Ahad, 4 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Jacqueline rangkul emas boling di Kejohanan Wanita Dunia 2011

Posted: 04 Sep 2011 02:23 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Pemain boling muda Malaysia, Jacqueline Sijore berjaya merangkul pingat emasnya yang pertama di kejohanan antarabangsa selepas menewaskan Son Yun-hee dari Korea Selatan dalam final perseorangan Kejohanan Wanita Dunia 2011 (WWC 2011) di Hong Kong hari ini.

Remaja berumur 19 tahun dari Sarawak itu berjaya menggegarkan gelanggang boling untuk menumpaskan lawannya dengan 266-217, menurut laman web rasmi pertandingan.

Terdahulu di saingan peringkat separuh akhir beliau menewaskan pemain Singapura Shayna Ng, 246-214 untuk mara ke perlawanan akhir, manakala Yun-hee menundukkan Mai Ginge Jensen dari Denmark dengan 279-268. Shayna dan Mai Ginge meraih pingat gangsa.

Hanya empat pemain teratas dalam carta kedudukan dari tiga skuad mara ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu sebelum saingan separuh akhir bermula, dua lagi pemain boling Malaysia Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zatil Iman Abdul Ghani bertanding dalam pertandingan Skuad 3.

Selepas menamatkan pertandingan enam game, Zandra Aziela dan Zatil Iman masing-masing menduduki tempat kelima dan ke-13.
Selepas keputusan dari tiga skuad yang bersaing digabungkan, Jacqueline menduduki tempat ke empat, manakala Zandra Aziela di tempat ke-14, Zatil Iman (ke-29), Esther Cheah (ke-46), Sharon Koh (ke-62) dan Sin Li Jane (ke-92), daripada 171 peserta. - BERNAMA


UMNO Kelantan lantik pengarah, timbalan pengarah jentera pilihan raya

Posted: 04 Sep 2011 02:21 AM PDT

Mutakhir

KOTA BHARU: 14 Ketua Bahagian UMNO di Kelantan hari ini masing-masing dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya bagi setiap kawasan parlimen di negeri itu.

Setiap Ketua Bahagian UMNO itu pula akan memilih di kalangan ahli UMNO di bahagian masing-masing sebagai timbalan pengarah pilihan raya untuk "menjaga" setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 45 DUN. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelantikan pengarah dan timbalan pengarah jentera pilihan raya adalah untuk menggerakkan parti dengan program-program bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata mereka yang menjadi pengarah dan timbalan pengarah jentera parti tidak semestinya akan dilantik sebagai calon pilihan raya umum.

"Mereka diberikan amanah untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong kepada BN. Soal calon adalah berbeza dan kepimpinan menetapkan hanya calon yang boleh menang akan dipilih," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perhubungan UMNO Negeri di sini, hari ini.

Kira-kira 10,000 warga Kota Bharu hadir pada majlis rumah terbuka itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan kepimpinan kanan UMNO.
Mustapa berkata, kesemua Ketua Bahagian UMNO di Kelantan juga berjanji dan bersetuju supaya tidak akan menimbulkan kemelut dalaman parti demi menjaga nama baik parti.

Beliau berkata, tumpuan kini diberikan dalam memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang mahukan perubahan pembangunan selepas 21 tahun PAS dilihat gagal membawa perubahan dalam aspek pembangunan ekonomi.

Katanya, antara isu yang sekian lama menghantui kerajaan PAS Kelantan ialah isu bekalan air yang tidak memuaskan kepada rakyat, pembinaan lebuh raya dan pemberian projek ladang rakyat yang didakwa telah merampas tanah rakyat.

Beliau berkata, pelantikan pengarah jentera itu juga mengukuhkan kedudukan UMNO di Kelantan setelah pelancaran tema perjuangan parti itu untuk membawa perubahan dengan konsep Gelombang Merah pada Febuari lepas, serta lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada Jun lalu. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan