Khamis, 27 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tingkat kualiti hidup

Posted: 27 Sep 2012 03:05 PM PDT

» Bajet 2013 dijangka perkukuh kesejahteraan rakyat, rancakkan ekonomi

Putrajaya: Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini dijangka penerusan dasar afirmatif yang beliau perkenalkan sejak tiga tahun lalu untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

Pakar ekonomi berkata, bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangan sosial yang mapan selain mengamalkan pengurusan kewangan berhemat, bajet itu akan lebih kepada 'pengembangan sedikit tetapi lebih berhemat'.

Sudah banyak didebatkan yang bajet negara sebelum ini lebih terarah kepada kemiskinan luar bandar sementara penduduk bandar kelas pertengahan kerap kali diketepikan.

Tampung program rakyat

Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada 2012 dianggarkan RM229 bilion dan ini bermakna perbelanjaan tahun depan akan tinggi sedikit bagi menampung pelbagai program menyeluruh bertujuan mengukuhkan kesejahteraan rakyat dalam beberapa bidang.

Ini termasuk rumah mampu milik, pengangkutan awam yang lebih baik, keselamatan awam, kemudahan pendidikan dan latihan, peluang perniagaan dan pelaburan yang lebih meluas.

Katanya, sementara sesetengah pihak lebih cenderung melabelkan Bajet 2013 sebagai 'belanjawan pilihan raya' berikutan programnya lebih berpusat kepada rakyat dan masa/tempoh untuk pilihan raya umum dijangka antara sekarang dan Jun tahun depan, seseorang itu tidak seharusnya lupa bahawa memperbaiki kehidupan rakyat menjadi seruan lantang Najib sejak memegang jawatan April 2009.
Aspirasi rakyat

Bajet itu, kata mereka, seiring dengan prinsip 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang akan mengambil kira aspirasi rakyat untuk kehidupan lebih baik dan bersandarkan kepada asas ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Dalam Bajet 2012 tahun lalu, Najib, yang juga Menteri Kewangan memilih tema "Dasar Transformasi Nasional: Membela Rakyat dan Menyejahterakan Negara."
Dalam kata lain, falsafah Bajet 2013 melangkaui pilihan raya umum.

Sebaliknya, ia bersedia ke arah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat seperti meringankan kos kehidupan, memperbaiki penjagaan kesihatan, memajukan modal insan dan mengembangkan infrastruktur asas di kawasan kurang membangun, terutama di Sabah dan Sarawak.

Tangani kebimbangan pembayar cukai

Sehubungan itu, katanya, Najib, sebagai game-changer dalam transformasi politik dan ekonomi negara, akan memastikan Bajet 2013 akan menangani kebimbangan pembayar cukai kelas pertengahan bandar, yang pendapatan bulanan antara RM5,000 dan RM10,000.

Sudah banyak didebatkan yang bajet negara sebelum ini lebih terarah kepada kemiskinan luar bandar sementara penduduk bandar kelas pertengahan kerap kali diketepikan.

"Kesejahteraan komuniti/masyarakat secara keseluruhannya termasuk penduduk luar bandar, wanita, belia, kakitangan awam dan perniagaan akan turut diberi perhatian bagi menggerakkan negara ke hadapan serta menyediakan penampan terhadap sebarang situasi luaran yang tidak menentu terutamanya pergolakan yang tercetus dari Eropah, tahun depan," katanya.

Transformasi berjaya

Ini bermakna kesinambungan dasar perlu bagi merancakkan ekonomi domestik, yang telah menyaksikan pertumbuhan yang agak menggalakkan tahun ini, terutama dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pelaksanaan beberapa Projek Permulaan (EPP) mengikut Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) turut memberikan banyak rangsangan kepada ekonomi tempatan.

Ini jelas dengan kerancakan pelaburan sektor persendirian selain pengembangan pasaran modal tempatan menerusi kejayaan tawaran awam permulaan (IPO) berprofil tinggi seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd dan IHH Healthcare Bhd, permodalan pasaran Bursa Malaysia yang lebih baik dan meningkatnya tarikan kewangan Islam dalam pasaran kewangan global.

Berikutan kejayaan pasaran modal tempatan dan peranan penting Malaysia dalam penerbitan bon-bon sukuk, kerajaan dijangka memperhebatkan lagi insentif untuk pasaran modal sebagai pemboleh kepada pertumbuhan ekonomi.

Mengenai isu pengurusan kewangan berhemat, kerajaan akan kekal komited untuk terus menurunkan defisit fiskal kepada sekitar 4.0 peratus pada 2013 daripada 4.5 peratus pada 2012 dan 3.0 peratus menjelang 2015.

Ditanya bagaimana ia akan dilaksanakan walaupun Bajet itu adalah 'belanjawan dengan pengembangan yang sedikit', mereka menjelaskan yang ia akan dilakukan menerusi pengurusan kewangan lebih baik, termasuk mengurangkan pembaziran dan menyalurkan subsidi kepada kumpulan sasaran yang betul dan sesuai.

Ditanya sama ada persoalan mengenai duti eksais yang rendah untuk kenderaan bermotor akan ditangani dalam Bajet 2013, mereka berkata yang ucapan Najib seharusnya menjurus kepada menyemak semula industri automobil negara, di mana mata pencarian lebih 500,000 rakyat yang dikaitkan dengan industri ini berhadapan risiko selain meneliti kebangkitan syarikat kereta nasional. - BERNAMA

UIA undi semula Selasa

Posted: 27 Sep 2012 02:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang ditangguhkan akibat masalah teknikal akan diadakan semula, Selasa ini.

Dekan Bahagian Pembangunan dan Perhubungan Pelajarnya, Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman, berkata tarikh baru itu diputuskan dalam mesyuarat khas, semalam.

"PRK akan menggunakan kaedah manual, berbanding pengundian dalam talian atau e-pengundian sebelum ini dengan kotak undi akan dipinjam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya kepada BH, di sini semalam.
Menteri sudah dimaklumkan

Beliau Akhmal Khuzairy yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya PRK UIAM berkata, penangguhan akibat masalah teknikal pada sistem e-pengundian itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kelmarin.

"Masalah teknikal disedari apabila jumlah pengundi yang layak dan didaftarkan tidak selari dengan keputusan yang diperoleh melalui sistem e-pengundian, sebagai contoh, satu kuliyyah mempunyai 300 pengundi tetapi sistem mencatatkan 2,000 pengundi," katanya.

Sementara itu, Universiti Malaya akan mengadakan pengundian semula bagi dua kerusi yang mencatat keputusan seri, hari ini.
Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat UM berkata, pengundian bagi kerusi Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dalam pertandingan dua penjuru itu akan bermula jam 8.30 hingga 12.30 tengah hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan