Berita Harian: Mutakhir |
| PROSPEK beri lebih peluang naik pangkat: KPPA Posted: 09 Sep 2011 03:18 AM PDT Mutakhir PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK, sistem baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat.Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi, iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang diukur panel penilai dijamin memperolehi ganjaran. Katanya, PROSPEK yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "PROSPEK adalah untuk semua penjawat awam tetapi yang mempunyai peluang untuk mendapat kenaikan pangkat adalah bagi mereka yang mempunyai kompetensi dan potensi."Ini kerana sesetengah orang itu, kompeten tetapi tidak ada potensi. Ini bermakna penjawat awam dituntut untuk berubah dan berupaya untuk membangunkan keupayaan kendiri (memajukan diri)," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini. Mei lalu, Abu Bakar mengumumkan PROSPEK sebagai pengganti PTK, berkuat kuasa pada 1 Julai, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Katanya, antara prinsip PROSPEK ialah membangunkan kompetensi secara berterusan iaitu setiap pegawai perlu menjalani latihan, dan keperluan menjalani kursus selama tujuh hari setahun bagi anggota penjawat awam seperti sebelum ini, akan diteruskan. Beliau berkata, kursus dan latihan itu adalah pembangunan kompetensi yang bertujuan menambah baik dan menjadikan seseorang penjawat awam itu lebih cekap. "Apabila mereka menjalani kursus dan latihan, penilaian kursus akan ada. Jadi, kita akan tahu kedudukan mereka dari segi markah yang diperolehi. "Kita simpan dan kumpul, membuat data mengenai mereka. Jadi apabila ada kekosongan, kita akan ambil misalnya hanya mereka yang berada pada kedudukan top 20, diberi satu penilaian, di mana kita akan tubuhkan panel (panel penilai) yang terdiri daripada orang yang tahu tugas yang akan dilaksanakan. "Jadi, apabila ada kekosongan jawatan, pada masa itulah kita membuat penilaian potensi seseorang pegawai, sama ada seseorang itu mempunyai potensi untuk mengisi gred jawatan yang lebih tinggi," katanya. Abu Bakar berkata, untuk dilantik sebagai ketua, seseorang pegawai itu perlu mempunyai potensi dan ia adalah antara kriteria penting selain cekap dalam melaksanakan tugas. "Justeru bagi mereka yang sudah dibangunkan kompetensi dan didapati mempunyai potensi, mereka akan dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. "Tetapi jika dia mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi setelah melalui PROSPEK, potensinya tidak menyerlah, jadi, tak dapatlah juga dia untuk dinaikkan pangkat," katanya. Abu Bakar berkata, untuk menjadi anggota panel penilai juga mempunyai kriteria tertentu yang terdiri daripada tiga individu termasuk ketua jabatan yang mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang dinilai serta mesti mempunyai kemahiran untuk menilai secara objektif. "Kita tak mahu lagi beri markah kesian. Hati mesti ikhlas sebab bagi saya, markah tinggi dalam laporan prestasi bukan daripada hati ikhlas tetapi hati belas kasihan," katanya. Bagi memastikan tidak wujud sikap atau pendirian berat sebelah, beliau berkata panel penilai itu terdiri daripada tiga individu dan anggota CUEPACS juga akan turut hadir sebagai pemerhati berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan ketua jabatan sahaja untuk membuat penilaian. Katanya, JPA menyusun program yang terbaik dalam membangunkan kompetensi seseorang pegawai dan seterusnya dapat mengenal pasti potensinya pada masa akan datang. - BERNAMA Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
| Komunis, golongan haluan kiri penderhaka: Majlis Profesor Posted: 09 Sep 2011 03:00 AM PDT Mutakhir PUTRAJAYA: Majlis Profesor Negara (MPN) menyifatkan komunis dan golongan berhaluan kiri di Tanah Melayu tidak layak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan sebaliknya sebagai penderhaka kerana cuba menghapuskan sistem kerajaan Melayu yang dilindungi British untuk menggantikannya dengan negara republik komunis.Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya MPN, Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata golongan nasionalis Melayu yang pada asalnya ingin memerintah di Tanah Melayu bersekongkol dan bersubahat dengan parti komunis untuk merealisasikan hasrat itu. "Jadi kita tidak menerima itu sebagai perjuangan kerana mereka ingin merampas kuasa secara tidak sah," katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi MPN, Prof Emiritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan anggota-anggota jawatankuasa MPN di sini hari ini. Ia bagi menjawab dakwaan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada 21 Ogos lalu yang menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor sehingga mengorbankan 25 anggota polis dan keluarga mereka pada 1950 sebagai wira.Ini kerana, kata Mat Sabu, anggota polis terbabit adalah pasukan keselamatan yang bekerja dengan penjajah British. "Mat Sabu ada mengatakan mengenai persoalan penjajahan di Tanah Melayu kononnya pegawai polis di Bukit Kepong adalah polis British dan Datuk Onn (Jaafar) dan Tunku Abdul Rahman adalah pegawai British...bermakna beliau sentuh isu berkenaan masalah penjajahan (di Tanah Melayu)," kata Zainal. Beliau berkata, dakwaan Tanah Melayu terjajah selama 400 tahun adalah tidak benar sebaliknya Tanah Melayu hanya dijajah selama dua tahun iaitu semasa zaman Malayan Union pada awal tahun 1946 hingga akhir tahun 1947 dan semasa zaman Jepun.
Zakri pula berkata, sebagai sebuah badan yang mewakili 1,600 profesor di institusi pengajian tinggi, MPN hanya ingin memperbetulkan sebarang fakta atau takrif yang berkemungkinan tidak tepat dan tidak akan memberikan respons dalam konteks politik. Katanya, MPN bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris akan menganjurkan bengkel dijangka pada Oktober ini bagi membincangkan isu seperti yang didakwa oleh Mat Sabu itu. Ia akan disertai tokoh sejarah dari dalam dan luar negara dan hasil penjelasan itu akan dimaklumkan kepada masyarakat. Anggota jawatankuasa MPN, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menasihatkan orang ramai yang keliru dengan fakta sejarah supaya mencari sumber yang betul termasuk membaca buku-buku yang diiktiraf dan bukan hanya mempercayai apa yang ditulis dalam internet. "Apa yang timbul kontroversi sekarang ini bukan salah fakta sejarah tetapi orang yang menafsir itu, yang mempunyai agenda tertentu," katanya. - BERNAMA Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan