

9 menang peraduan Ganjaran Kehebatan Ulang Tahun The Store

Posted:

9 menang peraduan Ganjaran Kehebatan Ulang Tahun The Store

9 menang peraduan Ganjaran Kehebatan Ulang Tahun The Store


Adibah Noor menunjukkan cabutan yang berjaya memenangi hadiah pertama, sebuah kereta Chery A520 pada sambutan ulang tahun ke-43 Kumpulan The Store yang turut dihadiri Charlie Tan (kiri) dan Poh Seng Hooi di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 28 Okt. - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Begitulah tuah sembilan pelanggan Kumpulan The Store yang menjadi pemenang cabutan bertuah dan menerima hadiah keseluruhan bernilai lebih RM300,000 selepas menyertai peraduan Ganjaran Kehebatan Ulang Tahun syarikat berkenaan.

Chee Moi Eng, 40, dari Selangor yang berbelanja di The Store Sungai Buloh menjadi pelanggan paling bertuah apabila diumumkan memenangi hadiah utama sebuah kereta Chery A520 (2.0L) pada majlis cabutan bertuah yang diadakan di Alor Star Mall di sini semalam.

Pemenang tempat kedua iaitu Rohani Ibrahim, 59, yang berbelanja di The Store Kangar, Perlis pula membawa pulang sebuah kereta Chery Eastar (2.0L) dan tempat ketiga yang menawarkan kereta Chery Tiggo (1.6L) dimenangi Suzanna Chu, 44, dari Sabah yang berbelanja di Milimewa.

Baucar bernilai RM10,000 dan RM5,000 pula masing-masing diberi kepada pemenang tempat keempat serta kelima.

Cabutan bertuah kepada semua pemenang disempurnakan oleh Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor; Pengarah Pengurusan QQ North Automobile, Poh Seng Hooi mewakili Chery Automobile (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Ketua Bahagian Kad Kredit Hong Leong Bank, Chan Pui See.

Pengarah Eksekutif Pacific Hypermarket and Department Store, Charlie Tan berkata, pihaknya menerima lebih lima juta borang penyertaan dalam tempoh empat bulan peraduan itu berlangsung di 72 cawangan pusat beli-belah itu di seluruh negara sejak 28 Mei lepas.

Pada majlis itu juga, cek bernilai RM70,000 yang dikumpulkan menerusi Kempen Kebajikan Kumpulan The Store turut diserahkan kepada Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan (Nasam).

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan