Ahad, 30 September 2012

Berita Harian: Nasional

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Nasional


Janji kerajaan berpaksi realiti

Posted: 30 Sep 2012 04:25 PM PDT

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah pertaruhan antara transformasi besar dibawa kerajaan dengan janji pembangkang yang boleh membawa malapetaka kepada negara.

Justeru, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat perlu membandingkan dan menilai bajet yang dibentangkannya, Jumaat lalu, dengan belanjawan pembangkang yang tidak realistik.

Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu berwaspada dengan tiga senjata pembangkang, iaitu 'kutuk, hasut dan janji' termasuk menjanjikan matahari, bulan, malah galaksi, demi mencapai cita-cita meraih sokongan pengundi.
Sebaliknya, beliau berkata, janji kerajaan kepada rakyat, berpaksikan realiti yang dikaji serta diteliti secara mendalam bersama pakar dalam dan luar negara untuk memastikannya dapat dicapai.

"Sudah tiba masanya pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) masuk gelanggang, berjuang secara ofensif dan jangan takut untuk menghadapi pembangkang.

"Cabaran terbesar ialah bangkit penuh bersemangat dan menunjukkan kekuatan dalam keadaan sukar, tertekan, kalah dan susah di mana kejayaan akan menyusuli kerja keras sebagai satu pasukan bersama strategi dan perancangan strategik," katanya merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN di sini, semalam.

Bukan bermain politik populis
Menyentuh dakwaan pembangkang bajet dibentangkannya bersifat populis dan gimik politik, Najib berkata: "Ini mengenai masa depan negara, bukan bermain politik populis, janganlah mengaburi mata dan mendodoi rakyat dengan pelbagai janji.

"Kita mesti mendidik rakyat apa yang betul dan salah. Adalah salah jika hutang tidak payah bayar. Dia (pembangkang) mahu menghapuskan RM30 bilion hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), ini bererti rakyat sebagai pembayar cukai perlu menanggungnya.

"Selepas itu, dia mahu menghapuskan tol. Semua syarikat itu (konsesi tol) adalah syarikat senaraian awam, seluruh Bursa Saham dan pasaran modal akan runtuh.

"Dia nak kurangkan harga minyak, dari mana datangnya wang berkenaan?" katanya sambil menjelaskan itulah sebabnya Buku Jingga pembangkang tiada nilai.

Najib berkata, pembangkang tiada kredibiliti mentadbir negara, lebih-lebih lagi pakatan itu tidak penuhi prasyarat asas, termasuk tidak berdaftar sebagai parti, tiada simbol bersama dan tiada persefahaman dalam hudud, malah gagal menamakan Kabinet bayangan kerana takut.

Mana Kabinet bayangan?

"Sudah pasti (Lim) Kit Siang (Penasihat DAP) akan menuntut jawatan kanan. Nak bagi Kit Siang ( jawatan) apa?... Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan? Haji Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)? Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu) nak bagi jawatan apa... ada saranan Mat Sabu patut mendapat Menteri Wanita.

"Mengapa tidak buat (Kabinet bayangan)? Jangan cakap bentuk kerajaan, bentuk Kabinet bayangan dulu... tunjukkan itu adalah pasukan anda," katanya.

Mengenai Bajet 2013, Najib berkata, sejajar mantera falsafah kerajaan mendahulukan rakyat, ia amat inklusif, merangkumi segenap lapisan masyarakat dengan mereka lemah dilindungi, yang kuat melindungi, yang muda disayangi, yang tua dihargai, yang memerlukan dibantu dan yang berpotensi diberi peluang.

Suspek tembak polis maut

Posted: 30 Sep 2012 04:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis menembak mati seorang daripada tiga suspek utama kes tembakan yang mencederakan dua anggota polis di Kuchai Lama, di sini, minggu lalu, awal pagi semalam.

Suspek berusia 30 tahun ditembak mati di kawasan parkir Taman Desa Water Park, kira-kira jam 3 pagi.

Dengan kejayaan itu, polis sedang memburu dua lagi suspek kes itu, Wan Fadhrulzaman Wan Mohd Fadhil, 30, berasal dari Lanchang, Mentakab, Pahang dan Mohd Fitri Abdul Aziz, 17, dari Taman Wahyu, Jinjang, di sini.
Seorang daripada suspek adalah adik kepada penjenayah yang ditembak mati. Kedua-dua suspek dianggap berbahaya dan memiliki senjata api.

Arah suspek berhenti

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek yang memandu Proton Waja dikesan sepasukan polis yang kemudian mengarahkannya berhenti selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di Lingkaran Tengah Syed Putra, berhampiran Mid-Valley, di sini.

Bagaimanapun, suspek memecut kereta menuju Taman Desa Water Park sebelum terbabas di kawasan parkir. Apabila anggota polis menghampiri kereta itu, suspek melepaskan tembakan ke arah polis.
Balas tembakan suspek

Berikutan itu, anggota polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri yang mengenai suspek.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek, kita menemui sepucuk pistol separa auto mengandungi sebutir peluru dan satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger serta sebilah kapak," katanya pada sidang media di Balai Polis Travers di sini.

Chin Wah berkata, polis percaya kumpulan itu bergiat aktif dalam kejadian pengedaran dadah.

Semakan rekod suspek yang ditembak mati, mendapati dia mempunyai rekod jenayah memiliki barang curi serta terbabit dalam kes pengedaran dadah secara kecil-kecilan.

Selain itu, Proton Waja yang digunakan suspek yang didaftarkan di Negeri Sembilan, dilaporkan hilang di Kelana Jaya, pada Ogos lalu serta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Dalam kejadian jam 6.45 petang 26 September lalu, dua anggota Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, dan rakan setugas, Koperal R Subramaniam, 52, cedera parah ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah Proton Waja yang dinaiki suspek di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Lama ke susur masuk Lebuhraya Maju (MEX).

Suspek kemudian memecut kereta selepas menembak anggota berkenaan sebelum meninggalkan kereta dan melarikan diri kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Nor Azlan yang cedera di leher dibenarkan keluar hospital, kelmarin, selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala Subramaniam masih menjalani rawatan di hospital sama.

0 ulasan:

Catat Ulasan