Ahad, 4 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Anggota bomba terbakar

Posted: 04 Nov 2012 03:59 PM PST

11 cedera, 5 parah termasuk seorang wanita apabila tangki minyak meletup ketika padam kebakaran

Kota Bharu: Lima anggota bomba, termasuk seorang wanita cedera parah apabila tangki minyak pelincir meletup ketika mereka memadam kebakaran di sebuah kilang tayar di Pengkalan Chepa, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian di kawasan perindustrian Padang Tembak itu, lima yang lain cedera apabila letusan api menjulang setinggi 30 meter dari tangki ketika operasi bomba hampir tamat hingga menyebabkan mereka cedera disambar api.

Melecur anggota badan

Ketika kejadian, suasana agak cemas apabilabeberapa anggota bomba terbakar walaupun memakai pakaian khas kalis kebakaran.

Tujuh anggota dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala tiga lagi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana melecur di bahagian belakang, tangan, leher dan muka.

Mereka yang parah ialah Penolong Ketua Balai Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Abdullah Din Mohamed, 55: Pegawai Bomba Kanan II, Nazah Nafi, 43; dan Abd Razak Abdullah, 41, yang menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian.

Zulkifli Mahmud, 40, dan Pegawai Bomba Kanan II, Wan Asri Wan Yaacob, 52, masing-masing dirawat di HRPZ II.
Anggota yang cedera ialah, Mohd Zakee Daud, 35; Rohazanizam Osman, 31; Mohd Fathir Mohd Jusoh, 39; Mohd Shaiful Fitri Ali, 32; dan seorang Penolong Penguasa Balai Bomba Kota Bharu, Shahrin Yusmar Mat Yusof, 33.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Osman, berkata kejadian itu di luar jangkaan kerana dalam kebakaran bermula jam 8 pagi itu, api sudah dikawal selepas setengah jam, namun suasana bertukar cemas selepas minyak memancut keluar dari tangki menyebabkan letusan api besar.

"Ia tidak dijangka kerana kebakaran berjaya dikawal sebelum tangki minyak meletup. Ini kejadian pertama membabitkan pegawai dan anggota yang parah ketika operasi memadam kebakaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.11 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan lima jentera dan 39 anggota.

NIOSH minta AES ditangguh

Posted: 04 Nov 2012 03:54 PM PST

Kuala Lumpur: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) mencadangkan penangguhan sementara pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sehingga isu yang dibangkitkan pelbagai pihak ditangani dengan berkesan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan perlu meneliti AES secara menyeluruh sebelum sistem itu dilaksanakan, termasuk mendapatkan maklum balas masyarakat khususnya pengguna.

Tak perlu terburu-buru

Walaupun AES dianggap sistem yang baik untuk mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya raya seperti di beberapa negara Eropah, beliau berkata ia tidak wajar dilaksanakan terburu-buru tanpa mendapat maklum balas dan kajian menyeluruh.

Katanya, pemasangan AES di sebanyak 14 lokasi mengundang rasa tidak puas hati pengguna kerana didakwa dipasang di lokasi tidak sesuai serta bukan lokasi berisiko.

Di samping itu, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula had laju dengan mendapat pandangan pelbagai pihak, termasuk pengeluar kenderaan, pengguna, pakar dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Saya kecewa kerana walaupun AES adalah sistem yang baik tetapi disebabkan banyak kontroversi, ia seolah-olah bertujuan menyusahkan dan bukan membantu orang ramai.
Perbetul persepsi

"Pihak berkuasa perlu memperbetulkan persepsi masyarakat terlebih dulu dengan memberikan pendidikan menerusi kempen kesedaran.

"Semua lapisan masyarakat perlu dibabitkan untuk memberi maklum balas, di samping kesedaran dan keyakinan bahawa AES boleh dilaksanakan dengan kerjasama orang ramai supaya kemalangan dapat dikurangkan," katanya.

Lam Thye berkata, NIOSH menganggap kes kemalangan jalan raya di negara ini sebagai serius kerana saban tahun angka kematian membabitkan golongan pekerja meningkat.

Katanya, mengikut perangkaan, kemalangan membabitkan pekerja yang berulang alik ke tempat kerja meningkat daripada 17,170 pada 2001 kepada 24,809 kes pada 2011.

INFO

- Diperkenalkan pada 23 September lalu

- 14 lokasi maut di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur

- 63,558 pesalah trafik dikenal pasti memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah dalam fasa pertama.

- Akan diperluaskan di sebanyak 831 lokasi di seluruh negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan