Ahad, 30 Oktober 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Malaysia tawar jadi tuan rumah

Posted: 30 Oct 2011 04:40 PM PDT

Nasional

Beberapa negara beri sokongan hasrat KL kendali sidang pada 2019

MALAYSIA menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 2019, sempena ulang tahun ke-30 persidangan berkenaan diadakan di Kuala Lumpur.

Datuk Seri Najib Razak berkata, setakat ini beberapa negara sudah menyatakan sokongan terhadap hasrat berkenaan tetapi keputusan mengenainya belum dibuat lagi. "Kita sudah memulakan langkah awal dengan menyatakan hasrat kepada mesyuarat ketua-ketua kerajaan di sini dan kemungkinan ia akan dibincangkan pada mesyuarat CHOGM akan datang," kata Perdana Menteri pada sidang media pada akhir mesyuarat peringkat ketua kerajaan kumpulan negara bekas jajahan British itu.

CHOGM yang bermula di sini Jumaat lalu berakhir semalam dengan pernyataan bersama dibaca Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

CHOGM yang diadakan dua tahun sekali akan berpindah ke Sri Lanka pada 2013 dan Mauritius pada 2015 manakala tuan rumah bagi 2017 dan 2019 belum ditentukan.

Berhubung CHOGM tahun ini, Najib berkata, ia berakhir dengan ketetapan bahawa perubahan kepada Komanwel perlu dibuat bagi membuat badan ditubuhkan 62 tahun lalu itu yang mempunyai 54 negara anggota dari enam benua, kembali menjadi relevan dan berkesan.
Berikutan itu, CHOGM kali ini memutuskan untuk menangani beberapa isu global antaranya yang membabitkan keselamatan bekalan makanan, perubahan iklim dan pertumbuhan mapan.

Selain itu, Najib berkata CHOGM juga mengukuhkan komitmennya terhadap nilai Komanwel dalam aspek demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi.

Sementara itu, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur Najib, diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, meluangkan lebih sejam untuk beramah mesra dengan warga Malaysia di Western Australia pada majlis BBQ 1Malaysia di Burswood Park dekat sini.

Pada majlis itu yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang, Perdana Menteri gembira pemastautin Malaysia di sini mahu menyumbang kepada transformasi yang sedang dilaksanakan di negara asal mereka itu.

Beliau berkata, mereka ini yang sudah mencatatkan kejayaan di sini mahu melabur dan menawarkan kepakaran kepada Malaysia untuk membantu negara mencapai wawasannya.

"Kerajaan secara bersendirian tidak boleh membawa perubahan. Kita perlu sokongan rakyat di dalam dan luar negara untuk menjayakan transformasi yang sedang dilaksanakan ini," kata Perdana Menteri.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

'Teruskan perkukuh kerjasama'

Posted: 30 Oct 2011 04:37 PM PDT

Nasional

 MUHYIDDIN  bersama  Musa  dan  Shafie  mengangkat tangan pada majlis Penerangan Perdana Barisan Nasional peringkat Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, semalam.

MUHYIDDIN bersama Musa dan Shafie mengangkat tangan pada majlis Penerangan Perdana Barisan Nasional peringkat Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, semalam.

TPM ingatkan parti komponen BN tak perbesar masalah dalaman

KOTA KINABALU: Parti komponen Barisan Nasional (BN) harus mencari titik persamaan dan bukannya titik perbezaan bagi menyelesaikan masalah dalam rumah tangga dan tidak perlu membawanya keluar hingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan parti komponen itu mentadbir negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan membawa masalah dalaman ke khalayak ramai akan menyebabkan rakyat bukan setakat mempersoalkan keutuhan dan kesepakatan dalam BN, malah hilang keyakinan terhadap kemantapan kerajaan. Lebih penting lagi, katanya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi, BN harus terus kukuh berpegang kepada konsep kerjasama yang sudah disepakati sejak pentadbiran Kerajaan Perikatan kerana rakyat akan melihat BN tidak kukuh jika parti komponen itu bertelagah sesama sendiri sedangkan pada hakikatnya tidak ada masalah besar.

"Dalam situasi sekarang kita mahu tunjukkan kekuatan BN. Oleh sebab itu, setiap parti komponen harus berpegang teguh pada prinsip itu. Kalau ada sesuatu perkara, elok dibincangkan secara berhemah.

"Lebih baik kita bersama-sama mencari jalan menyelesaikan masalah itu dan tidak perlu kita bawa ke khalayak luar yang mungkin boleh memberi gambaran tidak baik walaupun sebenarnya kita tidak ada isu besar," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada majlis Penerangan Perdana BN Sabah, di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 8,000 orang dari lapan parti komponen BN negeri. Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.
Selain UMNO sebagai tujang, BN Sabah turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), MCA, GERAKAN dan MIC.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN mengingatkan pemimpin parti komponen supaya membincangkan masalah dalaman BN dalam mesyuarat pengurusan BN yang dipengerusikannya.

"Kita ada mesyuarat pengurusan BN yang kita kerap adakan. Saya sudah jumpa sebahagian parti komponen. Yang lain saya jumpa minggu depan," katanya.

Di SANDAKAN, Muhyiddin berkata, parti komponen perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh BN menerusi pelbagai pendekatan, termasuk mengenali pengundi dan bekerja keras bagi memastikan rakyat memberi kemenangan besar pada PRU Ke-13.

"Kita perlu teliti setiap inci kawasan yang kita jaga. Kita kena tahu pengundi, selesaikan masalah mereka dan kita kena bersama mereka sepanjang masa. Ia bukan perkara baru tetapi saya perlu mengingatkannya kerana tiada pilihan selain bekerja keras untuk memastikan kejayaan BN.

"Apa yang penting diberi tumpuan ialah gerak kerja kita bagi menarik sokongan rakyat kepada BN," katanya merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-22 di Dewan Sekolah Menengah (SM) Yu Yuan, di sini semalam. Ia dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan parti berkenaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan