Khamis, 1 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak mungkin jadi ‘gajah putih’

Posted: 31 Oct 2012 11:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan semula Pasar Raja Bot atau Chow Kit yang dilaksanakan pada tahun depan tidak mungkin menjadi projek 'gajah putih' berikutan usaha kerajaan menjadikan kawasan itu sebagai pasar moden dengan dilengkapi Pusat Tranformasi Bandar (UTC) mini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, selain itu pelan pembangunan kawasan terbabit turut mengambil kira pandangan semua pihak menerusi perbincangan dilakukan sebelum ini, sekali gus menjadikan pusat tumpuan perniagaan itu lebih kondusif dan menarik.


"Kami sudah pun mengadakan inisiatif dalam mendapatkan pandangan daripada peniaga dan mengadakan sesi perbincangan. Kami pamerkan projek cadangan itu dan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan saranan pihak berkenaan (peniaga). "Kami berpandangan bahawa untuk membangunkan semula Pasar Raja Bot ini memerlukan perubahan yang meluas, tetapi kami tidak boleh melaksanakan ini secara total, maknanya memindahkan mereka ini akan mengganggu perniagaan harian mereka," katanya pada sidang media sempena penganjuran program perlumbaan basikal OCBC Cycle Malaysia 2013 membabitkan laluan baru sejauh 12.1 kilometer yang diadakan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pada 11 hingga 13 Januari tahun depan.

Aktiviti yang menyasarkan penyertaan 5,000 penunggang basikal itu akan merentasi mercu tanda Kuala Lumpur, selain menggalakkan pertumbuhan acara sukan mesra alam dan menarik minat pasukan korporat mengayuh sambil menderma dengan sasaran kutipan RM100,000.


Hadir sama, pengarah dan ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdull Aziz Syed Kechik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/01


Semua struktur chalet tak sah

Posted: 31 Oct 2012 11:10 AM PDT

AMPANG: "Tiada satu pun struktur binaan khususnya chalet di kawasan perkelahan Kampung Kemensah, di sini, sah di sisi perundangan dan beroperasi mengikut status tanah yang sepatutnya," kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Mohammad Yacob.

Menurut beliau, pemilik tanah seharusnya memahami status tanah mereka sama ada untuk kediaman atau pertanian sebelum melaksanakan aktiviti atau operasi dijalankan dikira salah serta haram.


Katanya, hasil pemeriksaan mendapati struktur binaan di kawasan terbabit dikesan dibangunkan di atas tanah milik persendirian dan kerajaan.

"Tiada masalah sekiranya mereka mahu menjalankan aktiviti yang menjurus kepada pelancongan di pinggir sungai berkenaan apatah lagi ia popular sebagai kawasan perkelahan namun gunakan saluran betul.


"Sekiranya status tanah berkenaan didaftarkan sebagai tanah pertanian, aktiviti yang dijalankan di tanah terbabit seharusnya menjurus kepada pertanian dan bukan operasi chalet atau seumpamanya seperti berlaku sekarang.


"Bagi pemilik persendirian, tukar status tanah terlebih dulu dengan pejabat tanah dan memohon lesen perniagaan (bagi operasi chalet) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Manakala di tanah kerajaan, mohon untuk sewa atau beli seterusnya ikut prosedur," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPAJ Bagi Oktober 2012 di Menara MPAJ, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai permintaan 15 pengusaha chalet di Kampung Kemensah yang mahukan jaminan bertulis daripada MPAJ berhubung mata pencarian mereka itu.


Permintaan itu disuarakan menerusi Persatuan Pengusaha dan Peniaga Chalet Pusat Rekreasi Kampung Kemensah selepas mesyuarat bersama pihak MPAJ baru-baru ini memutuskan notis roboh chalet di situ yang dikeluarkan Jun lalu dibatalkan.

Pengerusinya, Rohaizad Sa'ayan berkata, hampir belasan tahun pengusaha chalet menjalankan aktiviti pelancongan sehingga lokasi berkenaan menjadi terkenal dan dikunjungi ribuan pengunjung setiap minggu. Justeru, pengusaha berharap diberi peluang meneruskan aktiviti berkenaan dan diberi lesen berniaga.


Beliau turut berharap kawasan perkelahan terbabit diwartakan sebagai pusat rekreasi dan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/01


Tiada ulasan:

Catat Ulasan