Khamis, 8 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Institusi kewangan perlu sokong ekonomi hijau: PM

Posted: 08 Sep 2011 01:48 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menggesa institusi kewangan, perniagaan dan agensi bekerjasama lebih rapat lagi dan menjadi lebih inovatif dalam merealisasikan seruan global bagi penggunaan teknologi hijau.

Meskipun minat daripada perniagaan dan institusi kewangan amat menggalakkan, Najib berkata hasil akhirnya masih kurang positif.

Tahun lalu, kerajaan memperkenalkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi membantu syarikat yang juga pengguna dan pengeluar teknologi hijau. Setakat ini, 125 permohonan sudah diterima dengan 97 projek dilulus dianugerahkan sijil hijau bernilai lebih RM2 bilion.

"Ini mungkin kedengaran amat menggalakkan tetapi masih ada jurang antara permintaan dan penawaran. Saya dimaklumkan bahawa daripada 97 projek yang diperakui hijau, hanya 21 menerima surat tawaran bagi pinjaman daripada institusi kewangan.

"Saya menggesa semua pihak menyahut cabaran ini dan memainkan peranan mereka dalam menyokong pembangunan ekonomi hijau sepenuhnya," katanya pada pelancaran Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Ke-2 Malaysia (IGEM 2011) di sini, hari ini.

Najib juga melancarkan Sistem Penilaian dan Rangka Kerja Bandar Raya Karbon Rendah sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah sebuah ekonomi karbon rendah dan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang 2020.
"Ia sudah lama menjadi inspirasi saya untuk membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai contoh bandar mesra alam dan mencontohinya di bandar dan bandar raya lain di seluruh Malaysia," katanya.

Rangka Kerja Bandar Raya Karbon Rendah dibentuk bertujuan membantu majlis tempatan, perancang bandar dan pemaju merangka pelan tindakan bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Najib juga berkata terdapat potensi besar bagi pertumbuhan teknologi hijau di Malaysia, terutamanya dalam empat sektor sasaran iaitu tenaga, pembinaan, pengangkutan, air dan pengurusan sisa buangan.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata sektor perbankan perlu lebih positif dari segi menyediakan pinjaman kepada industri yang menggunakan teknologi hijau dalam proses mereka.

"Saya rasa bank-bank perlu lebih sedia membantu dalam portfolio pinjaman mereka bagi jenis industri ini. Sudah pastinya banyak yang mereka boleh lakukan," katanya.

Chin berkata terdapat bank-bank asing yang berminat dalam projek seumpama itu.

"Saya teruja dengan hakikat bahawa terdapat bank-bank asing seperti Sumitomo Bank dari Jepun yang berminat untuk menubuhkan dana alam sekitar yang akan digunakan bagi teknologi hijau.

"Saya ada mengadakan banyak perbincangan yang mencapai hasil dengan mereka baru-baru ini. Kami berusaha untuk bekerjasama dengan mereka tentang bagaimana untuk membiayai panel solar yang dipasang di rumah.

"Harapnya, kami akan dapat mencipta satu sistem. Saya harap setiap bank akan melihat perkara ini dari sudut positif. terutamanya bank-bank tempatan kita," katanya.

Chin berkata, kebimbangan kegagalan projek yang berisiko tinggi itu mungkin menjadi alasan mengapa bank tempatan tidak begitu menyokong projek hijau.

"Sudah pastinya ada sedikit risiko. Setiap pinjaman mempunyai risiko. Tiada pinjaman yang 100 peratus terjamin. Tetapi kita harus proaktif dalam bahagian tertentu," katanya.

Beliau juga berkata, dalam pembiayaan hijau, kerajaan sudah menyediakan beberapa penimbal bagi risiko.

"Terdapat Perbadanan Jaminan Kredit yang menjamin 60 peratus daripada pinjaman yang diberi.

"Oleh itu, secara dasarnya institusi kewangan hanya mengambil 40 peratus daripada risiko itu. Skim itu sendiri sudah pun mengurangkan risiko bagi bank-bank, namun mereka masih belum memainkan peranannya.

"Mereka tidak menyahut cabaran dalam menyediakan pembiayaan hijau," katanya. - BERNAMA


Bekas tentera, polis kecewa tidak dapat serah memorandum kepada PAS

Posted: 08 Sep 2011 01:35 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Tiga persatuan bekas anggota beruniform kecewa kerana gagal menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, hari ini berhubung kenyataannya menyokong perjuangan komunis yang disifatkan sebagai merendahkan martabat pejuang negara.

Ini kerana pintu ibu pejabat parti itu di sini berkunci dan tiada seorang pun wakil parti itu berada di situ untuk menerima memorandum berkenaan.

Seramai 50 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) berhimpun mulai 11.30 pagi dengan diawasi 10 orang anggota polis. Presiden PBPM, Shafie Bakri, berkata mereka mahu menyatakan bantahan kepada Mohamad Sabu yang juga dikenali sebagai Mat Sabu kerana kenyataannya bahawa pengganas komunis adalah wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong, Muar, Johor.

"Kami kecewa kerana bukan sahaja pemimpin PAS tidak ada bahkan menutup pejabat mereka. Ini adalah surat bantahan daripada rakyat biasa yang kesal dan kecewa dengan kenyataan Mat Sabu itu.

"PAS bukan sahaja telah menghina kami bahkan merendahkan martabat serta merendahkan pejuang negara. Kita akan cuba menyerahkan memorandum ini dan kami akan bawa lebih ramai lagi ahli untuk berhimpun di sini," katanya kepada pemberita.

Memorandum itu mengutuk keras kenyataan Mohamad Sabu dan mencadangkan PAS mengkaji semula kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang, mendesak parti itu tidak memutarbelit fakta sejarah dan jangan cuba menghidupkan ideologi komunis di negara ini.
Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani, menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu itu yang mengagungkan komunis seperti tidak menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan.

"Dia mengiktiraf komunis, bererti dia bersubahat dengan komunis. Kementerian Dalam Negeri (KDN) hendaklah mengambil tindakan segera ke atas beliau.

"Perjuangan komunis bukanlah untuk kemerdekaan negara tetapi untuk menjadikan negara ini sebagai negara komunis," katanya.

Presiden PVTM, Mohd Ali Baharom, pula mahukan rakyat menolak Mohamad Sabu sekiranya beliau bertanding pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Dia boleh berkata apa sahaja tetapi janganlah menghina pejuang seperti kami," katanya.

Mat Sabu, ketika ditemui kemudian, berkata beliau tidak mengetahui adanya rancangan untuk menyerahkan memorandum bantahan itu.

"Tidak ada masalah untuk saya berjumpa tetapi perlulah diberitahu dahulu. Kami menghantar memorandum kepada orang, takkanlah kami tidak boleh menerima memorandum," katanya.

Perhimpunan itu bersurai setengah jam kemudian. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan