Khamis, 8 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Bakar sampah, kereta hangus

Posted: 07 Sep 2011 03:49 PM PDT

Wilayah

 PEMILIK kenderaan, Normala Shariff  melihat  keretanya yang terbakar akibat  pembakaran sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

PEMILIK kenderaan, Normala Shariff melihat keretanya yang terbakar akibat pembakaran sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kejadian berpunca daripada pembakaran haram sambar kenderaan penduduk

KUALA LUMPUR: Empat kereta milik penghuni Flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini rosak teruk terbakar selepas ditimpa sebahagian sampah setinggi empat meter yang dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Kejadian berlaku seawal jam 4 pagi semalam selepas beberapa penduduk melihat api marak di tempat mereka mengumpulkan sampah dipercayai dibakar sehingga menyebabkan bahagian belakang dua kereta jenis Toyota Vios dan masing-masing sebuah kereta Nissan Terrano dan Proton Wira terbakar.

Penduduk menyedari kejadian itu bertindak memadamkan kebakaran itu sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran. Api dapat dikawal dari merebak ke beberapa kenderaan lain.

Siasatan dijalankan Unit Forensik Bomba mendapati kebakaran berpunca daripada pembakaran secara haram oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab di lokasi sampah itu yang berada kurang 5 meter dari tempat letak kereta.

Seorang pemilik kereta, Normala Shariff, 39, berkata kejadian itu boleh dielakkan jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan tempat membuang sampah khas.

"Oleh kerana ketiadaan tempat membuang sampah, penduduk terpaksa mengumpulkan sampah mereka di lokasi berkenaan.
"Sejak dua minggu lalu, sampah yang dikumpulkan tidak diangkat selepas lori sampah tidak muncul di kawasan kediaman kami, malah bahan mudah terbakar seperti tilam dan kain dikumpulkan di tempat pengumpulan sampah itu yang juga berhampiran dengan tempat kami meletakkan kereta," katanya.


Penduduk bayar ‘bil angin’

Posted: 07 Sep 2011 03:48 PM PDT

Wilayah

Tiga kampung guna Sungai Chapar sejak tiada bekalan air 3 tahun lalu

SIK: Kira-kira 500 penduduk di tiga perkampungan di sini terpaksa menggunakan air Sungai Chapar untuk kegunaan harian walaupun meragui tahap kebersihannya, selepas bekalan air paip terputus sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Ketiga-tiga kampung terbabit ialah Kampung Baru Kubang, Kampung Bukit Berangan dan Kampung Bukit Batu.

Penduduk mendakwa masalah ketiadaan air paip itu mungkin berpunca daripada kerja menaikkan taraf jalan utama dari Naka ke Pedu sejak kira-kira tiga tahun lalu kerana sebelum projek itu dilaksanakan mereka tidak menghadapi masalah bekalan air. Apa yang menyedihkan ialah penduduk terpaksa membayar bil air setiap bulan walaupun tiada bekalan air dan bagi mengelakkan mereka berterusan terpaksa membayar bil berkenaan, kira-kira 50 keluarga bertindak memotong sambungan paip ke rumah masing-masing.

Penduduk, Abu Bakar Yusof, 33, dari Kampung Baru Kubang mendakwa dia terpaksa mengangkut air dari Sungai Chapar dengan menggunakan motosikal yang jauhnya kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

"Air sungai yang diambil itu digunakan untuk minum dan memasak, manakala mandi dan mencuci pakaian di sungai setiap hari.

"Kami juga terpaksa mengangkut air lebih banyak sepanjang sambutan Aidilfitri lalu kerana ramai saudara pulang berhari raya," katanya.
Esah Wahab, 55, pula berkata, dia memotong bekalan air ke rumahnya apabila bil airnya tertunggak kira-kira RM400 selama tiga tahun yang masih belum dijelaskan.

"Air tidak keluar tetapi kami terpaksa membayar 'bil angin' sebanyak kira-kira RM400 dan ia tidak adil kepada kami yang berpendapatan rendah.

"Kami berharap Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dapat menyelesaikan masalah ini segera demi keselesaan penduduk," katanya.

Penduduk Kampung Bukit Batu, yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan 45, berkata pihaknya sudah membuat beberapa aduan kepada SADA tetapi belum ada tindakan diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bukit Berangan, Mahyudin Ahmad berkata masalah itu sudah diadukan kepada SADA sejak dua tahun lalu tetapi belum ada tindakan diambil.

"Penduduk tidak sepatutnya menggunakan air sungai dalam tempoh begitu lama kerana air sungai itu kemungkinan tercemar dengan pelbagai jenis kuman atau bahan kimia daripada aktiviti pertanian.

"Kita berharap SADA dapat membina sebuah pam di kampung ini bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SADA, Tarmizi Abd Rani ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu secepat mungkin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan