Selasa, 6 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Berang jalan taman retak

Posted: 05 Sep 2011 05:00 PM PDT

Wilayah

Penduduk Puncak Bertam sudah lama bersabar, harap dibaiki segera

MELAKA TENGAH: Kira-kira 2,000 penduduk Taman Puncak Bertam, Cheng, dekat sini, berang dengan sikap pemaju taman perumahan itu yang didakwa gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan di taman perumahan itu sejak mereka menetap di situ kira-kira dua tahun lalu.

Akibat sikap itu, penduduk kini terpaksa berdepan masalah laluan yang sudah retak sehingga menimbulkan kebimbangan setiap kali melaluinya, selain isu tiada jaminan keselamatan gara-gara kawalan keselamatan longgar. Presiden Persatuan Penduduk Taman Puncak Bertam, Datuk Azman Ismail, berkata penduduk di kawasan itu sudah lama bersabar dan berharap tindakan segera diambil bagi mengatasi isu berkenaan selepas beberapa aduan rasmi dikemukakan kepada pemaju.

Namun, katanya, sehingga kini, tidak ada maklum balas diterima dari pihak terbabit.

"Kami sudah tidak dapat bersabar dengan sikap pemaju ini dan berharap usaha kami dengan memanggil media dapat dapat membuka mata mereka selain pihak berkuasa," katanya selepas menyertai kira-kira 30 penduduk taman itu mengadakan bantahan terhadap pemaju taman berkenaan.

Azman berkata, setiap pemilik rumah di taman itu dikenakan yuran penyelenggaraan dan keselamatan setiap tahun, namun perkhidmatan yang diberi dilihat tidak berbaloi dengan apa dibayar oleh mereka.
Contoh katanya, setiap penduduk di situ sepatutnya dapat menggunakan kad khas untuk memudahkan kenderaan mereka keluar masuk ke taman berkenaan, tetapi sudah empat bulan tidak dapat menggunakannya kerana didakwa menghadapi masalah perisian.

Selain itu, katanya, kejadian pecah rumah seorang penduduk sehingga mengalami kerugian kira-kira RM20,000 membuktikan kelemahan sistem kawalan keselamatan di kawasan itu.

"Kami dapati beberapa pagar kawad duri yang dipasang di sekitar kawasan taman perumahan ini sudah dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga memudahkan sesiapa saja memasuki kawasan perumahan ini," katanya.

Seorang penduduk, Simon Tan Chee Haw, 31, pula berasa kecewa dengan sikap pemaju yang memandang ringan tahap keselamatan di kawasan itu sehingga memudahkan penceroboh masuk.

"Apa gunanya penduduk di sini membayar yuran keselamatan antara RM600 hingga RM1,200 setahun jika kejadian jenayah masih boleh berlaku," katanya.


Universiti India labur RM145j

Posted: 05 Sep 2011 04:58 PM PDT

Wilayah

ZAMBRY (tengah) menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara  Abdul Rashid  (kiri) dengan Sandeep (kanan)  pada majlis menandatangani perjanjian di antara Perak Educity dengan Jaipur National University di Ipoh.

ZAMBRY (tengah) menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara Abdul Rashid (kiri) dengan Sandeep (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian di antara Perak Educity dengan Jaipur National University di Ipoh.

Jaipur National University bakal buka kampus cawangan di Perak

IPOH: Jaipur National University, antara universiti terkemuka di India, bakal membuka kampus cawangannya di Perak membabitkan pelaburan awal bernilai AS$50 juta (RM145 juta).

Kampus berkenaan yang akan menawarkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, bioteknologi, kejururawatan dan hospitaliti dijangka dibangunkan di kawasan segitiga pendidikan Perak di jajaran Ipoh-Kampar-Seri Iskandar. Canselor yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan universiti itu, Sandeep Bakshi, berkata kemasukan pertama pelajar antara 800 hingga 1,000 orang merangkumi pelajar tempatan dan antarabangsa di kampus sementara yang akan diputuskan sebelum akhir tahun ini.

"Beberapa perbincangan lanjut akan diadakan dengan kerajaan negeri selepas ini. Kami berhasrat ingin membina kampus tetap di Perak kerana yakin dengan potensi yang ada di sini serta kerjasama dan sokongan kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perak Educity, di sini, semalam.

Memorandum itu ditandatangani antara Sandeep dengan Pengarah Perak Educity, Abd Latif Abd Ghani yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Zahir Khalid; Pengerusi Perak Educity, Datuk Abdul Rashid Ghani serta Pro Naib Canselor Jaipur National University, Prof H N Verma.
Sementara itu, Zambry berkata, pemeteraian MoU itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan negeri untuk memperkembang pelaburan tenaga profesional bagi keperluan pelbagai sektor industri dan perkhidmatan di negeri ini.

"Justeru, kita mengharapkan lebih ramai pakar akademik serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) datang ke Perak bagi memenuhi keperluan itu selain menjadikan Perak antara hub pendidikan yang terulung di negara ini," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan