Jumaat, 2 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Aziz dapat anak merdeka

Posted: 01 Sep 2011 10:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bagi Faizul Harris Mohamad Kamal dan isteri, Norzainab Paee, kedua-duanya 38 tahun, sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini memberi kebahagiaan berganda kepada mereka kerana dikurniakan sepasang kembar perempuan.

Norzainab menangis kegembiraan sebaik memangku Kayla Fara dan Kaysha Zara, anak pertama pasangan itu selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga, di Pusat Perubatan Tropicana di sini, semalam.


"Ia perayaan tiga kali ganda bagi keluarga saya, kerana kelahirannya pada Hari Merdeka menandakan berakhirnya penantian kami selama 11 tahun. Mereka anugerah kami, hadiah daripada Allah," kata Faizul kepada Bernama dalam nada emosi.

Norzainab yang berasal dari Kuching berkata beliau tidak menghadapi masalah ketika mengandung, membolehkannya menyempurnakan ibadah puasa.


Kedua-dua bayi kembar itu yang seberat 2.35 kilogram (kg) dan 1.59kg, dilahirkan melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF). Pusat perubatan itu menyambut bayi Hari Merdeka pertama seorang bayi lelaki seberat 3.9kg pada jam 10.30 pagi, semalam. "Dia anak pertama kami dan akan menamakannya Nicholas Yeow Tze E," kata Agnes Yap Voon Kean, 34, dengan bangga.


Yap, seorang usahawan dari Perlis berkata, dia dijangka melahirkan anak pada 28 Ogos tetapi tidak menyangka bayinya lahir tiga hari kemudian.

Turut berkongsi kegembiraan, pelakon dan pengarah Aziz M Osman, 48, dan isteri, Puteri Salbainun Lokman, 22, yang menyambut kelahiran Puteri Nur Azahra di Pusat Perubatan Pantai.


"Ini bayi sempena Merdeka dan raya yang mempunyai semangat 1Malaysia," kata Aziz mengenai bayi perempuannya, seberat 3.74kg yang lahir pada jam 11.17 malam.- Bernama

Maut temani anak dalam ambulans

Posted: 01 Sep 2011 10:47 AM PDT

GEMAS: "Saya nak pergi hantar anak untuk kali terakhir," kata Norizah Bujang, 62, kepada suaminya, Ahmad Mohamad, 64, sebelum dia maut apabila ambulans dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Rokan-Kuala Pilah, dekat sini, malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, dalam kejadian jam 8.15 malam itu, ambulans dinaiki mangsa dalam perjalanan menghantar anak kelimanya, Nur Intan Suhana, 30, yang terkena renjatan elektrik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najiha (HTAN), Kuala Pilah. Malangnya terbabas ke dalam parit di tempat kejadian.


Kemalangan itu mengakibatkan Norizah maut di tempat kejadian, manakala Nur Intan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Pemandu ambulans, Norazman Mohd Din, 48, dari Klinik Kesihatan Jelai pula cedera ringan manakala pembantu perubatan, Mustafa Kamal Abu, 48, patah tangan kiri.


Menurut Ahmad, sebelum kejadian, arwah isterinya berkeras mahu menghantar anak mereka ke hospital walaupun dihalang dan diminta tunggu di rumah menjaga cucu.


Katanya, dia tidak menyangka perubahan sikap Norizah sebelum kejadian yang kerap marah tanpa sebab dan kurang bercakap menjadi petanda arwah akan meninggalkannya sekeluarga buat selama-lamanya.

"Arwah asyik memarahi saya tanpa sebab, malah pada hari raya pertama selepas menziarahi pusara anak bongsu, kami bergaduh sehari suntuk.


"Pada hari kejadian, arwah berdegil mahu menghantar anak, katanya untuk kali terakhir. Namun, tak sangka itu kali terakhir kami bertemu sebelum mendapat tahu isteri maut dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Jelai 3, Gemenceh di sini, semalam.

Menurutnya, ambulans berkenaan dalam perjalanan ke HTAN menghantar Nur Intan Suhana yang terkena renjatan elektrik kira-kira jam 6.30 petang kelmarin ketika membasuh pakaian menggunakan mesin basuh.


Katanya, dia hanya dimaklumkan mengenai kemalangan itu selepas menerima panggilan daripada hospital dan tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa isterinya. "Saya menerima panggilan daripada hospital jam 8.30 malam dan bergegas ke sana. "Apabila tiba di hospital, doktor membawa saya ke bilik mayat. Luluh hati saya melihat jenazah isteri terbaring kaku," katanya.


Menurutnya, biarpun sedih, dia reda dengan pemergian isterinya dan mengharap anaknya, Nur Intan Suhana yang kini kritikal di HTJ sembuh.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, ambulans terbabit hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam sebelum melanggar tebing pasir dan terbabas ke dalam parit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan