Ahad, 23 September 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Padah sorok di bumbung

Posted: 22 Sep 2012 09:53 AM PDT

MELAKA: Seorang pekerja kontrak warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, dekat sini ketika cuba melarikan diri dalam Ops 6P, Jabatan Imigresen negeri.

Dalam kejadian jam 11.50 malam kelmarin, lelaki dikenali sebagai Mathoseh, 35, dari Jawa Timur itu sedang menyorok dengan meniarap di atas bumbung Pangsapuri Taman Tasik Utama sambil berpaut pada tembok batu di bumbung itu.


Bagaimanapun, ketika pegawai imigresen menyelamatkan seorang lagi wanita yang sedang duduk di tembok berkenaan, mangsa yang sedang berpaut itu tiba-tiba menggelongsor jatuh berhampiran kawasan tangga pangsapuri berkenaan.

Mangsa yang parah di muka, tangan dan kaki sempat diajar mengucap syahadah sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


Namun, mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu disahkan meninggal dunia jam 12 tengah hari semalam.


Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, sebelum kejadian lelaki yang dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen itu berada di dalam sebuah rumah bersama enam lagi rakannya.

Katanya, pegawainya terpaksa memecah pintu rumah di tingkat lima yang dihuni tujuh warga Indonesia itu ketika pemeriksaan kerana mereka enggan memberi kerjasama.


"Apabila pegawai kami memperkenalkan diri bagi melakukan pemeriksaan di rumah itu, mereka melarikan diri ke bumbung pangsapuri dengan memanjat siling.

"Pemeriksaan di bumbung mendapati enam orang masing-masing lima perempuan dan seorang lelaki sedang duduk di situ, manakala mangsa yang tidak disedari sedang berpaut tiba-tiba menggelongsor jatuh," katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen negeri, di sini, semalam.


Menurutnya, dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin hingga 3.30 pagi semalam, seramai 32 warga asing berusia 18 hingga 47 tahun termasuk seorang wanita berusia 31 tahun warga Kemboja yang sarat mengandung tujuh bulan ditahan atas pelbagai kesalahan.


Katanya, operasi disertai 25 pegawai jabatan itu bersama dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan di tiga lokasi iaitu pangsapuri berkenaan, sebuah pusat hiburan di Melaka Raya dan sebuah rumah di Paya Rumput, dekat sini.


"Mereka yang ditahan adalah 21 wanita dan 11 lelaki terdiri daripada sembilan warga Indonesia, Thailand (6), Myanmar (1), China (14) dan Kemboja (2)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22


Tengkorak milik warga emas hilang

Posted: 22 Sep 2012 08:58 AM PDT

PEKAN: Polis mengesahkan tengkorak dan beberapa bahagian anggota badan yang ditemui kelmarin dan semalam di kawasan belukar berhampiran Sungai Miang, dekat Pekan, adalah Sh Othman Sh Bakar, 72, yang dilaporkan hilang Sabtu lalu.

Lebih menguatkan dakwaan apabila turut ditemui MyKad, gigi palsu, kopiah dan cermin mata milik warga emas berkenaan yang dipercayai dibunuh pada hari dia dilaporkan hilang.


Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, operasi semalam turut menemui sebahagian badan lelaki berkenaan di sekitar kawasan tempat kejadian.

Menurutnya, anggota badan mangsa terpisah mungkin kerana dimakan binatang liar yang banyak terdapat dalam kawasan belukar berkenaan, yang memaksa operasi mencari terpaksa dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung.


"Hasil maklumat dua suspek berusia 26 dan 35 tahun ditahan. Kita berjaya mengesan tempat mangsa dibunuh sebelum ditinggalkan iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat warga emas berkenaan bekerja iaitu di Peramu Jaya, di sini.


"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui satu tengkorak manusia di tepi tali air dan badan termasuk beberapa bahagian anggota lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, semalam.

Beliau berkata, Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan masih melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan tengkorak, badan dan beberapa anggota.


Yahaya berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes samun dan bunuh, suspek yang berasal dari Johor kini direman selama dua minggu. "Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 kerana membunuh," katanya.

Katanya, salah seorang suspek yang bekerja sebagai penjaga sangkar ikan, di sini, mempunyai rekod lampau membabitkan kes samun pada 2004 adalah rakan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22


0 ulasan:

Catat Ulasan