Selasa, 25 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Mutakhir


Penghuni pusat pemulihan dadah lari dengan kaki berantai

Posted: 25 Sep 2012 05:29 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak tahan dengan layanan ketika menerima rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di Setiu, seorang penghuni pusat itu bertindak melarikan diri walaupun kakinya berantai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata polis berjaya menahan lelaki berusia 35 tahun itu setelah penduduk berhampiran sebuah chalet di Merang menghubungi polis selepas curiga dengan kehadiran lelaki itu kira-kira jam 6 petang semalam.

Beliau berkata polis bergegas ke kawasan itu setelah menerima laporan daripada orang awam dan anggota kami melihat seorang lelaki melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Dengan bantuan penduduk kampung, polis berjaya memberkas lelaki berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Setiu untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Hasil siasatan, katanya polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat pemulihan dadah di pantai Peranginan Merang, Setiu kira-kira jam10 malam semalam dan menemui dua penghuni masing-masing berusia 26 dan 30 tahun di dalam sebuah bilik dengan keadaan kaki berantai.


"Polis juga menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan penjaga pusat pemulihan berkenaan. Selain itu beberapa peralatan seperti gari turut dirampas," katanya.

Manoharan berkata kesemua penghuni itu membuat laporan di Balai Polis Setiu dan pemilik pusat pemulihan itu menyerah diri kira-kira jam 2.30 pagi ini.

Katanya penghuni itu dihantar keluarga mereka untuk menerima rawatan selama seminggu akibat masalah dadah dan telah menjalani rawatan di pusat pemulihan itu selama empat hari.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pusat pemulihan itu tidak berdaftar serta tidak mempunyai lesen sah sebagai pusat pemulihan dadah.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung pusat pemulihan itu sama ada mendapat kebenaran daripada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan atau pihak lain bagi menjalankan aktiviti berkenaan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Seorang nelayan ditemui mati, seorang hilang di Kudat

Posted: 25 Sep 2012 05:14 AM PDT

KOTA KINABALU: Seorang nelayan ditemui mati lemas manakala seorang lagi masih hilang di persisir pantai Kampung Lok Simpul, Pulau Balambangan, Kudat ketika berenang untuk memasuki gua tepi laut bagi mencari sarang burung.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan berkata mayat Mohd Shah Ismail, 21, berasal dari Kampung Sim Sim Sandakan itu ditemui oleh pasukan Bot Maritim Penyelamat 10 selepas lebih 24 jam dilaporkan
hilang.


"APMM telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat pada 12.34 tengah hari selepas menerima laporan daripada MRCC (Pusat Operasi dan Menyelamat Malaysia) Putrajaya dan MERS 999 RC Melaka pada Ahad lalu.

"Mangsa dilaporkan hilang sekitar 11.45 pagi di kawasan Perairan Kampung Batu Sireh, Pulau Balambangan pada 23 September," katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu berkata usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan untuk mengesan mangsa yang dikenali Ismail Abdullah, 38, berasal dari kampung yang sama. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


0 ulasan:

Catat Ulasan