Isnin, 17 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


BN senarai pendek 2,181 calon

Posted: 17 Sep 2012 04:08 PM PDT

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) menyenarai pendek 2,181 calon untuk dipertimbangkan bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, hanya 727 calon akan mendapat watikah untuk bertanding bagi 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN.

Jumlah keseluruhan DUN ialah 576, tetapi hanya 505 dipertandingkan kali ini kerana 71 lagi di Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri April tahun lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata senarai nama calon UMNO dan BN sudah diteliti di peringkat tertinggi semua parti komponen, namun hanya Najib yang memberi kata putus dan bukan kepimpinan parti yang membuat keputusan.

Terpulang kepada PM Beliau berkata terpulang kepada Perdana Menteri memutuskan calon terbaik mengikut pertimbangan dan kriteria tertentu.

Dari segi calon, UMNO dan BN meminta akar umbi mencalonkan tiga nama bagi setiap DUN dan Parlimen. Ini sudah dijalankan dan siap diteliti dengan memanggil semua pengerusi badan perhubungan UMNO dan presiden komponen BN.

Nama calon yang berjaya tidak akan dimuktamadkan sehingga watikah untuk bertanding dikeluarkan, kadang-kadang sejam sebelum hari penamaan calon... itu kita serah kepada Perdana Menteri. Watikah akan dikeluarkan apabila sampai masanya, katanya kepada BH semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, apa yang ada sekarang adalah watikah kosong yang tidak mempunyai nama.

Mahu calon bersih

Nama tidak akan dimuktamadkan sehingga watikah dikeluarkan. Pelantikan dibuat berdasarkan beberapa faktor, kalau calon dilihat mempunyai masalah, nama itu akan ditolak. Dalam keadaan sekarang kita mahu calon bersih dan kelihatan bersih, katanya.

Mengenai pembahagian kerusi antara komponen BN, Ahmad Zahid berkata kemungkinan akan berlaku penyelarasan dan ia akan dibincang-kan antara Perdana Menteri dan presiden parti komponen.

Beliau turut yakin sumbangan parti komponen BN dapat membantu meraih kejayaan besar pada pilihan raya kali ini.

Komponen parti menyumbang mengikut cara mereka dengan mengadakan bilik gerakan dan menggiatkan jentera parti pada peringkat akar umbi, katanya.

Filem anti-Islam masih di YouTube

Posted: 17 Sep 2012 04:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun sudah disekat, namun ada pihak tertentu yang memuat naik semula filem anti-Islam Innocence Of Muslims yang menghina Nabi Muhammad dan agama Islam dalam laman YouTube.

Bagaimanapun, ia dipaparkan dalam tempoh pendek berbanding siaran 13 minit, sebelum ini.

Simpan, papar semula
Tinjauan BH dalam YouTube mendapati klip video asal sudah disekat, namun ada pihak memuat naik semula sebahagian babak dalam filem berkenaan.

Sebelum disekat, mereka dipercayai sempat memuat turun video berkenaan untuk simpanan dan kemudian memaparkannya semula.

BH cuba menghubungi Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof untuk meminta penjelasan tetapi gagal.

Semalam, AFP melaporkan, Google Malaysia sudah menyekat filem anti-Islam yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, selepas kerajaan membuat aduan rasmi.
Filem bajet rendah itu menimbulkan kemarahan umat Islam kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan menggambarkan masyarakat Islam sebagai tidak bermoral dan ganas tanpa sebab.

Jurucakap laman web perkongsian video YouTube, dimiliki oleh internet gergasi Google, memberitahu agensi berita itu semalam, pihaknya mula menyekat akses kepada klip filem persendirian sejajar dengan garis panduan komuniti.

SKMM arah Google

Apabila video melanggar peraturan itu, kita mengeluarkannya dalam carian.
Kita sudah melancarkan YouTube tempatan dan diberitahu bahawa video berkenaan adalah menyalahi undang-undang negara ini, kami akan menyekat selepas melakukan kajian menyeluruh, katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan sudah meminta Google mengeluarkan klip filem kontroversi itu Sabtu lalu yang dipercayai dihasilkan kumpulan kecil ekstremes Kristian di Amerika Syarikat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan