Jumaat, 28 Oktober 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Jadikan Malaysia negara contoh

Posted:

Jadikan Malaysia negara contoh

Jadikan Malaysia negara contoh

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin dan Zambry Abd. Kadir (kanan) bermesra dengan para penerima bantuan pada perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri dengan guru-guru seluruh Perak di UTP, Seri Iskandar, Parit, semalam.


PARIT 27 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ilmuan Islam supaya berfikiran global dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dalam usaha mewujudkan negara yang seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi sekali gus menjadikan Malaysia contoh kepada dunia Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain penekanan aspek membangunkan modal insan, pembangunan iktisad yang menyentuh aspek kemakmuran ekonomi juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam kancah kemunduran.

Beliau menarik perhatian senario di negara Islam lain yang sudah mula membangun tetapi, terus dihimpit pelbagai krisis serta peperangan sehingga menyebabkan kekayaan khazanah ekonominya tidak dapat dibangunkan demi kepentingan rakyat.

''Dalam perjumpaan begini, saya biasa ditanya kenapa kerajaan terlalu ghairah bercakap soal pembangunan ekonomi tetapi tidak memberi perhatian dalam soal pembangunan sosial, budaya dan agama. Saya kata (pandangan) ini tidak tepat.

''Dalam soal kita membangunkan ummah atau menjadi sebuah negara Islam contoh, selain membangunkan modal insan, pembangunan iktisad juga penting supaya kita dapat membina sebuah negara yang seimbang pembangunannya," katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negeri Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan sumbangan kepada 24 SABK, 32 SAR dan tiga SMKA sekitar negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM15.8 juta.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak wajar mengambil iktibar daripada krisis yang dihadapi negara-negara Islam lain termasuk peperangan selama bertahun-tahun sehingga mengakibatkan kemunduran serta kesengsaraan rakyatnya.

''Sebab itu dalam soal pembangunan, kita perlu mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi dan beban ini bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan tetapi juga oleh masyarakat," jelasnya.

Muhyiddin turut menekankan cabaran besar yang bakal dihadapi dalam tempoh 10 tahun ketika kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Sambil menyifatkan ia sebagai tempoh kritikal, beliau berkata, semua pihak memikul tanggungjawab dalam melahirkan warga masa hadapan yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang tetapi juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia.

Full content generated by Get Full RSS.

3 wanita Nepal maut, 5 parah

Posted:

3 wanita Nepal maut, 5 parah

3 wanita Nepal maut, 5 parah


JALAN sesak setelah berlaku kemalangan melibatkan dua buah van, sebuah kereta MyVi dan sebuah treler mengakibatkan tiga mati di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang menghala ke Klang, semalam.


SHAH ALAM 27 Okt. - Hasrat tiga wanita warga Nepal untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kemalangan, tidak sampai dua jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.

Kejadian di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang itu berlaku pukul 3 petang ketika mereka bersama 16 pekerja warga Nepal dalam perjalanan ke sebuah kilang di Meru, Klang untuk melapor diri dengan menaiki dua buah van.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, selain dua buah van tersebut, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan lori treler.

Nahas itu mengakibatkan lima yang lain termasuk seorang pemandu warga tempatan cedera parah.

"Ketiga-tiga wanita yang mati di tempat kejadian ialah Dil Kumari Shrestha, Kamaladevi Gurigai dan Dil Maya Gurung berusia antara 25 hingga 30 tahun.

"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Lima mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ruslan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.10 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Punca kemalangan masih disiasat dan pihak polis perlu mengambil masa menyiasat kemalangan tersebut dengan lebih terperinci," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Muhyiddin tempelak Anwar

Posted:

Muhyiddin tempelak Anwar

Muhyiddin tempelak Anwar

LUMUT 27 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang diumumkan baru-baru ini adalah gambaran kegagalan program transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sebagai pemimpin yang pernah menerajui agensi serta kementerian ketika berada dalam kerajaan, Anwar sepatutnya mengetahui matlamat laporan tersebut dibuat.

Malah katanya, laporan itu bukan sahaja menyentuh agensi, kementerian atau kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN), tetapi turut merangkumi teguran-teguran ke atas pentadbiran negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

''Laporan mencakupi semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri, tidak terkecuali negeri di bawah pembangkang kerana ada juga perkara-perkara yang mereka perlu jawab.

''Saya tidak fikir Ketua Pembangkang yang pernah berada dalam kerajaan dan menerajui kementerian tidak tahu perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program School Times di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuloh, Lekir di sini, hari ini.

Muhyddin diminta mengulas kenyataan Anwar dalam laporan portal Malaysiakini.com semalam yang memetik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai berkata, perkara yang didedahkan dalam laporan tersebut membuktikan kegagalan program transformasi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memahami bahawa laporan tersebut amat penting dalam usaha kerajaan untuk memastikan setiap masalah atau kelemahan yang timbul di peringkat pelaksanaan belanjawan negara dapat diatasi dari semasa ke semasa.

''Kerajaan faham laporan audit ini penting kerana kita mahu supaya prinsip-prinsip seperti ketelusan dan akauntabiliti dijadikan sebagai asas paling penting dalam kita menguruskan belanjawan negara," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak yang berkenaan mengambil serius segala teguran yang terkandung dalam laporan tersebut dengan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang timbul.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat bukti berlaku elemen penyalahgunaan kuasa dalam perkara yang dibangkitkan melalui laporan itu, tindakan disiplin juga boleh diambil.

''Tetapi yang penting bagaimana teguran itu dijadikan panduan untuk tentukan supaya belanjawan negara melalui kementerian atau agensi terbabit dimanfaatkan sebaik mungkin untuk rakyat jelata," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan