Ahad, 30 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Maafkan saya: Sharbinee

Posted: 30 Oct 2011 03:25 AM PDT

Mutakhir

KUALA TERENGGANU: Penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee, memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri Terengganu khususnya penyokong dan peminat bola sepak negeri itu.

Bekas penjaga gol kebangsaan ini mengakui kesilapan yang dilakukan kerana tidak menjaga rapi pintu gol, memberikan kemenangan kepada pihak lawan seterusnya menghampakan semua penyokong setia Sang Penyu.

"Saya memang kecewa kerana semasa perlawanan penting, terjadi insiden yang tidak diduga ini, perlawanan memang sengit, bola itu datang secara tiba-tiba dan saya gagal membuat keputusan yang tepat hingga memberikan gol mudah kepada pihak lawan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Jelas pemain yang berusia 25 tahun itu, kerana kesilapan inilah mereka terlepas peluang untuk menjulang piala yang diidam-idamkan dan kekecewaan jelas tergambar di wajah bapa kepada seorang anak ini.

Bagaimanapun kesilapan dan kekecewaan ini mengajar beliau dan rakan sepasukan dan ia memberi pengalaman yang cukup berguna dan menjadi titik permulaan untuk terus maju pada perlawanan akan datang.

Anak jati Pulau Duyong ini berkata lumrah di dalam bola sepak jika menang mereka akan dijulang dan jika kalah mereka akan disalahkan, namun beliau menerima kritikan itu secara terbuka.

"Semalam bukan hari saya dan tiada rezeki untuk kami julang piala yang ditunggu-tunggu sedekad lalu, saya akui kesilapan saya dan sekali lagi saya minta maaf kepada semua penyokong setia penyu kerana gagal membawa pulang Piala Malaysia.
"Memang tidak terniat di hati saya untuk menghampakan anda semua," katanya.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan malam tadi, penyokong Terengganu tidak berpuas hati dengan tindakan Sharbinee kerana memberikan gol mudah kepada lawan.

Kebanyakannya berpendapat perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kesilapan itu menggagalkan misi skuad penyu untuk meraih kemenangan berganda pada tahun ini.

Kerana kesilapan itu menyaksikan Terengganu kecundang di tangan Skuad Rusa 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2011.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berkata dia tidak meletakkan kesalahan di bahu Sharbinee sepenuhnya kerana mereka bermain secara berpasukan dan kerana kelalaian mereka telah dihukum.

Katanya, gol penyamaan Negeri Sembilan itu melemahkan semangat anak didiknya yang hilang rentak permainan dan kerana gol itulah memusnahkan segalanya.

"Kita main berpasukan dan tidak menyalahkan Sharbinee dan saya mengaku kehilangan tonggak pertahanan Mazlizam Mohamad yang tercedera merencatkan sedikit corak permainan semalam," katanya.

Bagaimanapun, jurulatih yang berasal dari Kelantan ini tetap berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan namun rezeki tidak memihak kepada mereka semalam. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Polis serbu 4 premis judi di Pandan Mewah

Posted: 30 Oct 2011 03:21 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat premis dalam sebuah pusat beli-belah di Pandan Mewah di sini, diserbu polis hari ini kerana menjalankan kegiatan mesin judi slot dan komputer tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin, berkata seramai 38 pelanggan termasuk empat wanita yang sedang berjudi ditahan dalam operasi yang dijalankan selama tiga jam dan berakhir pada 4 petang itu.

"Dalam serbuan hasil maklumat awam dan risikan itu, polis turut menahan empat lelaki yang juga penjaga premis.... Semua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 30 tahun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini . Beliau berkata, 159 mesin judi dirampas dalam Ops Dadu itu, kebanyakannya mesin 'jackpot' dan 'classic slot'.

"Keempat-empat premis terbabit mempunyai pintu yang boleh menghubungkan satu sama lain dan premis ini berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata dalam tempoh 10 bulan tahun ini, sebanyak 153 serbuan di lakukan di daerah Ampang membabitkan 169 tangkapan dan 1,056 mesin judi dirampas. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Komen