Sabtu, 3 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Trafik dari arah utara bergerak perlahan

Posted: 03 Sep 2011 03:45 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dari arah utara menghala ke ibu kota di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bergerak perlahan sejak jam 11 pagi berikutan ramai warga kota yang mula pulang ke rumah masing-masing setelah bercuti panjang.

Jurucakap PLUS, berkata antara kawasan yang sesak adalah dari jambatan Pulau Pinang menghala ke Plaza tol Juru dan dari Plaza tol Taiping Utara ke Plaza tol Changkat Jering.

Selain itu, trafik antara persimpangan Kuala Kangsar ke Terowong Menora juga perlahan. "Di bahagian tengah pula, trafik bergerak perlahan dari Simpang Pulai menuju ke Gopeng, ini disebabkan hanya ada dua lorong kiri dan kanan sahaja dan kawasannya yang berbukit menyebabkan pemandu harus memandu secara perlahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Trafik dari arah selatan ke ibu kota berjalan lancar dan tiada kesesakan sejak pagi tadi.

Sementara itu, 28 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari ke-11 Ops Sikap-24, menjadikan jumlah kematian 212 orang.

Polis Bukit Aman dalam laman sesawangnya hari ini, melaporkan penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi sebanyak 16 orang.
Sebanyak 25 kes kemalangan maut direkodkan dan daripada jumlah itu, empat kes dicatat di lebuh raya, jalan persekutuan (sembilan), jalan negeri (11), diikuti dengan satu di jalan bandaran.

Sebanyak 10,682 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam. - BERNAMA


Warga kota mula pulang ke ibu kota, terminal pengangkutan awam sesak

Posted: 03 Sep 2011 03:39 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Terminal bas utama di ibu negara hari ini sudah mula sesak apabila semakin ramai warga kota kembali ke ibu negara selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Rata-rata penumpang memilih untuk pulang awal sebelum mula bekerja Isnin ini.

Tinjauan Bernama mendapati Terminal Bas Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS), Hentian Duta, Pudu Sentral dan KL Sentral sesak dengan ketibaan penumpang yang dijangka lebih ramai menjelang malam ini. Seorang penjual tiket, Ismail Hapson, berkata sebanyak 30 buah bas syarikatnya bertolak dari Kluang, Johor memasuki ibu negara sejak semalam hingga Ahad ini.
"Sudah ramai penumpang memasuki Kuala Lumpur, tapi malam ini dijangka lebih ramai kerana kebanyakan tiket telah habis dijual sejak bulan puasa lagi," katanya.

"Kalau diikutkan memang rasa tak puas raya, baru hari ke lima. Tapi nak buat macam mana, kena buat persiapan apa yang patut sebelum mula kerja Isnin ini," kata Haryati Salleh, 24.

Antara penumpang di KL Sentral yang baru tiba dengan keretapi ialah pelajar kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang, Aemos a/k John Taylor, 21.
Beliau menggunakan cuti selama seminggu untuk pulang ke kampung halamannya di Betong, Sarawak. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan