Wilayah
Sambutan ditunda pada 16 September serentak dengan Hari MalaysiaKUALA LUMPUR: Walaupun sambutan kemerdekaan 31 Ogos yang kebiasaannya disambut secara meriah di Dataran Merdeka di sini, ditunda kepada 16 September serentak dengan sambutan Hari Malaysia, dataran itu tetap menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing, kelmarin.
Suasana Hari Kemerdekaan kali ini agak tenggelam dengan kemeriahan rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri, namun ramai tidak melepaskan peluang cuti umum untuk berkumpul bersama keluarga dan merakam gambar di hadapan Kompleks Sultan Abdul Samad.
Tinjauan Berita Harian mendapati rata-rata rakyat Malaysia dan pelancong asing mula berkumpul di pekarangan Dataran Merdeka seawal jam 9 pagi. Kakitangan kerajaan, Junaidi Muhamad, 49, berkata walaupun tahu sambutan kemerdekaan ditunda, beliau bersama keluarganya mengambil kesempatan datang ke Dataran Merdeka untuk melihat suasananya.
"Saya sudah biasa datang ke sini setiap tahun untuk bersama-sama rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan. Walaupun tahun ini ditunda kepada 16 September, ia tidak menghalang saya datang sini dengan keluarga.
"Sungguh gembira untuk melihat begitu ramai yang datang ke sini walaupun mereka juga tahu tiada perarakan atau sebarang sambutan (kelmarin)... inilah semangat 1Malaysia," katanya.
Veni Murugesu, 42 dari Serdang, turut mengambil kesempatan untuk membawa keluarganya ke Dataran Merdeka bagi menghayati hari kemerdekaan supaya anak-anaknya tidak lupa erti kemerdekaan.
"Selain membawa anak-anak bersiar di ibu kota, saya juga menerangkan kepada mereka serba sedikit sejarah kemerdekaan negara selain datang ke Dataran Merdeka pada setiap 31 Ogos," katanya.
Pelancong dari Bangladesh, Abu Bakar Ali, 28, yang buat pertama kali melawat Malaysia berasa gembira melihat rakyat tempatan yang berkumpul di Dataran Merdeka bersama keluarga masing-masing.
"Saya difahamkan 31 Ogos adalah Hari Kemerdekaan Malaysia dan Dataran Merdeka ialah kawasan sambutan, bagaimanapun saya berasa sedih kerana tidak berpeluang untuk melihat sambutan kali ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan