Khamis, 27 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Perkasa pemangkin perpaduan

Posted:

Perkasa pemangkin perpaduan

Perkasa pemangkin perpaduan

DATUK IBRAHIM ALI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) lahir untuk memperkasakan Perlembagaan Persekutuan - melindungi Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan Raja-Raja Melayu sebagai simbol bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah penduduk asal Tanah Melayu.

Perkasa juga bangkit untuk mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi, serta menyatupadukan bangsa Melayu dan kaum pribumi dengan seluruh rakyat jelata Malaysia yang majmuk.

Hakikat, aspirasi dan cita-cita ini adalah dalil bahawa Perkasa wujud untuk mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara, keunggulan Perlembagaan Persekutuan, di samping menjamin perpaduan rakyat, keselamatan masyarakat serta kelangsungan Malaysia.

Ringkasnya, Perkasa berjuang untuk memastikan negara dan seluruh bangsa di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman.

Ini juga bermakna Perkasa bukannya pertubuhan yang terlalu obsessed atau terlalu menumpukan matlamat dan cita-cita perjuangannya hanya kepada soal bangsa Melayu dan Bumiputera sahaja. Perkasa adalah pemangkin perpaduan bangsa Malaysia seluruhnya.

Hasrat, matlamat dan cita-cita ini juga membuktikan Perkasa bukannya pertubuhan rasis, organisasi Melayu ultra atau persatuan perkauman. Perjuangan Perkasa adalah selaras dengan falsafah Rukun Negara dan menepati Konsep 1Malaysia.

Oleh sebab itu, biarpun aktiviti dan program Perkasa selama ini tidak pernah dibiayai oleh mana-mana dana rasmi, dan walaupun Perkasa bergerak dalam serba kekurangan, kita tetap tidak akan lemah semangat, malahan terus mara dan berjuang secara konsisten.

Hakikat ini penting untuk difahami oleh seluruh rakyat Malaysia serta parti politik aliran perdana dan alternatif. Perkasa tidak lahir untuk mengambil alih atau mengatasi peranan UMNO sebagai tunggak pemerintahan Malaysia. Perkasa juga tidak lahir untuk memusuhi parti-parti pembangkang tanpa sebarang sebab.

Perkasa lahir untuk sama-sama membentengi pemerintahan negara daripada ancaman musuh yang menggugat Perlembagaan Persekutuan, keharmonian agama, perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi, ketenteraman awam, keselamatan negara dan kelangsungan Malaysia.

Perjuangan Perkasa hari ini jadi semakin relevan dengan tuntutan zamannya. Ini kerana sejak awal abad ke-21, Malaysia mula berhadapan dengan berbagai-bagai kerenah yang boleh mengancam keselamatan identiti atau jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera serta jati diri lain-lain keturunan. Karenah ini juga boleh mengancam Malaysia sebagai negara majmuk.

Perkasa amat prihatin terhadap perkembangan ini kerana matlamat akhir perjuangan Perkasa adalah untuk memastikan Malaysia selamat dan rakyat Malaysia pula terbebas daripada ganggu-gugat.

Perkasa menitikberatkan hal ini kerana keselamatan adalah hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, atau budaya. Sekali lagi saya ulangi, Perkasa adalah pemangkin perpaduan pelbagai bangsa.

Lantaran itulah Perkasa sentiasa memantau apa jua perkembangan, tindakan dan kenyataan yang menjejaskan kepentingan agama Islam serta bangsa Melayu dan Bumiputera, terutama sekali yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkasa prihatin dalam konteks ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mempunyai tiga komponen penting.

Pertama sekali, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen kontrak bangsa atau racial contract. Keduanya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen susunan nasional atau national order. Ketiganya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen prosedur pengurusan negara atau national management procedure.

Ketiga-tiga komponen ini wujud untuk menjamin perpaduan seluruh warganegara Malaysia, keselamatan tanah air, dan kemakmuran negara.

Kontrak bangsa dalam Perlembagaan Persekutuan dimanifestasikan oleh Perkara 3 (Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 14 (kewarganegaraan), Perkara 32 (Yang di-Pertuan Agong), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan) dan Perkara 153 (keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera).

Seluruh peruntukan ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan oleh kerana adanya permuafakatan, persetujuan dan penerimaan majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya, sewaktu Perlembagaan negara digubal pada tahun 1956.

Pada ketika itu, majoriti bangsa ini diwakili oleh Perikatan - UMNO mewakili majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera, MCA mewakili keturunan Cina, dan MIC mewakili keturunan India. Kesemua parti politik ini memberikan persetujuan dan menerima seluruh peruntukan dalam kontrak bangsa ini.

Mereka bersetuju berasaskan dua mandat utama yang diberikan oleh Ratu Inggeris dengan perkenan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan.

Mandat pertama adalah untuk memberikan perlindungan kepada kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Mandat kedua adalah untuk melindungi kepentingan yang sah yang dimiliki oleh lain-lain bangsa yang menjadi warganegara secara jus soli menerusi kemerdekaan Malaysia.

Mandat-mandat ini diberikan pertimbangan serius oleh Suruhanjaya Reid sebab kedua-duanya sudah termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, iaitu perlembagaan Tanah Melayu di ambang kemerdekaan.

Lebih penting lagi, kedua-dua mandat ini bukannya dicipta oleh bangsa Melayu atau diketengahkan oleh keturunan Cina dan India. Menurut rekod di arkib negara, kedua-dua mandat ini dikemukakan oleh Leftenan Duff, seorang pegawai tentera British yang kemudiannya menduduki jawatankuasa yang membentuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Kedua-dua mandat ini dirangkumkan ke dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan demi memelihara perpaduan rakyat dan negara Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan sosio-budaya dalam era merdeka.

Oleh itu, janganlah kita asyik curiga bahawa peruntukan-peruntukan strategik mengenai bangsa Melayu dan Bumiputera serta peruntukan-peruntukan strategik mengenai bangsa-bangsa lain di Malaysia di era merdeka ini adalah dibentuk dan digubal atas kehendak bangsa Melayu dan Bumiputera atau sebaliknya.

Dengan itu, marilah kita semua, baik bangsa Melayu dan Bumiputera atau keturunan Cina, India dan lain-lainnya, sama-sama berganding bahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Para sarjana purba mengenai politik, keselamatan, kenegaraan dan kemasyarakatan menegaskan bahawa permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai kumpulan masyarakat terhadap kepentingan masing-masing dalam usaha membentuk suatu masyarakat atau negara yang baru, adalah dikenali sebagai kontrak sosial.

Oleh sebab itu, persetujuan majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera serta keturunan Cina dan India terhadap seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti di atas adalah dikenali sebagai kontrak sosial.

Namun begitu, oleh kerana perkataan sosial dalam konteks Malaysia, lazimnya membawa makna yang kurang serius, inilah sebabnya saya mengistilahkan kontrak sosial ini sebagai Kontrak Bangsa.

Saya memilih istilah ini oleh kerana peruntukan-peruntukan di dalam kontrak bangsa inilah yang membolehkan 1.9 juta keturunan Cina dan India serta lain-lainnya dijadikan warganegara Malaysia secara jus soli pada 31 Ogos 1957.

Kontrak bangsa inilah juga yang menyebabkan majoriti keturunan Cina, India dan lain-lainnya menerima hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah penduduk asal di negara ini.

Pada waktu yang sama, kontrak bangsa inilah yang menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera sedia berkongsi tanah air ini dengan seluruh keturunan Cina, India dan lain-lainnya setelah mereka menjadi warganegara.

Oleh sebab itu, kontrak bangsa ini bukannya diwujudkan untuk menonjolkan ketuanan Melayu. Sebaliknya, ketuanan Melayu telah lebur apabila kontrak bangsa diwujudkan dan Malaysia pula ditransformasikan menjadi sebuah negara majmuk.

Maka, inilah sebabnya kontrak bangsa ini mesti dipelihara pada setiap masa. Sebarang ganggu-gugat terhadapnya pasti menyebabkan ancaman kepada seluruh bangsa.

Contohnya, pada 1964, apabila seluruh peruntukan Perlembagaan di bawah kategori kontrak bangsa ini dipertikaikan oleh pihak-pihak yang memperjuangkan propaganda Malaysian Malaysia, situasi keselamatan di negara kita tergugat, keharmonian seluruh bangsa kita terjejas, dan kelangsungan Malaysia turut terancam.

Lantaran inilah beberapa sarjana sejarah dan keselamatan di Malaysia dan Singapura pernah menegaskan bahawa pada ketika itu, situasi keselamatan di Malaysia Semenanjung dan juga Singapura, sangat-sangat membimbangkan.

Oleh sebab itulah Singapura disingkirkan daripada Malaysia, kerana pemerintah mahu mengelakkan pertumpahan darah yang dijangka meletus di Singapura daripada merebak ke seluruh Malaysia Semenanjung.

Maka, inilah buktinya, apabila kontrak bangsa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan diganggu-gugat pada tahun 1964-1965, pemerintah terpaksa mengorbankan sebuah daripada wilayahnya untuk dipisahkan daripada Malaysia.

Contoh kedua adalah mengenai ancaman kepada kontrak bangsa pada tahun 1969. Apabila beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dirangkumkan dalam kategori kontrak bangsa ini diganggu-gugat, termasuk oleh segolongan parti politik yang mewarisi propaganda Malaysia Malaysia, maka tercetuslah satu konflik kaum yang serius.

Oleh sebab itulah Laporan Rasmi Mageran atau Majlis Gerakan Negara yang diterbitkan pada 9 Oktober 1969, menyatakan bahawa antara punca yang menyemarakkan sentimen perkauman pada ketika itu adalah ganggu-gugat terhadap Perkara 3 mengenai Agama Islam, Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu dan Perkara 153 mengenai keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini, terbuktilah apabila Perkasa bangkit untuk menentang sesiapa sahaja yang mengancam Perlembagaan Persekutuan, niat Perkasa adalah untuk mengelakkan kontrak bangsa ini daripada dijadikan punca menyemarakkan api perkauman yang boleh membakar kita semua, waima bangsa Melayu dan Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya.

Inilah sebabnya perjuangan Perkasa adalah difokuskan ke arah memangkinkan perpaduan negara. Malangnya, pada hari ini wujud kalangan buta sejarah yang menyatakan bahawa kontrak sosial atau kontrak bangsa tidak pernah wujud di Malaysia.

Pihak yang memutarbelitkan realiti sejarah pula menegaskan, kontrak sosial atau kontrak bangsa ini tidak pernah disebut oleh Suruhanjaya Reid.

Kelompok pak turut atau burung kakak tua pula termakan dengan dakyah kononnya kontrak sosial atau kontrak bangsa ini dicipta oleh UMNO sebagai taktik untuk mendominasikan keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya.

Kepada seluruh golongan ini, perkasa tegaskan bahawa kontrak sosial atau kontrak bangsa wujud di Amerika Syarikat, wujud di Malaysia dan wujud di beberapa negara lain.

Teori dan konsep mengenai kontrak sosial atau kontrak bangsa ini pernah dikemukakan dalam karya sarjana serta ahli falsafah politik dan keselamatan seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), John Rawls (1972) serta David Gauthier (1986).

Di Malaysia, konsep ini pernah diperjelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh sebab itu, kontrak sosial atau kontrak bangsa di Malaysia adalah sesuatu yang benar dan perlu dihargai oleh seluruh bangsa Melayu dan Bumiputera serta keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya. Kontrak bangsa inilah yang memanifestasikan permuafakatan ke arah cita-cita membina sebuah negara Malaysia yang majmuk secara aman, damai, makmur dan sejahtera.

Rumusannya, seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mencerminkan kewujudan kontrak bangsa ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perbalahan kaum di Malaysia di era merdeka.

Komponen susunan nasional dimanifestasikan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 8 (kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan) serta larangan-larangannya, Perkara 11 (kebebasan beragama) serta sekatan-sekatannya, dan Perkara 149 (perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan lain-lainnya, termasuk permusuhan kaum.

Seluruh peruntukan Perlembagaan dalam kategori ini diwujudkan untuk memelihara perpaduan rakyat, ketenteraman awam serta keamanan negara. Jika peruntukan-peruntukan ini dicabar atau diprovokasikan, kesannya adalah kepada seluruh bangsa Malaysia, tanpa mengira agama atau sosio-budaya.

Maka, inilah sebabnya seluruh pemimpin bangsa Melayu dan Bumiputera serta pemimpin keturunan Cina dan India mempersetujui peruntukan-peruntukan ini supaya dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka bersetuju sebab mereka prihatin terhadap perpaduan bangsa, ketenteraman awam dan keselamatan negara Malaysia di era merdeka. Lantaran itulah susunan nasional ini sama pentingnya dengan kontrak bangsa.

Komponen ketiga, dalam Perlembagaan Persekutuan adalah prosedur pengurusan negara yang dimaktubkan untuk meregulasikan sistem pentadbiran negara serta menyelaraskan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri. Perkara-perkara ini tidak pernah dipertikaikan sebab tidak mengandungi unsur-unsur politik.

Bagaimanapun, prosedur pengurusan negara ini saling kait-mengait dengan kontrak bangsa dan susunan negara. Lantaran itu, ia juga tetap penting untuk dipelihara.

Full content generated by Get Full RSS.

Guna kuasa pengguna

Posted:

Guna kuasa pengguna

Guna kuasa pengguna

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SUNGGUH, memang benar berlaku kenaikan harga ayam. Ia terjadi di beberapa negeri ket ika ini. Malah bukan daging ayam sahaja. Produk-produk lain turut terpalit sama, antaranya susu pekat manis, Nestle dan Milo.

Maka tidak hairanlah setiap waktu rehat tengah hari atau selepas waktu pejabat sekitar pukul 5 petang, Aras G Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya yang menempatkan Kedai Rakyat 1Malaysia di situ diserbu orang - sebahagian besarnya penjawat awam.

Yang 'menyerbu'nya bukan semuanya daripada kakitangan sokongan pun (kerani atau budak pejabat) tetapi yang berkereta mewah dari Camry dan Mercedez Benz. Kalau tidak percaya, cuba-cubalah lepak di situ waktu tersebut.

Mana tidaknya, produk kicap kipas udang sahaja anda boleh jimat hampir RM2 berbanding membeli di luar. Itu belum lagi barang makanan lain.

Permintaan terhadap produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia memang cukup hangat sehinggakan Mydin yang berperanan sebagai pengedar barangan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Bukan setakat itu sahaja, Mydin juga dikatakan masih berusaha mencari lebih banyak setor untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia yang kualitinya sama dan terjamin meskipun tidak berjenama dengan berlogokan 1Malaysia.

Berbalik kepada kenaikan harga ayam yang menjadi sebab Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang, Utusan Malaysia difahamkan ia turut mendapat sokongan daripada kementerian.

Meskipun kementerian berkenaan lebih gemar menggunakan istilah 'kuasa pengguna harus ditunjukkan untuk menggalakkan perniagaan beretika' manakala CUEPACS yang kini disokong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Perkasa terarah kepada tindakan protes dan boikot, nadanya tetap sama - demi kepentingan pengguna.

Sebenarnya, kenaikan harga ini dipantau oleh Majlis Harga Barang Negara (MHBN). Data dikumpul setiap minggu. Seorang jurucakap MHBN memberitahu Utusan Malaysia petang semalam, kenaikan harga ayam tersebut di luar skim kawalan musim perayaan memang berlaku.

"Barang-barang kawalan bagaimanapun tidak naik tetapi untuk barangan yang dikawal pada musim perayaan, kenaikan biasanya berlaku selepas ia di luar tempoh skim tersebut.

"Untuk isu semasa ini seperti mana dituntut oleh CUEPACS, kita mengesahkan memang ada kenaikan harga ayam. Tetapi kenaikan berbeza-beza mengikut kawasan dan negeri antaranya mencecah RM9.30 sekilogram untuk ayam standard berbanding RM7.30 yang ditetapkan," menurut jurucakap tersebut.

Seorang pegawai KPDNKK pula memberitahu akhbar ini, peniaga atau pihak tertentu tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang setelah kerajaan memberikan subsidi.

Harga tidak boleh dinaikkan walaupun harga komoditi barang mentah yang diimport adalah tinggi kerana kadar perbezaannya ditanggung kerajaan.

Yang pasti, sesuatu perlu diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung kenaikan harga ayam.

Di Johor pada Jun lalu, masalah anak ayam berpenyakit dikatakan menjadi antara faktor menyebabkan bekalan daging ayam berkurangan di negeri ini sekali gus mencatatkan peningkatan harga terlalu tinggi sehingga menghampiri RM9 sekilogram.

Juga, punca kenaikan harga ayam disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik di ladang pembekal serta penternak dan pengurangan subsidi diesel untuk pengangkutan lori membawa ayam.

Tetapi lebih ramai yang merasakan ia lebih kepada sikap tamak pembekal yang mahu berbuat demikian menjelang musim cuti sekolah dan Hari Raya Haji (di mana ayam mendapat permintaan tinggi).

Tambah lagi, seperti mana kata CUEPACS, kenaikan harga seperti satu fenomena apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan bajet tahunan.

Ini menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang walaupun kakitangan awam belum menerima imbuhan tersebut.

Ketika ini kerajaan sudah membuat apa sahaja untuk membela nasib rakyat yang terus berhadapan dengan kenaikan harga barangan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

Antaranya mengambil langkah proaktif mengawal harga beberapa jenis barangan asas seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan beras yang memberi kesan langsung terhadap kos barangan akhir yang lain.

Kawalan harga ini dibuat melalui pemberian subsidi oleh kerajaan dimana perbezaan di antara harga pasaran dan harga kawalan ditampung oleh pemberian subsidi yang bertambah setiap tahun.

Jadi, mengapa harga ayam di sesetengah kawasan di Pulau Pinang sahaja kini sudah mencecah RM12 sekilogram.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen