Isnin, 31 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dua gagal lolos sekatan

Posted: 30 Oct 2011 10:09 AM PDT

KUALA LUMPUR: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitu nasib dua penunggang motosikal yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya Ops Bersepadu di Dataran Merdeka, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 11.30 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam itu, dua penunggang motosikal terbabit dicekup dalam tempoh tidak lebih 30 minit selepas mereka meloloskan diri daripada sekatan.


Operasi dilakukan Polis Trafik Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan raya (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak. Kedua-dua penunggang motosikal yang berusia 20-an itu pada mulanya mendekati kawasan berkenaan sebelum melarikan diri dengan menunggang melawan arus.

Bagaimanapun, hasil kecekapan pihak berkuasa, kedua-dua penunggang motosikal itu dicekup semula dalam tempoh tidak kurang 30 minit di kawasan berdekatan.


Kedua-dua suspek ditahan atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya yang disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Full content generated by Get Full RSS.

4 pusat judi kena serbu

Posted: 30 Oct 2011 10:05 AM PDT

AMPANG: Kelicikan pengusaha empat premis perjudian haram di dalam sebuah pusat beli-belah menyembunyikan kegiatan mereka dengan menggunakan nama pusat hiburan keluarga dihidu polis selepas diserbu dalam Ops Padu, di Taman Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang mengetuai operasi itu berkata, operasi bermula jam 1 tengah hari itu membabitkan empat pegawai dan 37 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.


Katanya, 43 pelanggan termasuk empat perempuan ditahan, selain empat pekerja premis terbabit.

"Polis merampas wang tunai RM933 hasil kegiatan haram dan merampas 143 mesin judi serta 16 komputer pelbagai jenama yang diubah suai menjadi mesin judi," katanya.


Menurut Amiruddin, pelanggan yang ditahan berusia 20-an hingga 40-an manakala penjaga premis terbabit berusia 20-an.


Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin perjudian dirampas dan penjara tidak lebih lima tahun.

Menurutnya, Ops Padu dijalankan sepanjang tahun bermula Januari lalu bagi memantau kegiatan perjudian haram yang semakin popular dikalangan masyarakat.


"Sejak operasi dijalankan, kami sudah membuat 153 serbuan dengan membabitkan 169 tangkapan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen