Khamis, 1 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Bank Rakyat untung RM1.62 bilion dalam tempoh 9 bulan

Posted: 01 Nov 2012 02:41 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2012 dengan meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat RM1.62 bilion, meningkat 8.1 peratus berbanding RM1.5 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata bank itu turut merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.33 bilion berbanding RM1.20 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 10.5 peratus.

"Dari segi prestasi kewangan, Bank Rakyat terus mencatatkan perkembangan positif dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai, keuntungan bersih dan pendapatan kasarnya iaitu RM30.9 bilion sehingga 31 September tahun ini.

"Dengan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan pengiktirafan yang diterima seperti Anugerah Bank Islam Paling Menguntungkan dan Anugerah Perbankan Runcit Islam Paling Cemerlang, Bank Rakyat diharap terus menjadi perbankan Islam terbesar di Malaysia dan ke-12 terbaik di dunia," katanya selepas Majlis Penyerahan 20 Van Jenazah dan dua Buah Van Pengangkutan di sini Khamis.

Pada majlis itu, 20 van jenazah disumbangkan kepada masjid di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Perak, manakala dua van pengangkutan diserahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing, Johor dan Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyah, Pahang, yang keseluruhannya bernilai lebih RM1.7 juta.

Bagi tahun ini, 41 van jenazah yang keseluruhannya bernilai RM3.2 juta akan disumbangkan Bank Rakyat ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ismail Sabri berkata, sebagai satu bank koperasi terbesar yang berjaya melaksanakan aktiviti perbankan syariahnya, bank itu terus komited melaksanakan tanggung jawab sosial korporatnya dengan memperuntukkan zakat perniagaan bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
"Bagi 2011, lebih RM40.6 juta zakat perniagaan telah diperuntukkan Bank Rakyat, yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam di seluruh negara bagi memenuhi keperluan golongan Asnaf," katanya.

Bank Rakyat yang ditubuhkan sejak September 1954 kini mempunyai 136 cawangan dengan lebih 600 mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta 46 Ar-Rahnu X' Change di seluruh negara. - BERNAMA

Speaker DUN PP fail saman fitnah terhadap Musa Sheikh Fadzir

Posted: 01 Nov 2012 02:38 AM PDT

GEORGETOWN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berhubung kenyataannya mengenai projek Taman Tema Escape milik kerajaan negeri di Teluk Bahang.

Bercakap pada sidang media di sini, Abdul Halim berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada jam 2 petang menerusi firma guaman Tetuan M. Kanesan & Associate.

Katanya beliau mengambil tindakan itu kerana mendakwa terdapat unsur fitnah dalam kenyataan Musa berhubung projek itu yang boleh memburukkan kredibiliti dan imejnya sebagai speaker.

"Saya melalui peguam saya telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi. Tindakan ini diambil setelah saya beri tempoh 48 jam kepadanya tetapi tiada apa-apa tindakan, dan beliau (Musa) pada 1 Oktober lalu menyatakan tidak perlu minta maaf," katanya.

Ketika ditanya oleh pemberita mengenai jumlah saman fitnah itu, Abdul Halim berkata beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.

Dalam pernyataan tuntutan yang diedarkan kepada pemberita pada sidang media itu, Abdul Halim antara lain menuntut ganti rugi bagi fitnah secara lisan, ganti rugi bagi fitnah bertulis, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan selanjutnya kenyataan memfitnah itu sama ada secara lisan atau tulisan.
Sementara itu, Musa ketika dihubungi berkata beliau sedia mengemukakan bukti mengenai dakwaanya berhubung projek itu di mahkamah.

"Saya tidak takut disaman, jumpa di mahkamah dan saya akan kemukakan bukti-bukti atas dakwaan saya itu," katanya.

Dalam pendedahannya sebelum ini mengenai projek Taman Tema Escape milik kerajaan negeri di Teluk Bahang, Musa mendakwa projek itu mempunyai kaitan dengan Abdul Halim. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan