Sabtu, 29 Oktober 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Gamelan Kebangsaan 2011 dirintis

Posted:

Gamelan Kebangsaan 2011 dirintis

Gamelan Kebangsaan 2011 dirintis

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusankelantan@utusan.com.my


Salah sebuah kumpulan Gemelan yang beraksi pada Festival Gamelan Sedunia yang dianjurkan kerajaan Negeri Terengganu tahun lalu.


KUALA TERENGGANU 28 Okt. - Dalam usaha memberi nafas baru ke arah mengangkat martabat muzik dan seni persembahan yang menjadi warisan kebanggaan, kerajaan negeri akan menganjurkan Pertandingan Gamelan Peringkat Kebangsaan 2011 selama dua hari di sini mulai esok.

Pertandingan buat julung-julung kalinya di negara ini dengan kerjasama Lembaga Muzium negeri akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak dan bakal disertai oleh 17 kumpulan dari seluruh negara bersama 250 pemuzik.

Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah berharap, melalui usaha yang dirintis itu dapat meningkatkan kecintaan dan penghargaan masyarakat, mencambah dan menyuburkan kegiatan kumpulan-kumpulan dengan persembahan bermutu.

''Ia juga dapat mewujudkan ruang kepada penggubah muzik gamelan untuk menonjolkan hasil ciptaan mereka untuk disebarkan dan meningkatkan koleksi lagu-lagu gamelan Melayu yang semakin terbatas dan diperluaskan sebarannya kepada umum.

''Ia seiring dengan hasrat pimpinan negeri agar Terengganu menjadi peneraju dan memayungi seni gamelan negara, manakala seni itu juga kekal menjadi simbol kepada identiti negeri dan ketinggian warisannya," ujar beliau.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia di sini hari ini, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori gamelan Melayu tradisional dan kontemporari/kreatif.

Dalam kategori gamelan Melayu tradisional, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua buah lagu iaitu satu lagu gamelan Melayu instrumental dan satu lagu secara vokal.

Bagi kategori kontemporari, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua lagu gamelan Melayu sama ada instrumental ataupun vokal dan satu lagu kontemporari atau kreatif ciptaan sendiri di mana selain sembilan alatan asas, alatan muzik tradisional yang lain boleh digunakan.

''Ini termasuklah rebab, serunai, seruling, pelbagai jenis rebana dan jidur, geduk, gedombak, kesi, kertuk dan rebana ubi," ujarnya.

Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala RM5,000 bagi anugerah khas juri dan RM1,000 bagi anugerah pemuzik terbaik di samping RM3,000 bagi hadiah saguhati kepada setiap kumpulan yang bertanding.

Kumpulan yang akan mengambil bahagian termasuklah Kumpulan Gamelan KONGA dan Kumpulan SaGa dari UniSZA, Kumpulan BAYU dari Universiti Malaysia Sarawak, Kumpulan MASanidaya Penerbangan Malaysia (MAS), Kumpulan Citra Nusantara dan UPNM Gamelan Group dari Universiti Pertahanan Negara, Kumpulan Atika Seni dari Universiti Sains Malaysia, Kumpulan Asuhan Seni, Kumpulan Gema ASWARA.

Juga Kumpulan Sanggar Kirana dan UTP Gamelan Group dari Universiti Teknologi Petronas, Kumpulan Gamelan Kuala Lumpur, Kumpulan Simfoni Lokananta, Kumpulan Gamelan Sari dari Universiti Teknologi Mara Terengganu, Kumpulan Gamelan Indera Kayangan dari Perlis dan Kumpulan Pelita ASWARA dari Kuala Lumpur.

Katanya, penganjuran pertandingan yang mungkin dijadikan acara tahunan ini diharap menjelma sebagai pemangkin baru kepada perkembangan seni gamelan Melayu sama ada di peringkat negara dan antarabangsa, malah merancakkan kegiatannya tanpa bermusim dengan peranan semua pihak.

''Pada masa kini dianggarkan terdapat 100 kumpulan Melayu di seluruh negara yang digerakkan oleh agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan orang perseorangan, namun, kadang kala terasa begitu sepi dan lesu, malah, masa depannya membimbangkan.

''Sehubungan itu, kita ingin menjadikan Terengganu sebagai perangsang malah, sebagai pusat pembelajaran dan rujukan kepada perkembangan dan pembangunan seni muzik dan seni tari gamelan secara ilmiah dan tersusun," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

FAMA Terengganu anjur jualan terus sempena Aidiladha

Posted:

FAMA Terengganu anjur jualan terus sempena Aidiladha

FAMA Terengganu anjur jualan terus sempena Aidiladha

KUALA TERENGGANU 28 Okt. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu akan menganjurkan jualan terus sempena Aidiladha di dua pasar tani terpilih bermula 3 hingga 5 November ini.

Pengarahnya, Hasan Jusoh berkata, dua pasar tani terlibat ialah Pasar Tani Mega Padang Hiliran di sini dan Pasar Tani Mega Kerteh di Kemaman.

Katanya, ia bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan bekalan yang secukupnya untuk musim perayaan berkenaan dengan harga 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

"Memang bila tiba musim perayaan ada peningkatan permintaan bagi barang keperluan harian. Jadi kita tidak mahu bila ada peningkatan permintaan, ada pula peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Melalui jualan terus ini, pengguna boleh mendapatkan bekalan keperluan harian dengan harga berpatutan selain dapat mengurangkan kos membeli," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas perkara sama beliau berkata, sebanyak 80 hingga 100 gerai disediakan di setiap pasar tani itu yang akan dibuka bermula pukul 7 pagi hingga 2 petang.

Jelasnya, pelbagai barang bekalan harian akan dijual antaranya ayam serta sayur-sayuran seperti tomato, cili merah, kubis bulat, timun, bawang merah dan kelapa.

Tambahnya, jualan secara terus bukan sahaja memudahkan pengguna, malah dapat meningkatkan pengedaran bekalan petani dengan lebih efektif.

"Kita telah anjurkan jualan terus ini sejak beberapa tahun lalu khususnya apabila dekat dengan musim perayaan dan kita harap orang ramai boleh mengunjungi pasar tani yang menawarkan bekalan segar dari ladang ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

SRS bantu kurangkan jenayah

Posted:

SRS bantu kurangkan jenayah

SRS bantu kurangkan jenayah

TUMPAT 28 Okt. - Kira-kira 200 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bechah Resak, dekat sini termasuk pemimpin masyarakat dan anggota keselamatan menyertai program Jom Ronda Bersama Pemimpin yang diadakan malam tadi.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar, bertujuan meningkatkan hubungan antara masyarakat dan pemimpin setempat di samping memperkasa aspek keselamatan awam selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan kerajaan.

Semasa ditemui pada program tersebut, Noor Zahidi berkata, penubuhan SRS dengan kerjasama pasukan keselamatan mampu meningkatkan keselamatan orang awam di kawasan masing-masing.

"Selain membantu pihak polis meningkatkan keselamatan orang ramai, ia juga secara tidak langsung menimbulkan kesedaran masyarakat untuk rasa bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan di setiap kawasan.

"Saya percaya bila ada kesedaran itu di dalam diri masing-masing, sudah pasti keselamatan kawasan akan terjamin dan kita boleh berada dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.

Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu, Datuk Rosdi Ab. Aziz; Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan, Abd. Hadi Mohd. Salleh dan pegawai-pegawai polis di daerah ini.

Noor Zahidi berkata, melalui peranan yang dimainkan oleh SRS dan jalinan erat antara penduduk dengan pemimpin masyarakat, kadar jenayah setempat dapat dikurangkan dan memudahkan kegiatan itu kenal pasti serta dibanteras pada peringkat awal.

Operasi ronda pada malam tadi melibatkan kawasan sejauh lima kilometer bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi diketuai oleh Rosdi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat.

Menurut Rosdi, menerusi rondaan tersebut semua anggota singgah di setiap bilik gerakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk mendengar segala maklumat berkaitan operasi mereka.

"Kita juga akan menyerahkan sedikit bantuan kepada anggota yang bertugas di bilik gerakan berkenaan," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen