Jumaat, 28 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Perkasa prihatin ekonomi bumiputera

Posted:

Perkasa prihatin ekonomi bumiputera

Perkasa prihatin ekonomi bumiputera

DATUK IBRAHIM ALI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)


Najib Tun Razak bersama Timbalannya, Muhyiddin Yassin menunjukkan logo Teraju di Majlis Pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputra di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Februari lalu.


BAHAGIAN II
PERKASA juga prihatin terhadap kesejahteraan ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera. Ini kerana pihak yang sentiasa mengungkit-ungkit isu ini sering mengaitkannya dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mempertikaikan hal ini oleh kerana mereka lupa atau sengaja melupakan hakikat bahawa Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah wujud berasaskan prinsip kontrak sosial atau kontrak bangsa.

Oleh sebab itu, Perkasa menjalankan satu kajian ringkas mengenai Perkara 153. Perkasa dapati bahawa rahsia mengenai Perkara 153 ini adalah tersimpan di dalam Hansard atau Penyata Rasmi Parlimen British bertarikh 12 Julai 1957.

Dalam penyata ini, Alan Lennox-Boyd (sebut Boid), selaku The Secretary of State for the Colonies, atau selaku Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British, menegaskan bahawa Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan bukannya dimaktubkan atas desakan bangsa Melayu dan bumiputera, atas arahan penjajah British atau atas tuntutan Perikatan.

Sewaktu membentangkan Federation of Malaya Independence Bill atau Rang Undang-Undang Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, pada 12 Julai 1957, Boyd memberitahu Parlimen British, peruntukan dalam Perkara 153 adalah dipetik daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 pula memetik peruntukan ini oleh kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan Negeri-Negeri Melayu di era penjajah.

Oleh sebab itu, Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghuraikan sistem kuota mengenai perkhidmatan awam, pemberian lesen dan penganugerahan biasiswa untuk bangsa Melayu dan bumiputera ini adalah wujud atas kehendak Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Menurut Boyd, Suruhanjaya Reid hanya mengesahkan kewujudan sistem ini dalam Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu. Berikutnya, Suruhanjaya Reid pun mengiktiraf peruntukan ini dan merangkumkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153.

Boyd juga menjelaskan, Suruhanjaya Reid hanya menerima bantahan kecil daripada seluruh bangsa dan keturunan yang diwakili oleh Perikatan terhadap kewujudan Perkara 153 ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

Rahsia dan fakta mengenai Perkara 153 yang tersimpan dalam Penyata Rasmi Parlimen British bertarikh 12 Julai 1957 ini tidak pernah diketahui oleh rakyat Malaysia berbilang bangsa sebelum ini.

Maka, menerusi daya usaha Perkasa ini, kita menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menerima Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan hati yang terbuka, tulus dan ikhlas.

Perkasa berharap, selepas ini tidak akan ada sesiapa di Malaysia yang mempertikaikan peruntukan ini dan seluruh dasar serta strategi sosio-ekonomi yang digubal serta dilaksanakan oleh pemerintah berasaskan Perkara 153, termasuklah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Almarhum Tun Razak Hussein di era pasca-13 Mei 1969.

Huraian saya mengenai Perkara 153 seperti di atas membuktikan bahawa dasar-dasar afirmatif pemerintah bukannya wujud untuk menindas rakyat Malaysia yang bukan Melayu.

Hakikat ini juga dibuktikan oleh Faaland, Parkinson dan Rais dalam buku Dasar Ekonomi Baru: pertumbuhan negara dan pencapaian ekonomi orang Melayu (2002).

Kumpulan intelektual ini menegaskan, DEB yang dilaksanakan oleh pemerintah adalah dasar "bagi mengelakkan berlakunya rusuhan kaum yang serius, untuk mencipta keharmonian, serta untuk menyediakan asas kepada pembangunan yang pesat dan mampan."

Hakikat ini turut dikupas kebenarannya oleh banyak pemimpin keturunan Cina kontemporari.

Ia juga turut dibuktikan oleh Gomez dan Jomo dalam bukunya, Malaysia's political economy: politics, patronage and profits (1997) yang menghuraikan pelbagai kisah kejayaan rakyat keturunan Cina dan India berbanding bangsa Melayu dan bumiputera, dalam konteks kemajuan ekonomi, perdagangan dan perindustrian di Malaysia.

Seterusnya, satu perangkaan rasmi dalam buku Faaland, Parkinson dan Rais (2002) pula menghuraikan bahawa unjuran pemilikan ekuiti korporat di Malaysia dari 1970 hingga 2010, merumuskan bahawa prestasi rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan bumiputera dalam konteks ekonomi, perdagangan, perindustrian dan pemilikan modal adalah hebat dan tidak tergugat.

Unjuran ini membuktikan bahawa dalam konteks ekonomi, perdagangan, perindustrian, pemilikan modal, dan pencapaian akademik, bangsa Melayu dan bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding dengan bukan Melayu dan bumiputera. Jurangnya adalah umpama langit dan bumi.

Oleh sebab itu, Perkasa mendesak supaya hakikat ini diiktiraf oleh semua pihak, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, serta organisasi perdagangan dan perindustrian. Perkasa juga mendesak supaya pemerintah sentiasa bertegas untuk menegakkan kebenaran ini.

Jangan sekali-kali tunduk, berkompromi atau lemah semangat. Tidak usah dilayan apa jua tuntutan yang boleh menghakis berbagai peruntukan mengenai kontrak bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika tidak, kedudukan sosio-ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera yang masih daif boleh terhakis, jadi lebih daif, lebih mundur dan lebih terpinggir.

Dengan ini, Perkasa memohon kepada pemerintah, kajilah semula seluruh program, strategi dan dasar baru mengenai sosio-ekonomi Malaysia menerusi perspektif Melayu dan bumiputera supaya bangsa Melayu dan bumiputera mampu menikmati kemakmuran ekonomi negara secara adil dan saksama.

Dalam erti kata lainnya, walaupun pemerintah pada hari ini sedang menumpu kepada dasar-dasar 1Malaysia serta lain-lain pendekatan baru yang lebih segar, Perkasa berharap semoga usaha-usaha ini masih tetap bersendikan semangat, roh dan jiwa dasar-dasar afirmatif yang dipelopori oleh Almarhum Tun Razak selepas peristiwa 13 Mei.

Namun demikian, proses globalisasi yang memunculkan dunia tanpa sempadan, dan proses liberalisasi kewangan, perbankan, perdagangan dan perindustrian antarabangsa di abad ke-21, kini menyebabkan banyak negara terpaksa menjajarkan dasar dan tindakannya selaras dengan perkembangan ini.

Oleh sebab itulah Malaysia pun kini terlibat dengan proses liberalisasi demi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan untuk melonjakkan rakyat ke tahap pendapatan tinggi.

Dalam konteks ini, Perkasa berharap semoga pemerintah berhati-hati. Janganlah liberalisasi yang dilakukan menjejaskan kepentingan bangsa Melayu dan bumiputera. Perkasa menyuarakan permintaan ini kerana pencapaian Melayu dan bumiputera pada waktu ini belum lagi mampu untuk bersaing dengan sesiapa.

Perkasa memang tidak terdaya untuk menyekat pemerintah daripada melaksanakan liberalisasi ekonomi. Namun demikian, Perkasa bimbang terhadap usaha-usaha ini, kerana bila pemerintah leka dengan liberalisasi, bangsa Melayu dan bumiputera selaku rakyat majoriti yang masih terkebelakang dalam konteks ekonomi, pasti akan terus tersisih dari arus utama ekonomi negara.

Pandangan ini bukannya kuno atau provokatif. Ia berasaskan persepsi akar-umbi yang tercetus daripada rongga dan jiwa bangsa Melayu dan bumiputera yang mutakhir ini mempersoalkan apakah faedahnya liberalisasi ekonomi, jika ia hanya menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera jadi lebih jauh terpinggir di tanah airnya sendiri.

Lantaran itu, Perkasa merayu semoga pemerintah menginsafi wujudnya persepsi seperti ini. Elakkanlah bangsa majoriti di Malaysia yang berasa terpinggir, tersepit dan masih belum mampu bersaing ini daripada memberontak semata-mata untuk mendapatkan kesaksamaan yang sangat-sangat mereka rindui.

Oleh itu juga, Perkasa merayu semoga pemerintah berhati-hati dan berhemat dalam konteks ini. Jauhilah tindakan dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, itik di air mati kehausan, ayam di kepok mati kelaparan, dan anak di rumah sendiri mati kebuluran.

Sehubungan dengan rayuan ini, izinkan Perkasa memetik tulisan Datuk Kadir Jasin bertajuk PM Kena Susur Akar Jumpa Pengundi Akar Umbi.

Antara lainnya, tulisan ini menyatakan "kalau betul rakyat didahulukan, dahulukanlah rakyat bila Perdana Menteri pergi berjalan-jalan… Dengarlah keluh-kesah rakyat bawahan - pesawah, nelayan, peniaga kecil" dan lain-lainnya.

Tulisan ini juga menyatakan, tanggapan bahawa Perdana Menteri "terlalu memihak kepada bukan Melayu dan elit liberal bandar" mungkin boleh menjejaskan keyakinan rakyat di luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin dalam bandar yang selama ini menyokong pemerintah.

Perkasa yakin Perdana Menteri prihatin dengan komen seperti ini kerana sesungguhnya Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang aktif, inovatif, kreatif, dan berjiwa besar.

Beliau juga mewarisi semangat perjuangan ayahandanya, iaitu Tun Abdul Razak, yang prihatin terhadap masa depan bangsa Melayu dan bumiputera dalam kerangka Malaysia yang majmuk.

Oleh sebab itu, Perkasa sangat-sangat berharap semoga Datuk Seri Najib akan menganalisis isu mengenai liberalisasi ini dalam konteks persepsi Melayu dan bumiputera terhadap liberalisasi ekonomi yang saya huraikan terdahulu.

Rayuan ini bertujuan supaya pemerintah akan selamat, bangsa Melayu dan bumiputera sentiasa terbela, dan rakyat bukan Melayu pula terus menikmati kemakmuran negara tanpa sebarang ancaman dan ganggu-gugat.

Perkasa juga mengeluarkan rayuan ini kerana sumber utama kekuatan pemerintah adalah di kampung-kampung tradisi. Ini terbukti dalam PRU12 di mana sokongan terhadap pemerintah di majoriti kawasan bandar telah pun digondol bulat-bulat oleh pihak alternatif.

Oleh sebab itu, ingatilah power-base atau kubu kuasa kita. Oleh sebab itu juga, lakukanlah pengubahsuaian yang sebaik-baiknya dalam konteks liberalisasi ekonomi ini supaya ia mendatangkan manfaat kepada seluruh rakyat jelata Malaysia.

Bagaimanapun, Perkasa turut mengalu-alukan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia keenam kerana program ini turut melahirkan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera sebagai salah satu mekanisme afirmatif di bawah MBE.

Perkasa juga turut menyokong MBE menerusi penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera pada 29 Mei 2010 di mana Perkasa menjadi tulang belakangnya. Kongres ini merumuskan 32 resolusi yang telah pun disampaikan kepada Datuk Seri Najib di majlis penutup kongres tersebut.

Sebagai susulannya, Perkasa pula menganjurkan Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera yang bertemakan "Memperkasakan Ekonomi Bumiputera." Konvensyen ini melahirkan 22 resolusi yang mencakupi pelbagai aspek, termasuklah mewujudkan sebuah badan atau unit penyelarasan untuk memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan bumiputera.

Justeru, Perkasa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pemerintah kerana mewujudkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai unit penyelarasan yang bertanggungjawab kepada segala bentuk tindakan untuk meningkatkan ekonomi Melayu dan bumiputera di bawah Majlis Tindakan Bumiputera.

Namun begitu, adalah agak menyedihkan kerana dalam Belanjawan 2012, TERAJU hanya diperuntukkan dengan RM17 juta, berbanding Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang diberi peruntukan lebih RM700 juta.

Oleh itu, Perkasa mendesak pemerintah untuk menambahkan peruntukan ini, paling minimum sebanyak RM500 juta. Perkasa yakin ini akan membolehkan Teraju meluaskan sasarannya untuk membimbing 5,000 syarikat usahawan bumiputera daripada 1,100 yang disasarkan sekarang.

Moga-moga tuntutan ini tidak diungkit oleh sesiapa kerana Melayu dan bumiputera yang merupakan 67 peratus daripada penduduk Malaysia hanya menuntut 30 peratus sahaja daripada seluruh nikmat ekonomi negara.

Akhir sekali, Perkasa merayu dan mendesak semoga pemerintah memperkenalkan lebih banyak lagi program afirmatif bagi memperkasakan lagi ekonomi Melayu dan bumiputera dari semasa ke semasa.

(Ikuti bahagian akhir ucapan ini di Utusan Online)

Full content generated by Get Full RSS.

Perpaduan antara jalan penyelesaian

Posted:

Perpaduan antara jalan penyelesaian

Perpaduan antara jalan penyelesaian

Saranan Salleh

DALAM suatu perbincangan tentang perpaduan baru-baru ini beberapa perkara boleh dirumuskan untuk menyelesaikan masalah perpaduan yang kini di peringkat genting.

Pertama apabila pihak telah menambah suara mereka di Parlimen banyak perkara yang dibangkitkan yang bertujuan mempersoalkan perkara yang sudah dianggap sebagai asas, kedudukan raja-raja, institusi-institusi seperti kehakiman, agama dan apa saja yang boleh menimbulkan kesangsian di kalangan masyarakat.

Strategi utama mereka ialah pecahkan dan perintah. Apabila rakyat telah ditaburkan dengan pelbagai kesangsian banyak perkara akan dipersoalkan.

Inilah strategi pihak pembangkang. Banyak janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan juga di dalam buku jingga tidak pun ditunaikan.

Malahan di Sabah dan Sarawak perkara asas tentang bersama dengan Malaysia pun dibangkitkan mempersoalkan kenapa Sabah dan Sarawak tidak boleh keluar daripada Malaysia. Inilah strategi yang bakal berterusan di kalangan mereka yang akan menjauhkan lagi keinginan untuk perpaduan.

Lihat saja perpaduan di kalangan orang Melayu hari ini. Tentu sekali di peringkat yang paling rendah sekali.

UMNO dan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan bersatu. Ini telah disuarakan berkali-kali. Jadi kita kenalah lupakan yang ketiga cabang yang terdapat orang Melayu ini untuk bersatu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan sepuluh tahun lagi orang Melayu akan hilang kuasa. Apa yang boleh mengejutkan orang Melayu supaya sedar untuk bersatu. Buang pemimpin yang tidak ada ciri-ciri kepimpinan rakyat. Itu saja.

Kedua, perlu ada satu aliran pendidikan sahaja dan bukan dua tiga aliran seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan lain-lain. Dengan adanya satu aliran ini maka mudahlah integrasi di kalangan berbilang bangsa dilakukan.

Pada masa ini anak Cina pergi sekolah Cina balik menonton rancangan televisyen Cina dan bergaul sesama mereka. Mungkin ada seorang dua Melayu yang pergi sekolah Cina tetapi integrasi bangsa tidak dapat berlaku.

Perkhidmatan awam juga perlu dibuka kepada bangsa lain selain orang Melayu supaya mereka pun merasai boleh menyumbang ke arah pembangunan negara. Begitu juga perkhidmatan seperti polis dan tentera.

Di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung banyak interaksi berlaku tetapi kurang integrasi. Jabatan-jabatan Semenanjung perlu bertukar-tukar pandangan dengan jabatan di Sabah dan Sarawak.

Pendidikan perlukan rombakan dari segi bukan input tetapi guru-guru yang bakal terbabit dengan pendidikan. Suatu aspek yang perlu dilihat ialah unsur isi atau kandungan dan proses.

Pelajar diberikan isi daripada sekolah rendah sehingga peringkat pengajian tinggi dan lazimnya isi ini dikeluarkan balik bila masa peperiksaan. Tidak ada unsur-unsur yang menggerakkan otak sebelah kanan supaya aspek kreativiti dan inovasi timbul.

Kita perlu memperkenalkan pengajaran proses iaitu proses membuat keputusan. Setiap hari kita membuat keputusan dengan tidak disedari tanpa sebarang struktur apabila berhadapan dengan masalah dan isu yang lebih penting.

Penguasaan unsur proses ini membolehkan sesaorang itu bertanyakan soalan-soalan yang penting bila berdepan dengan sesuatu isu.

Tony Buzan seorang pakar dalam bidang pemetaan minda menunjukkan bagaimana suatu aspek proses ini membangkitkan kreativiti di kalangan pelajar.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen