Jumaat, 28 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Utama kemakmuran, kesejahteraan rakyat

Posted: 28 Sep 2012 04:55 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam membentangkan Bajet 2013 yang mengutamakan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, dirangka berdasarkan kemampuan kerajaan.

Bajet merangkumi lima fokus utama itu menyentuh segenap lapisan masyarakat termasuk kakitangan kerajaan, petani, nelayan, pesara, golongan miskin dan sederhana, pelajar, belia, penduduk bandar sehingga kepada pelabur, usahawan dan peniaga.

Bertemakan Memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati, lima fokus itu ialah memberi penekanan kepada usaha merancakkan aktiviti pelaburan; mempergiatkan inovasi; meningkatkan produktiviti; memperkasa pendidikan dan latihan; meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan pencapaian perkhidmatan awam.
Berbanding unjuran sebahagian penganalisis, kerajaan akan berbelanja sehingga RM300 bilion untuk memberi pelbagai buah tangan kepada rakyat berikutan pilihan raya umum yang semakin hampir, Bajet 2013 hanya menyediakan peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua program pembangunan.

Peruntukan lebih tinggi

Peruntukan bagi 2013 adalah 8.07 peratus lebih tinggi berbanding RM232.8 bilion pada Bajet 2012.

Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun berbisa.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoikan rakyat dengan dongengan, lipur lara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan masyarakat, katanya ketika membentang cadangan bajet berkenaan di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Bagi meningkatkan aktiviti pelaburan, Najib yang juga Menteri Kewangan menggariskan 11 inisiatif utama untuk merangsang pelaburan domestik dan mempergiatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Inisiatif lain ialah memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab minyak dan gas; merancakkan sektor pelancongan; meningkatkan aktiviti pertanian; kelestarian jaminan bekalan makanan; membela nasib petani dan nelayan; mencergaskan pasaran modal dan kewangan; menggalakkan amanah perniagaan; membangunkan wakaf korporat serta meningkatkan daya saing dan pembangunan usahawan Bumiputera.

Bagi memperkasakan pendidikan dan latihan, Najib mengumumkan peruntukan RM38.7 bilion kepada Kementerian Pelajaran bagi menjayakan sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Tumpuan juga diberi untuk memperkukuhkan pendidikan awal kanak-kanak dan kualiti pendidikan prasekolah, selain penambahbaikan serta pelaksanaan pelbagai program latihan dan kemahiran.

Dalam mempergiatkan inovasi dan meningkatkan produktiviti, dana dan inisiatif dikhususkan untuk melaksanakan program dan aktiviti berkaitan pengetahuan, kreativiti, inovasi, penyelidikan dan pembangunan ke arah menyokong usaha negara menjadi ekonomi maju berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan pencen penjawat awam dan penambahbaikan skim perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat dan insentif khas RM200 kepada semua pegawai dan anggota ATM.

Dalam mensejahterakan hidup rakyat, Najib berkata, tumpuan diberikan kepada mewujudkan kejiranan yang selamat dan harmoni; memantapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); memacu transformasi komuniti; memperluaskan Program Transformasi Luar Bandar; mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan khususnya menerusi Klinik 1Malaysia; mendorong pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan memantapkan lagi pembangunan belia dan sukan.

Turut menjadi tumpuan adalah mengiktiraf karyawan dan seniman; memperluas jaringan pengangkutan awam bandar; menggiatkan perumahan rakyat dan galakan cukai untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai.

Seragam harga barangan

Najib juga mengumumkan bantuan dan insentif rakyat iaitu penyeragaman harga barangan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung; mempermudahkan ibadat haji; kajian semula cukai pendapatan dan koperasi; meringankan beban pengusaha bas sekolah; mengurangkan kos pembelajaran pelajar; program jalur lebar untuk rakyat termiskin di bandar dan menggalakkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat.

Perdana Menteri juga mengumumkan bonus satu setengah bulan gaji yang mana setengah bulan sudah diberikan pada Aidilfitri dan lanjutan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dan ia diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 ke bawah sebanyak RM250.

Selain itu, bantuan RM100 diberi kepada pelajar sekolah rendah dan menengah; Baucar Buku 1Malaysia RM250 kepada pelajar IPTA dan pra-universiti; pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak dinaikkan kepada RM6,000; diskaun kepada yang melangsaikan dan berdisiplin dalam membayar semula pinjaman PTPTN dan rebat RM200 bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G menerusi pengedar rasmi kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Bonus hargai penjawat awam

Posted: 28 Sep 2012 04:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Penjawat awam mendapat bonus sebulan gaji, tambahan kepada setengah bulan yang diberikan sebelum ini.

Ia menjadikan jumlah bonus untuk kakitangan awam tahun ini ialah sebulan setengah gaji, iaitu paling tinggi pernah diberikan oleh kerajaan sebagai menghargai perkhidmatan dan sumbangan mereka kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bayaran bonus akan dibuat dua kali, iaitu setengah bulan pada Disember ini, manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.
Kurang beban kewangan

Beliau berkata, pemberian bonus diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutama yang berkeluarga bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula Januari depan.

Kerajaan pada Ogos lalu memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 untuk menyambut Aidilfitri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan