Jumaat, 21 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tabung Haji wujud hospital sementara di Madinah

Posted: 21 Sep 2012 02:33 AM PDT

MADINAH: Tabung Haji menyewa sebuah pangsapuri di sini bagi mewujudkan sebuah hospital sementara dengan dilengkapi 24 katil serta unit farmasi dan kemudahan fisioterapi.

Pengarah Operasi Perubatan Madinah, Dr Wan Mansor Hamzah, yang mengetuai operasi hospital itu berkata, seramai 17 orang doktor, termasuk pakar bidang pernafasan, ditempatkan di hospital itu dengan dibantu 50 jururawat.

"Hospital itu yang terletak kira-kira 2 kilometer dari hotel penginapan jemaah haji Malaysia, beroperasi sejak 13 September lalu, katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat lawatan ke hospital itu di sini Jumaat.
Katanya, hospital itu telahpun mempunyai dua pesakit iaitu Ahmad A Rahman, 76, yang dimasukkan ke hospital kerana kakinya dijangkiti kuman dan Halimah Abd Manap, 72, yang mengalami masalah sesak nafas semasa dalam penerbangan ke Arab Saudi.

Dr Wan Mansor berkata, bagaimanapun untuk sakit yang serius, sehingga memerlukan penjagaan yang lebih rapi termasuk pembedahan, jemaah haji Malaysia akan dihantar ke hospital milik kerajaan Arab Saudi dengan semua bayaran ditanggung oleh Tabung Haji.

Tabung Haji juga turut menyediakan dua klinik bagi pesakit luar di Hotel Al Haram dan Hotel Movenpick di sini.

Beliau turut mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa menjaga kesihatan mereka dengan memastikan sentiasa mengambil ubat walaupun mereka sibuk mengerjakan ibadah haji, serta makan mengikut waktu.
"Cuaca di Tanah Suci sekarang ini sangat panas dan kering, jemaah harus berhati-hati supaya tidak terlalu terdedah kepada cahaya matahari kerana ini menyebabkan mereka boleh terkena renjatan panas. Mereka juga patut banyak minum air untuk mengelakkan badan kehilangan cecair," katanya.

Katanya, setiap kali musim haji, penyakit yang kerap menyerang jemaah haji Malaysia yang rata-rata berusia 60 tahun ke atas ialah jangkitan saluran pernafasan serta radang paru-paru, dan risiko ini bertambah besar jika individu terbabit mempunyai sakit asma dan seorang perokok. - BERNAMA

Kuota tambahan jemaah haji Malaysia tidak diluluskan Arab Saudi

Posted: 21 Sep 2012 02:21 AM PDT

PETALING JAYA: Malaysia termasuk dalam senarai 40 negara yang tidak mendapat tambahan kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini.

Beliau berkata, kegagalan mendapatkan penambahan kuota itu disebabkan keputusan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara dibenar menunaikan ibadah haji.

"Semua negara diberi kuota sebanyak satu peratus daripada jumlah penduduk bagi setiap negara... Kita ada 28 juta orang rakyat bermakna kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan seramai 28,000 orang jemaah sahaja daripada negara kita," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil ke-22, di sini.
Katanya Malaysia memohon penambahan kuota sebanyak 10,000 memandangkan jumlah yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat haji kini mencecah 982,000 orang.

Pada 12 September lalu, Tabung Haji menghantar surat rasmi buat kali kedua kepada kerajaan Arab Saudi bagi memohon tambahan kuota sebanyak 10,000 orang jemaah haji Malaysia untuk tahun ini.

Mengenai persidangan itu, Jamil Khir berkata, perbincangan bertumpu kepada usaha menaik taraf mahkamah syariah.

"Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil melalui persidangan ini akan mengemukakan kertas kerja kepada setiap ketua agama negeri sebelum mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bagi menubuhkan satu Suruhanjaya Khas dalam memperkasakan bidang penguatkuasaan mahkamah syariah.
"Kita berusaha untuk menjadikan mahkamah syariah di negara ini mempunyai lima tingkat perundangan iaitu mahkamah rendah, mahkamah pertengahan, mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan majlis rayuan syariah," katanya.

Pada majlis sama, Jamil Khir melancarkan Buku Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil (1998-2011) yang bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat Islam di negara ini berhubung prosedur undang-undang Islam di Malaysia.

Terdahulu, pada sidang media berbeza, Jamil Khir menyarankan agar bahagian penyelarasan undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membantu jabatan dan majlis agama Islam negeri memperkemas bahagian pendakwaan dan penguatkuasaan masing-masing.

Katanya, langkah itu dilihat perlu dalam mempertingkatkan ketelusan terutama bersabit kes yang dibawa ke mahkamah syariah.

Jamil Khir turut memuji langkah yang dibuat Terengganu kerana meletakkan dua unit berkenaan di bawah pengawalan berasingan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan