Jumaat, 2 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mahkamah Tinggi tetapkan 5 hari perbicaraan kes culik Nayati

Posted: 02 Nov 2012 02:29 AM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan lima hari mulai 15 April bagi perbicaraan ke atas tiga orang sahabat yang dituduh menculik seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, untuk mendapatkan wang tebusan RM300,000, pada April lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noor Aini Yusof juga menetapkan 4 Disember sebagai tarikh untuk pengurusan kes itu.

Chong Tat Siong, 23, seorang yang bekerja sendiri, penjual telefon bimbit Foong Khar Fai, 19, penganggur Lee Phak Seng, 23, dan seorang lagi yang masih bebas, dituduh menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, pukul 7.30 pagi pada 27 April.

Kesemua mereka menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Chong dan Foong diwakili oleh Rejinder Singh, manakala K.T. Wong membela Lee.

Nayati dibebaskan oleh penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.

Pada 22 Mei, ketiga-tiga mereka dituduh di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin. - BERNAMA

Pemandu lori padi ditahan polis

Posted: 02 Nov 2012 01:46 AM PDT

ALOR SETAR: Pemandu lori padi yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Permatang Limau, Tualang dekat sini petang semalam yang menyebabkan empat sekeluarga maut dan seorang lagi parah, kini ditahan polis sehingga 5 November ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pemandu yang berumur 19 tahun dari Kubur Panjang itu ditahan polis selepas dia membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini malam tadi.

"Kami sudah tahan pemandu itu bagi membantu siasatan dan kami masih menyiasat sama ada pemandu itu memiliki lesen memandu atau tidak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lori itu akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan bagi mengetahui adakah lori itu bermasalah atau tidak.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, empat maut manakala seorang parah selepas kereta Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan lori padi berhampiran Kampung Permatang Limau.

Mereka yang terbunuh ialah Shafie Abd Hamid, 57, isterinya Che Faridah Ani, 60, dan dua anak mereka iaitu Ibtihal, 26, dan Nurul Faiz, 24. Keempat-empat mangsa mati di tempat kejadian.
Seorang lagi anak pasangan itu, Muhd Iqbal Zakuan, 15, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Sementara itu, bapa saudara Muhd Iqbal Zakuan, Sharon Awang Kechik, 50, berkata keadaan Muhd Iqbal Zakuan semakin stabil dan sudah dimasukkan ke wad biasa.

"Dia (Iqbal) sudah sedar malam tadi dan boleh bercakap. Dia ada bertanyakan tentang ahli keluarganya yang lain kepada abangnya tetapi abangnya masih belum memberitahu hal yang sebenar. Abang dia kata semua ahli keluarganya selamat kerana abangnya tidak mahu dia terkejut memandangkan keadaannya masih lagi lemah," katanya ketika ditemui pemberita di HSB hari ini.

Katanya, Muhd Iqbal Zakuan belum menceritakan mengenai kejadian semalam dan anggota keluarganya juga belum tahu siapa yang memandu kereta itu dan ke mana mereka hendak pergi.

"Biarlah Iqbal sihat dulu dan biar dia sendiri yang ceritakan kejadian itu. Kami tidak mahu mendesak dia kerana kami tahu dia masih lagi trauma dengan kejadian itu," katanya sambil memeberitahu bahawa anak saudaranya itu mengalami kecederaan pada muka dan patah paha kanan.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata, keadaan Muhd Iqbal Zakuan semakin stabil.

"Sekarang ini Muhd Iqbal sedang menunggu giliran untuk membuat pembedahan pada paha kanannya yang patah," katanya.

Sumber Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah berkata orang ramai boleh memperoleh lesen memandu ketika berumur 17 tahun ke atas tetapi bagi lesen memandu kenderaan barang-barang (GDL), ia hanya dikeluarkan kepada mereka yang telah mempunyai lesen memandu dan berumur 21 tahun ke atas.

"Bagi kes kemalangan semalam, pemandu terbabit baru berumur 19 tahun dan sudah tentu dia tidak mempunyai lesen GDL," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan