Khamis, 8 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Muhyiddin ziarah veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad

Posted: 08 Nov 2012 02:43 AM PST

PASIR MAS: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menziarahi veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang uzur di rumahnya di Kampung Lemal di sini sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke Kelantan hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, tiba pada jam 1 tengah hari dan meluangkan masa kira-kira 45 minit berbual mesra dengan Hussein.

Ketika ditemui pemberita, Muhyiddin berkata beliau mengambil kesempatan menziarah rakan seperjuangan lama dalam UMNO yang masih mempunyai semangat juang pada usia lebih tujuh dekad.

Muhyiddin menegaskan semangat yang ditunjukkan Hussein dalam perjuangan politiknya itu patut dicontohi generasi muda.

"Walaupun berusia 78 tahun, namun beliau masih bersemangat dalam perjuangan politiknya, inilah pejuang UMNO yang tulen.

"Saya doakan dia sihat semoga menjadi contoh kepada anak-anak muda bagaimana bersemangatnya dia dalam perjuangan (politik)," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri majlis jamuan rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KPTM) di Lubok Jong, dan selepas mengunjungi Hussein, beliau menghadiri program lain di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Padang Kala.
Turut hadir pada majlis ziarah itu ialah isteri Hussein, Puan Sri Khadijah Ibrahim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa.

Hussein adalah bekas Ketua Penerangan UMNO yang memegang jawatan itu lebih 14 tahun.

Bekas pemimpin UMNO yang paling lama mencatat sejarah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang itu mengalami sakit tua sejak lebih 10 tahun lalu.

- BERNAMA

Juruukur bahan mengaku tidak bersalah hina Sultan Johor di Facebook

Posted: 08 Nov 2012 02:30 AM PST

JOHOR BAHRU: Seorang juruukur bahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, bulan lalu.

Ahmad Abd Jalil, 27, yang berasal dari Klang, Selangor, membuat pengakuan itu di depan Hakim Zamri Bakar selepas pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 November depan untuk menyebut semula kes.

Ahmad didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman Facebook yang didaftarkan atas nama 'Zul Yahya' di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira 3 petang, 21 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.

Ahmad juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira jam 6 petang, 10 Oktober lalu.

Terdahulu, Umar Saifuddin menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Mohd Radzlan Jalaludin dan Mohd Haijan Omar meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kerana tertuduh baru mendirikan rumah tangga dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Kedua-dua peguam juga berkata, mereka akan memfailkan notis bantahan awal bagi menggugurkan semua pertuduhan terhadap Ahmad kerana ada beberapa fakta dalam kertas pertuduhan yang tidak berkaitan dengan tertuduh.

Anggota keluarga Ahmad kemudian membayar wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan