Jumaat, 9 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


‘Tentera sabun’ main sorok-sorok

Posted: 08 Sep 2011 03:54 PM PDT

Wilayah

WARGA asing menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di Shah Alam, sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan.

WARGA asing menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di Shah Alam, sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan.

Warga asing sedia khidmat cuci kereta tanpa lesen mengelak ditahan MBSA

SHAH ALAM: Sekumpulan enam warga asing dari Chennai, India, mempertaruhkan nasib datang ke negara ini sejak setahun lalu dengan menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di sini sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan di kawasan berkenaan.

Dikenali sebagai 'tentera sabun' di kalangan penduduk tempatan, kesemua warga asing itu mengenakan bayaran RM5 bagi upah mencuci bahagian luaran kenderaan dan menjadikannya sebagai pekerjaan tetap mereka walaupun mengakui terpaksa bermain 'sorok dan sembunyi' setiap kali didatangi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Tinjauan Sentral ke lokasi mereka bertugas sejak beberapa hari lalu mendapati, kesemuanya mendakwa enggan bekerja di kilang seperti warga asing lain kerana kerja mencuci kenderaan itu mampu memberikan pendapatan lebih RM150 sehari berdasarkan purata 30 kenderaan yang mampu dicuci. Seorang daripada mereka yang hanya dikenali Prakash, berkata sejak menjalankan operasi di kawasan letak kereta di situ, mereka turut mendapat 'kontrak' mencuci harian di kalangan pemilik kenderaan yang bertugas di beberapa pejabat dan kedai di kawasan berkenaan.

"Selain pelanggan harian, kami juga mendapat upah mencuci kereta secara kontrak di kalangan pemilik kenderaan yang bekerja di kawasan ini. Cuma kami selalu berhati-hati dan terpaksa lari jika penguat kuasa (MBSA) datang membuat pemeriksaan," katanya yang fasih berbahasa Malaysia.

Prakash, dipercayai mengetuai kumpulan enam lelaki itu mendakwa mereka kini tinggal menyewa di sebuah flet milik penduduk tempatan di Seksyen 19, kira-kira satu kilometer dari tempat mereka mencari rezeki dengan bayaran sewa sebanyak RM650 sebulan.

"Kami datang bekerja menaiki basikal dan mesti sampai di sini sebelum jam 9 pagi. Kami mesti sampai awal di sini sebab kebiasaannya pada awal pagi penguat kuasa belum datang membuat pemeriksaan," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya bekalan air yang digunakan untuk mencuci kenderaan, dia mendakwa mendapat kemudahan itu daripada pili air milik sebuah kedai berdekatan dengan dikenakan bayaran tertentu dan tidak berdepan masalah menggunakannya sejak setahun lalu.

"Air untuk mencuci kereta kami sewa dari sebuah kedai tapi sabun dan pengilat tayar kami dapat daripada pembekal yang datang. Dalam sebulan kami menggunakan sekurang-kurangnya enam liter sabun dengan harga RM200 termasuk pengilat tayar," katanya.

Tentera sabun seramai enam orang itu bukan asing di kalangan penduduk tempatan dan pemilik kenderaan di kawasan letak kereta berdekatan sebuah pasar raya besar itu kerana sering menawarkan perkhidmatan kepada setiap pemilik kenderaan tanpa malu.


Pelajar UTAR hidup ketakutan

Posted: 08 Sep 2011 03:53 PM PDT

Wilayah

Bimbang sejak rumah sewa musnah terbakar didakwa perbuatan khianat

KAMPAR: Penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, kini dalam kebimbangan ekoran kejadian kebakaran yang memusnahkan 11 unit rumah sewa dihuni beberapa pelajar universiti itu sejak awal bulan lalu, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kebakaran itu dikesan berlaku pada waktu tengah malam dan awal pagi sekitar Taman Kampar Perdana di sini, yang menjadi tumpuan pelajar UTAR menginap berikutan kedudukannya berhampiran kampus tetapnya.

Dalam kejadian terbaru Sabtu lalu, sebuah rumah teres dua tingkat dihuni enam penuntut UTAR musnah terbakar selepas kediaman itu dipercayai dibaling 'molotov koktel'. Dipercayai, pihak yang melakukan perbuatan itu adalah suspek sama bertanggungjawab membakar lima lagi rumah pada hari sama dengan pelbagai cara termasuk membaling tuala yang terlebih dulu dibakar dengan api.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 19, berkata suspek dipercayai menceroboh dalam pekarangan rumah sebelum melontar api melalui cermin depan rumah.

Pelajar jurusan perakaunan di UTAR itu berkata, dia sedang berehat di ruang tamu rumah ketika kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, Sabtu lalu.

"Saya terkejut cermin tingkap pintu gelungsur rumah tiba-tiba pecah dan pada masa sama, melihat percikan api menyambar langsir. Saya terus bergegas keluar tetapi tidak melihat individu yang melakukannya.
"Namun, saya bernasib baik kerana api dapat dipadamkan dan tidak membabitkan kerosakan teruk," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, pengawal keselamatan sebuah pangsapuri berhampiran kawasan perumahan teres terbabit, S Meri, 28, berkata dia bersama dua lagi rakannya turut melakukan rondaan secara sukarela.

"Perbuatan ini bukan saja menimbulkan huru-hara di kawasan perumahan itu, malah boleh mengancam nyawa penduduk jika terus dibiarkan. Justeru, saya bersama dua rakan meningkatkan rondaan di sekitar perumahan ini walaupun ia tidak berada di bawah kawasan jagaan kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya sudah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an pada Ahad lalu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

"Suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan perumahan terbabit dan kini sedang disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan kes kebakaran dilaporkan.

"Polis memandang serius kes ini kerana ia boleh mendatangkan risiko kepada nyawa penduduk dan langkah segera sudah diambil dengan membina sebuah pos polis sementara di tengah kawasan perumahan ini yang mula beroperasi kelmarin," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan