Berita Harian: Mutakhir |
| Bapa bersyukur PM realisasi impian Nurul Atikah Posted: 10 Sep 2011 03:10 AM PDT Mutakhir TAIPING: Bapa kepada remaja yang berjuang menentang penyakit barah tulang kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin yang meninggal dunia malam tadi, melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana merealisasikan impian anaknya.Samsudin Hasbullah, 53, melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kerana Perdana Menteri dapat meluangkan masa berbual dengan anaknya itu melalui telefon bimbit Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pada 19 Ogos lalu. "Terima kasih kerana dapat luangkan masa bercakap dengan anak saya. Walaupun tidak dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, perbualan dengan anak saya melalui telefon bimbit itu juga sudah cukup. Saya bersyukur," katanya dalam keadaan sebak dan sayu ketika ditemui pemberita selepas selesai pengkebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang di Kamunting di sini hari ini. Nurul Atikah, 14, meninggal dunia pada 11.05 malam tadi di sisi bapanya manakala ibunya, Che Tom Osman, 45, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Mewah, Kamunting daripada mengambil makanan tambahan untuk remaja itu.Jenazahnya disembahyangkan di Surau Nurul Jannah Taman Mewah, Fasa 1, Kamunting, iaitu kira-kira 50 meter dari rumahnya. Lebih 100 orang hadir pada majlis pengkebumian itu. Pada 19 Ogos lalu, Nurul Atikah yang sudah lama memasang impian berjumpa dengan Perdana Menteri dapat berbual dengan Najib melalui telefon dan pemimpin itu memberi nasihat serta kata-kata semangat kepadanya selain bertanya khabar serta keadaan kesihatannya. Peluang mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Najib yang juga idolanya adalah sesuatu yang sangat menggembirakan Nurul Atikah.
"Kemudian anak saya berkata: 'Tolong...ayah, tolong adik' dan selepas itu dia terus senyap (meninggal dunia)," katanya. Beliau berkata keadaan anaknya selepas mengambil makanan tambahan sangat bagus iaitu bengkak-bengkak di tubuhnya kembali surut dan tidak lagi bergantung kepada morfin, boleh tidur dengan selesa, mempunyai selera makan dan kekerapan membuang air kecil serta besar kembali normal. Katanya, pemergian anaknya juga meninggalkan kesan mendalam apabila tarikh semalam juga menandakan beliau genap 33 tahun berkhidmat dengan pasukan polis. Sementara itu Che Tom berkata: "Saya keluar dari rumah pada 9.30 malam, selepas ambil ubat (makanan tambahan) di Taiping, dalam perjalanan pulang suami telefon beritahu Nurul Atikah mengalami kepenatan dan saya cakap saya dalam perjalanan balik ke rumah...kemudian panggilan kedua suami maklumkan anak saya sudah tiada". Mengenai kehilangan pekerjaan sebagai penolong penyelia di sebuah kilang, Che Tom berkata apa pun tindakan majikannya termasuk menunjukkan tanda simpati terhadapnya kini tidak memberi apa-apa makna. Beliau sudah diberhentikan kerja oleh majikannya berkuat kuasa 7 September lalu apabila sering mengambil cuti tanpa gaji sejak 2009 untuk menjaga anak. Melalui surat yang diterima pada 1 Syawal lalu, syarikat itu mengatakan tidak lagi melayan sebarang permohonannya untuk bercuti tanpa gaji. Nurul Atikah, anak ketiga kepada pasangan itu mula dikesan menghidap barah tulang selepas terjatuh di rumahnya pada 2009. - BERNAMA |
| Syarikat China labur RM900 juta di ECER Posted: 10 Sep 2011 02:19 AM PDT Mutakhir SERI KEMBANGAN: Biro Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Luar Wenzhou yang berpangkalan di China akan melabur RM900 juta untuk menubuhkan satu taman perindustrian bersepadu yang terdiri daripada kemudahan logistik dan rumah gudang di Zon Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kuantan, Pahang.Menerusi pelaburan ini, Wenzhou akan mempunyai kompleks urus niaganya yang pertama di ECER, yang akan terletak di taman perindustrian bersepadu bagi menggalakkan lagi perdagangan dua hala. Pembinaan taman perindustrian bersepadu itu dijadual bermula pada Jun tahun depan dan akan siap dalam tempoh 18 bulan. Biro Kerjasama Ekonomi itu dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini bertukar-tukar dokumen bagi memformalisasikan rancangan pelaburan dalam zon khas itu dan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.Mustapa berkata, kedua-dua pihak turut bekerjasama untuk mengenal pasti bidang-bidang baharu kerjasama ekonomi yang boleh merancakkan pelaburan. "Saya berharap pelaburan ini akan menarik syarikat-syarikat lain dari China untuk melabur di Kuantan dan bahagian-bahagian lain Pantai Timur," katanya. Majlis itu adalah sebahagian daripada Persidangan Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa Malaysia-China 2011 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Mustapa menasihatkan syarikat China yang berminat untuk mengendalikan projek di Malaysia menggunakan perkhidmatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Mustapa yang dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China bulan depan berkata beliau akan membincangkan rancangan taman perindustrian seluas 55 kilometer persegi akan dibina di Wenzhou sebagai satu projek usaha sama antara syarikat Malaysia dan China. "Fasa pertama projek itu dijangka siap pada tahun 2015. Cadangan untuk projek itu belum lagi dikemukakan," katanya. Wenzhou yang juga dikenali sebagai "ibu negara perindustrian ringan China" menghasilkan 60 peratus daripada kasut di China dan mempunyai tapak kukuh dalam pembuatan pakaian. Ia juga adalah pusat pembuatan utama untuk alat peranti elektrik, alat elektronik dan mesin ringan. Wenzhou sudah mewujudkan pusat komersial di Brazil, Belanda, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Jerman. Di Malaysia, pusat perdagangannya terletak di Ipoh, Perak, sementara pusat perdagangannya di Senai, Johor, pada masa ini sedang dalam pembinaan. Terdahulu, dalam majlis perasmian persidangan itu, Mustapa berkata MITI yang memberi fokus kepada Beijing dan Shanghai, sudah memperluaskan rangkaiannya di China meliputi wilayah Wenzhou, Yunnan dan Guangxi. "Kita juga akan bekerjasama dengan persatuan Hainan, Hakka, Teochew, Fuchow dan Guangxi untuk membantu kita dalam kerjasama ini," katanya. - BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan