Ahad, 11 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Dakwa dibelasah

Posted: 10 Sep 2011 11:07 AM PDT

KUALA TERENGGANU: "Saya terkilan dengan layanan diberikan anggota polis terhadap anak saya hingga menyebabkan dia cedera di muka dan mata kiri.

"Malah, anak saya turut lebam di kakinya selain patah satu batang gigi akibat ditendang anggota berkenaan ketika soal siasat, Rabu lalu," kata Manap@Awang Ismail, 63, bapa kepada Mohd Azam Manap, 31, yang mendakwa cedera dibelasah seorang anggota polis ketika dalam tahanan.


Sebelum ini, Mohd Azam yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di rumahnya di Pekan Tepoh, di sini, jam 2.30 pagi Selasa lalu oleh sepasukan polis selepas dipercayai terbabit dalam satu kes curi.

Ketika menceritakan kejadian itu, Mohd Azam mendakwa insiden itu berlaku dalam tempoh 15 minit apabila dia ditendang beberapa kali.


"Saya bukan saja dibelasah tanpa belas, malah anggota terbabit turut menyapukan darah di lantai ke muka saya menggunakan mop lantai.


"Ketika itu ada beberapa orang dalam bilik berkenaan. Namun, hanya seorang membelasah saya. Dia hanya berhenti memukul selepas melihat keadaan saya tidak bermaya," katanya ketika ditemui di pejabat Metro Ahad di sini, semalam.

Selain dipercayai terbabit dalam kes curi, Mohd Azam ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun, Mohd Azam dibebaskan selepas diikat jamin Khamis lalu.


Akibat kecederaan itu, Mohd Azam mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurut Manap, anggota berkenaan tidak sewajarnya menggunakan kekerasan ketika menjalankan soal siasat walaupun anaknya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes curi.


"Sebagai bapa, saya sedih apabila anak saya diperlakukan sedemikian. Jika dia bersalah sekali pun, anggota berkenaan perlu mengikut undang-undang dan bukan bertindak sesuka hati.


"Mujur doktor memaklumkan keadaan anak saya tidak serius walaupun ketika ini penglihatannya ada kalanya kabur. Berikutan kejadian ini, saya membuat satu laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


"Saya tidak berniat mengeruhkan keadaan tetapi hanya mahukan keadilan, selain tidak mahu orang lain menerima nasib sama seperti anak saya," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan.

800 panik

Posted: 10 Sep 2011 11:07 AM PDT

GUA MUSANG: Saat cemas dilalui 800 penumpang Ekspres Senandung Wau, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur selepas sebuah daripada 14 kocnya terbakar berhampiran Stesen Keretapi Merapoh, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian jam 11.30 malam itu memaksa pemandu tren memberhentikan kenderaan di stesen berhampiran bagi mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat, sekali gus memadamkan kebakaran koc yang memuatkan generator elektrik serta hawa dingin.


Difahamkan, keadaan cemas itu menyebabkan penumpang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sebaik tren menghampiri stesen terdekat, termasuk ada yang nekad terjun di kawasan itu kerana terlalu panik.

Senario itu disaksikan penduduk setempat sebaik tren berhenti secara mengejut apabila kebanyakan penumpang berebut-rebut terjun dari koc kerana bimbang api yang membakar gerabak membawa alat berkenaan di bahagian belakang merebak ke koc lain.


Bagaimanapun, koc yang terbakar dapat dikawal sepasukan anggota bomba sukarela di Kampung Merapoh dalam masa 15 minit sebelum dibantu sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang tiba 16 minit kemudian.


Kerja keras anggota bomba membolehkan perjalanan diteruskan sejam kemudian dengan meninggalkan koc terbakar itu di Stesen Keretapi Merapoh sebelum menyambung koc gantian generator elektrik dari Stesen Kuala Lipis.

Menurut penumpang, Salamah Alias, 28, kejadian itu mengejutkan penumpang hingga memaksa mereka terjun dari koc penumpang bagi menyelamatkan diri sebaik kereta api berhenti.


Katanya, insiden disedari selepas terdengar bunyi bising penumpang lain mengenai kebakaran sebuah koc, menyebabkan dia secara spontan mengambil beg pakaian dan melompat keluar sebaik koc berhenti di stesen terdekat, "Boleh dikatakan semua penumpang bertempiaran lari dan terjun dari koc kerana masing-masing takut api merebak ke koc penumpang lain.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tindakan cepat sepasukan bomba sukarela Kampung Merapoh memadam kebakaran menyebabkan keadaan kembali reda dan penumpang menaiki semula kereta api," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kampung Merapoh, Rossraman Abdul Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang ternampak kereta api ekspres itu terbakar jam 11.30 malam.


Katanya, dia bersama lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk memadam api yang marak membakar koc dan berjaya mengawalnya dalam masa 15 minit.


"Sebaik tiba di tempat kejadian, ada penumpang panik dan terjun dari koc untuk menyelamatkan diri hinggakan kita terpaksa meminta mereka bertenang.


"Malah, ada penumpang terjun ke dalam parit di tepi landasan kereta api, namun semua penumpang menaiki semula koc sejam kemudian untuk meneruskan perjalanan," katanya.


Dalam kejadian bulan lalu, 300 penumpang Ekspres Senandung Timuran, KTMB dalam perjalanan dari Tumpat ke Johor Bahru cemas selepas tren dinaiki merempuh dua ekor gajah dalam kejadian di Kilometer 407.5, Bukit Abu-Manek Urai, di sini.


Dalam kejadian jam 10.40 malam itu pemandu tren terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut namun tidak sempat mengelak ibu dan anak gajah yang melintasi landasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan