Selasa, 2 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Warga MBI terima insentif RM500

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Zambry Abd. Kadir (tengah) beramah mesra dengan warga MBI pada Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Warga MBI di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

IPOH 1 April - Sebanyak 2,340 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menerima insentif sebanyak RM500 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta yang akan dibayar pada gaji bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian tersebut berikutan prestasi memberangsangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam melonjak perubahan ketara bandar raya ini sejak empat tahun lalu.

"Pada 2008, sebanyak 785 permohonan pembangunan kita terima, namun jumlah tersebut meningkat sehingga 4,445 iaitu kedua tertinggi selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ini sekali gus membuahkan hasil daripada strategi yang kita laksanakan dalam perubahan sistem penyampaian termasuk penggunaan sistem pusat setempat (OSC) di PBT serta kepantasan kerajaan negeri meluluskan permohonan di peringkat Exco tanpa sebarang fail tertunggak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Menteri Besar Bersama Warga MBI di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan kenaikan gaji kumpulan sokongan MBI dari gred 1 hingga 16 yang menyaksikan gaji golongan tersebut yang sebelum ini dalam lingkungan RM1,200 hingga RM1,500, dinaikkan menjadi RM1,797 hingga RM2,857 sebulan.

Kenaikan tersebut yang akan berkuat kuasa Julai ini adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Sistem Saraan Transformatif (SST) baru-baru ini.

Katanya, di bawah sistem baharu itu, kumpulan sokongan yang telah mencapai gaji maksimum, mereka akan diberikan tiga tangga gaji tambahan sehingga 2015, sebelum kenaikan tiga peratus setiap tahun mengikut prestasi bermula 2016.

Dalam pada itu, katanya, pembangunan Ipoh terus meningkat apabila bilangan premis perumahan dan perniagaan di sini turut meningkat dengan mendadak daripada 236,000 kepada 272,000.

Peningkatan tersebut ujar beliau, menunjukkan tahap keyakinan rakyat termasuk pelabur dalam menjalankan perniagaan termasuk menjadikan bandar raya ini sebagai tempat tinggal.

Zambry memberitahu, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa negeri untuk turut sama melihat prestasi PBT lain di negeri ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan memberikan insentif sama kepada PBT lain termasuk meningkatkan jumlah imbuhan kepada kakitangan MBI pada masa depan sekiranya terdapat lebihan kutipan hasil kewangan.

Projek Rumah Hijau Tertutup

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Nor Mohamed Yakcop (kanan) ketika melawat Rumah Hijau Tertutup di Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

TASEK GELUGOR 1 April - Selepas sekian lama hasil sayur-sayuran dan buah-buahan Cameron Highlands di Pahang menjadi pilihan utama, orang ramai kini mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan bekalan makanan itu menerusi hasil pertanian keluaran Rumah Hijau Tertutup.

Hasil keluaran daripada cabang pertanian itu mendapat sambutan menggalakkan menerusi usaha Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JPB Asia Pacific Sdn. Bhd. yang melaksanakannya di Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini.

Program itu dianggap berjaya kerana mengeluarkan hasil tani bermutu tinggi sehingga memasuki pasaran Jepun.

Program tanaman itu memfokuskan empat tanaman utama iaitu tembikai susu jenis rock melon, salad, kacang peas dan labu Jepun selain tomato, bendi dan cili sebagai tanaman sampingan.

Selain Jepun, hasil tanaman itu juga dieksport ke beberapa buah negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan Dubai.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kejayaan itu adalah hasil penggunaan konsep sistem tanaman fertigasi dan rumah hijau yang turut mengguna pakai teknologi pertanian moden dari Jepun dan Perancis.

"Kita menyambut baik usaha yang dijalankan ini kerana dapat meningkatkan taraf hidup rakyat setempat khususnya di kawasan Tasek Gelugor, sekali gus membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara seiring hasrat kerajaan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Penggunaan teknologi fertigasi seperti ini adalah satu kaedah baru yang digunakan bersesuaian dengan situasi dan perkembangan teknologi semasa dengan matlamat untuk membantu meningkatkan pengeluaran dan pendapatan hasil pertanian," katanya ketika berucap merasmikan projek Rumah Hijau Tertutup itu di sini baru-baru ini.

Menurut Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Rumah Hijau Tertutup yang dilaksanakan itu dijangka menyediakan lebih 80 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat selain meningkatkan pendapatan bulanan 20 peserta ladang kontrak dengan jangkaan memperoleh pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan.

Tambah beliau, kaedah penanaman di dalam rumah hijau juga memberi pulangan hasil jauh lebih lumayan berbanding kaedah penanaman secara terbuka yang diamalkan kebanyakan petani di negara ini.

"Amalan penanaman secara terbuka berhadapan dengan masalah seperti ancaman penyakit dan serangga perosak terhadap tanaman sekali gus menurunkan kualiti hasil pertanian.

"Keadaan itu akan menyebabkan hasil keluaran berkurang dan membuka ruang kepada aktiviti pengimportan sayur-sayuran terutamanya dari Thailand, Indonesia dan Vietnam," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, program tersebut akan diperluaskan untuk fasa kedua yang dijangka mula beroperasi pada Jun tahun ini.

Katanya, bagi fasa kedua, sebanyak 25 unit rumah hijau sedang dibina di kawasan seluas 65.2 hektar dan membuka peluang pekerjaan serta perniagaan kepada penduduk di kawasan ini.

"Sebelum ini sasaran pasaran kita untuk rock melon dan labu Jepun adalah untuk dieksport seperti ke Jepun, namun sejak kebelakangan ini, trend pasaran tempatan juga sudah berubah dan kita dapati permintaan untuk pasaran tempatan sama tinggi dengan permintaan eksport," ujarnya.

Tambah Redza, dua komponen utama program tersebut adalah Pusat Latihan Agripreneur di Bukit Kura, Kuala Nerang, Kedah dan Ladang Kontrak Komersial di Ara Kuda, Tasek Gelugor.

Dalam pada itu, selain program Rumah Hijau Tertutup, NCIA turut melaksanakan beberapa program seperti membangunkan ladang betik, nanas dan pisang bercirikan komersial dan menyediakan program pengurusan estet padi.

Menurut beliau, pelaksanaan Koridor Utara berjaya menarik pelaburan sektor swasta sebanyak RM12.3 bilion pada tahun lalu dengan 16,335 peluang pekerjaan dan perniagaan baharu diwujudkan.

Jadikan Ipoh bandar raya selamat - MB

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

IPOH 1 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini mencabar warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk terus berusaha menjadikan bandar raya ini bukan sahaja 'bersih dan hijau', tetapi juga mempunyai kejiranan selamat.

Berucap pada perhimpunan perdana di hadapan kira-kira 2,000 anggota MBI di Stadium Indera Mulia di sini, beliau mahu kawasan seluas 643 kilometer persegi di bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dipelihara ibarat kediaman mereka sendiri.

"Di Taipei, Taiwan misalnya, walaupun kawasannya cukup padat dengan bilangan penduduk 26 juta orang dan seluas negeri Pahang, namun dengan kerjasama datuk bandar serta majlis bandar raya di situ, mereka berupaya menjadikannya sebagai tempat yang cukup selamat.

"Orang ramai yang berjalan keluar sehingga pukul 2 pagi di Taipei bebas melakukan sebarang aktiviti tanpa berasa takut," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Zambry berkata, sebagai PBT bertanggungjawab, MBI harus menyelesaikan lima perkara asas yang diharapkan oleh rakyat dalam memberikan perkhidmatan berkualiti.

Beliau berkata, perkara itu termasuklah membaik pulih mana-mana jalan raya dan lampu jalan yang rosak, longkang tersumbat, rumput tinggi serta masalah sampah-sarap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan